Perkahwinan - Persetujuan Wanita Perlu
26 November 2004

Soalan:

Saya seorang janda dan mempunyai seorang anak lelaki yang baru berumur lima tahun. Sudah empat tahun saya menjanda. Saya telah bertemu dengan seorang lelaki yang amat baik dan kami kini ingin mendirikan rumah tangga. Niat kami ditentang oleh keluarga saya. Ini adalah kerana kekasih saya adalah lebih tua dari saya. Dia juga adalah seorang duda yang mempunyai tiga anak yang dewasa. Anaknya yang sulung hanya empat tahun lebih muda daripada saya tetapi perkara ini tidak sepatutnya menghalang niat kami.

Kami amat menyayangi antara satu sama lain dan dia adalah seorang lelaki yang amat jujur. Dia amat baik kepada anak saya. Saya telah cuba berbincang dengan keluarga tetapi mereka tetap tidak bersetuju terutama sekali bapa yang tidak mahu menjadi wali. Apa yang saya tahu seorang janda tidak perlu meminta restu ibu bapa untuk perkahwinannya. Adakah ini benar? Bolehkah saya berkahwin tanpa kebenaran bapa?
- Tuti Sulaiman, Selangor

Jawapan:

Persetujuan seorang wanita adalah perlu di dalam sesuatu perkahwinan. Ini bukan sahaja boleh dilihat daripada hukum syarak tetapi bagi menjamin kesejahteraan satu perkahwinan. Perkara ini juga termaktub di dalam semua undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Di dalam Sahih Bukhari telah diriwayatkan dua hadis mengenai perkara ini, iaitu bahawa wali tidak boleh mengahwinkan seorang anak dara atau wanita yang pernah berkahwin tanpa persetujuannya dan juga bahawa Rasulullah s.a.w pernah membubarkan suatu perkahwinan yang telah dilangsungkan tanpa persetujuan wanita tersebut.

Begitu pun terdapat perbezaan sama ada seorang wanita boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri.

Persetujuan
Pada amnya terdapat persetujuan di kalangan para ulama bahawa seorang wanita tidak boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri walaupun dia berkeupayaan dari segi undang-undang.

Perbezaan boleh juga didapati dalam isu persetujuan seorang wanita yang telah berkahwin dan belum pernah berkahwin, hak seorang wali dan jenis persetujuan yang diperlukan.

Sebagai contoh, Imam Malik dan Shafii berpendapat bahawa kebenaran seorang wali adalah perlu di dalam akad, tetapi Imam Hanafi berpendapat bahawa seorang wanita yang telah dewasa sama ada belum atau pernah berkahwin boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa perlu adanya wali.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a yang menyatakan bahawa: ``Seorang gadis telah datang kepadanya dan berkata bahawa bapanya telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak saudara bapanya untuk meringankan kemiskinan pemuda tersebut. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar aduan itu, Baginda telah memanggil bapanya dan di hadapan bapanya membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihan gadis tersebut. Lalu gadis menjawab; Wahai Rasulullah! Saya menerima pilihan bapa saya. Saya hanya mahu kaum perempuan sedar yang mereka mempunyai hak penuh ke atas diri mereka dalam hal ini.''

Di dalam kes puan, kita boleh merujuk kepada Surah Al-Baqarah pada ayat 232 yang telah bermaksud; ``Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya maka janganlah kamu (para wali) menghalang mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya. Apabila terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang maaruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian...''

Ayat ini telah turun apabila saudara perempuan Maqil bin Yasir yang telah bercerai mahu kembali kepada bekas suaminya dengan hasrat ini ditentang oleh Maqil. Rasulullah s.a.w telah membenarkan perkahwinan ini walaupun tanpa kebenaran wali (Maqil). Ayat ini juga boleh digunakan bagi kes wanita yang telah bercerai yang mahu berkahwin dengan orang selain daripada bekas suaminya.

Terdapat dua hadis yang telah dikumpul oleh Abu Daud r.a. yang memberi sokongan bahawa wanita yang pernah berkahwin boleh berkahwin tanpa perlunya kebenaran wali.

Ia antara lain bermaksud seorang balu atau janda mempunyai lebih hak mengenai perkahwinannya daripada walinya dan wali tidak mempunyai hak di atas seorang janda atau balu.

Dari segi perundangan syariah di negeri Selangor, rujukan harus dilakukan ke atas Seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor). Ia menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah akta tersebut, melainkan kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju dan sama ada satu daripada dua perkara di bawah ini iaitu:

Pertama, wali pihak perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak; atau

Kedua, hakim syariah yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak saudari bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh hakim syariah telah memberi persetujuan terhadap perkahwinan itu melalui wali raja mengikut hukum syarak, berasakan kepada sebab-sebab tertentu yang dibolehkan.

Wali
Wali raja atau wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor), wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Sultan Selangor untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.

Perkara ini juga adalah menurut Jumhur Fuqaha (Shafii, Maliki dan Hambali), iaitu apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim yang menikahkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: kalau wali-wali itu enggan maka sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).

Dalam kes Azizah Mat lawan Mat Salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, hakim telah memutuskan perempuan itu berhak mendapat wali raja atau hakim untuk berkahwin.

Kadi ketika memutuskan kes itu menyatakan: ``Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali raja dengan alasan;

Pertama; Daripada Aishah r.a. Nabi s.a.w bersabda: ``Jika mereka berselisih maka sultan dan rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.'' (Riwayat Abu Daud, Ahmad da At. Tamizi)

Kedua; Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka dinikahlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar. (Riwayat At-Tamizi).

Oleh itu di dalam kes puan, hendaklah memohon kepada mahkamah syariah bagi berkahwin secara berwalikan wali hakim sekiranya bapa masih enggan untuk menjadi wali.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my