Isteri Derita - Suami Abai Tanggungjawab
24 Disember 2004

Soalan:

Kami sudah berkahwin selama lima tahun dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Saya sudah tidak tahan lagi dengan sikap suami.

Ketika mula-mula berkahwin suami meminta saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Suami menyatakan segala-galanya akan ditanggung olehnya. Malangnya janji hanya tinggal janji, dia amat kedekut dengan saya dan anak-anak. Baju hanya bertukar pada hari raya, itupun jika sudah koyak.

Saya masih bersabar dengan keadaan ini. Apa yang paling mengejutkan dengan duit yang dikumpul, rupa-rupanya dia sudah ada perempuan lain. Saya juga mendapat tahu yang dia sudah membeli rumah dan kereta lain. Bila saya tanya dia akan marah dan tidak memberi langsung duit belanja.

Lama benar saya bersabar. Saya diberitahu yang saya perlu pergi mengikuti kaunseling. Saya sudah penat menjalani proses kaunseling oleh saudara mara. Perlukah saya ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mendapatkan khidmat kaunseling? Bukankah semasa perbicaraan pun ada kaunseling?. Apakah jalan terbaik yang harus saya lakukan?.
- Lin, Cheras.

Jawapan:

Bagi makluman puan, keperluan untuk menghadiri kaunseling di Jawi bukanlah satu peruntukan perundangan yang perlu dipatuhi oleh setiap pasangan yang mahu bercerai. Ini juga adalah menurut Arahan Amalan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Kaunseling yang dijalankan oleh pihak Jabatan Agama Islam adalah satu perkhidmatan yang diberikan kepada umat Islam. Tujuan kaunseling ini adalah sebagai satu cara mencapai perdamaian di antara suami isteri.

Kehadiran
Sebelum kaunseling bermula, satu aduan haruslah difailkan di Jabatan Agama. Pihak jabatan kemudiannya, akan memberi satu tarikh dan meminta kehadiran suami isteri. Oleh itu sekiranya suami isteri telah tidak menetap di rumah yang sama, adalah perlu bagi piak yang mengadu memberi alamat di mana surat tersebut akan diterima oleh pasangannya. Jika perlu, alamat majikan boleh digunakan.

Di dalam satu sesi kaunseling, suami dan isteri akan dipanggil untuk menghadiri satu pertemuan bersama seorang pegawai agama. Kadang kala sesi yang berasingan akan dijalankan dan kemudian suami dan isteri akan dipanggil bersama.

Pegawai agama tersebut haruslah seorang yang tidak berat sebelah dan mendengar apa-apa aduan yang dikemukakan. Dia haruslah cuba mencari jalan penyelesaian dan bukan hanya menasihati dan tidak menunjukkan apa-apa rasa empati. Dia juga harus cuba mencari satu jalan penyelesaian yang baik di antara kedua belah pihak.
Sekiranya pihak tersebut mahu bercerai maka pegawai tersebut tidak boleh memaksa agar perkahwinan tersebut diteruskan. Walaupun tidak ada keperluan undang-undang untuk menghadiri kaunseling, sesi ini boleh digunakan bagi membina kes puan di mahkamah kelak.

Masalah
Sekiranya suami tidak hadir ke mahkamah, ini boleh dijadikan sebagai bukti bahawa dia tidak mahu berusaha untuk cuba menyelamatkan rumah tangga, juga apabila suami enggan bertolak ansur terutama dalam mencari penyelesaian masalah perkahwinan yang dihadapi.

Di dalam kes puan, suami haruslah meninggalkan teman wanitanya kerana sudah tentu perhubungan ini adalah dilarang dan tidak akan dapat membaiki rumah tangga. Suami juga haruslah tidak menyekat dalam memberi nafkah. Ini bukan hanya nafkah bagi keluarga yang termasuk perbelanjaan anak-anak dan rumah, tetapi juga nafkah diri puan. Ini bermakna wang saku yang diperlukan oleh puan selain dari wang keluarga.

Sekiranya proses ini gagal, maka puan boleh membawa laporan kaunseling ke mahkamah semasa proses permohonan perceraian kelak bagi menguatkan kes puan.

Perlu dinyatakan bahawa walaupun tiada had masa yang perlu dipatuhi dalam proses kaunseling, puan boleh memohon kepada pegawai agama agar mempercepatkan tarikh sekiranya terdapat tundaan masa.

Sememangnya mungkin jadual kaunseling pegawai agama agak penuh, tetapi puan boleh mencuba memohon dan pastikan bahawa tundaan ini tidak terlalu lama.

Kaunseling yang puan nyatakan semasa perbicaraan kelak adalah proses perdamaian di bawah Seksyen 47 (5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)1984. Semasa memohon perceraian secara talak dan apabila terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan perceraian tersebut maka mahkamah boleh mencuba mendamaikan pasangan. Dalam proses ini pihak mahkamah akan melantik satu jawatankuasa pendamai bagi cuba mendamaikan pasangan.

Jawatankuasa ini ini terdiri dari seorang pegawai agama dan dua orang yang dilantik bertindak sebagai wakil isteri dan wakil suami. Suami dan isteri boleh mencadangkan nama sesiapa sahaja yang boleh mewakili mereka, tetapi mahkamah akan memberi keutamaan kepada saudara karib.

Mahkamah kemudiannya akan memberi arahan dan bidang tugas yang perlu dijalankan oleh pendamai. Mereka akan cuba mencari satu jalan penyelesaian sama ada perdamaian dapat dijalankan atau persetujuan terhadap perceraian boleh diperoleh.

Mendamaikan
Rujukan juga boleh dilakukan kepada Seksyen 48 Akta Mahkamah boleh melantik hakam atau penimbangtara bagi cubaan mendamaikan pasangan yang sentiasa berkelahi (shiqaq). Bagi seksyen ini , apa-apa kes boleh dijadikan sebagai cara untuk melantik penimbangtara dan tidak khas bagi proses perceraian.

Dalam proses sini hanya dua orang akan dilantik sebagai penimbangtara, iaitu wakil suami dan wakil isteri.
Masalah yang mungkin akan timbul bagi kedua-dua proses ini adalah tiada had masa yang ditetapkan oleh Akta. Oleh itu ia mungkin mengambil masa yang lama. Juga sekiranya hakim tidak berpuas hati dengan proses tersebut, jawatan kuasa pendamai atau penimbangtara yang lain boleh dilantik. Sekali lagi kemungkinan masa yang lama akan diambil bagi memulakan `jentera' ini semula.

Sekiranya suami puan memohon untuk melantik Hakam atau Jawatankuasa Pendamai, puan boleh menggunakan alasan bahawa proses kaunseling telah dijalankan di Jabatan Agama Islam atau oleh ahli keluarga. Puan perlu menunjukkan bukti bahawa proses ini telah gagal dan suami hanya kini mahu melengah-lengahkan proses perbicaraan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my