Rujuk - Isteri Harus Setuju
26 Mac 2004

Soalan:

Suami saya telah menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya. Memang agak sukar untuk saya menerima, apalagi bahawa ia merupakan satu perhubungan sulit yang tidak sepatutnya terjalin. Dia tidak memikirkan perkahwinan kami yang telah berlangsung selama 4 tahun. Saya amat kecewa. Saya telah mengadakan mesyuarat keluarga kerana saya tidak boleh menerima perbuatannya. Semasa perjumpaan ini suami telah melafazkan cerai. Selang beberapa hari suami telah menghubungi saya dan mengatakan bahwa dia mahu merujuk. Dia juga mengatakan bahawa oleh kerana kami masih dalam tempoh idah maka dia boleh boleh rujuk pada bila-bila masa. Adakah ini benar?
- Masnita Daud.

Jawapan:

Apabila berlaku persengketaan di dalam perkahwinan adalah baik sekiranya pasangan dapat berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi dengan cara dewasa dan tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sekiranya perbincangan di antara dua belah pihak gagal maka keluarga masing-masing boleh dibawa sebagai pengantara.

Rujukan boleh dilakukan ke atas Surah an-Nisa' ayat 35 (4:35) yang bererti:
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka (Suami-isteri) maka lantiklah: orang tengah, seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan; jika kedua-dua `orang tengah' itu bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

Terdapat dua perkara yang puan telah timbulkan di sini iaitu:
1. Pengesahan perceraian lafaz suami; dan
2. Rujuk.

Perceraian haruslah dilakukan dengan cara yang berhemah dan menurut undang-undang sedia ada iaitu dengan melafazkan talaq di dalam mahkamah syariah. Di dalam kes puan perceraian yang telah berlaku antara puan dan suami puan adalah di luar mahkamah dan dengan tanpa kebenaran. Perceraian sebegini adalah merupakanakan satu kesalahan menurut Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuah dan suami boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Puan haruslah memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan perceraian yang telah berlaku tersebut. Apabila mahkamah telah mendapati bahawa perceraian yang berlaku di luar mahkamah itu adalah sah dan sabit maka barulah timbul isu berkenaan rujuk.

Perlu diingat bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pasangan yang bercerai di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah untuk memohon bagi mengesahkan perceraian tersebut secepat mungkin.

Rujuk adalah satu proses di mana suami dan isteri berbaik semula setelah berlakunya perceraian. Suami hanya boleh merujuk kembali bekas isterinya sekiranya isteri dicerai dengan talak satu atau talak dua. Ia juga dikenali sebagai talak rajie. Surah al-Baqarah ayat 229 telah menyatakan:

`Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia rujuk memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya dengan cara yang baik.''

Sekiranya suami menceraikan isteri dengan talak tiga maka mereka hendaklah dinikahkan semula dengan syarat bekas isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain, bercerai dan habis tempoh idahnya. Setelah itu barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya. Isteri haruslah di dalam tempoh perkahwinannya yang baru menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan perceraian yang berlaku haruslah bukan dengan paksaaan. Perkahwinan ini seharusnya bukanlah sesuatu yang dirancang bagi memperolok-olokkan peraturan rujuk.

Bagaimanpun perlu dinyatakan di sini bahawa rujuk hanya boleh berlaku di dalam tempoh idah rajie dan bukan di luar tempoh idah. Tempoh idah bagi seorang wanita adalah selama tiga kali suci dari haid. Ini adalah menurut Surah al-Baqarah ayat 228. Ia menyatakan bahawa:
`Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid) dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika mereka bertujuan untuk berdamai...''

Apabila pasangan yang telah bercerai mahu rujuk kembali maka pihak isteri haruslah menyetujui rujuk tersebut. Seorang suami tidak boleh menganggap bahawa oleh kerana suami mahu rujuk maka ia akan terjadi secara otomatik. Isteri haruslah bersetuju ke atas rujuk tersebut. Sekiranya isteri tidak bersetuju maka tiada rujuk bagi pasangan tersebut.

Walaubagaimanapun jika pihak isteri tidak bersetuju untuk dirujuk semula maka Mahkamah boleh melantik jawatankuasa pendamai untuk mencuba mencari jalan perdamaian. Perkara ini haruslah dimohon oleh suami di Mahkamah Syariah.

Ini juga adalah bertepatan dengan Seksyen 51 (8) Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Perlu dinyatakan bahawa apabila berlaku perceraian atau rujuk maka pasangan haruslah melaporkan perkara tersebut ke Mahkamah Syariah atau Pendaftar. Ini adalah bagi memastikan bahawa prosedur telah ditepati dan tidak timbul wasangka terhadap status sebenar perkahwinan. Juga bagi memastikan agar rekod mengenai perceraian dan rujuk adalah betul dan tidak timbul apa-apa pertelingkahan mengenai status seorang suami atau isteri.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my