Dilema Kehilangan Sijil Nikah
27 Februari 2004

Soalan:

Saya telah berkahwin pada 1997. Keluarga saya tidak bersetuju dengan perkahwinan ini dan telah menentangnya dengan kuat. Ini adalah kerana keluarga mempunyai pilihan mereka sendiri. Walaupun begitu saya masih mahu meneruskan niat saya. Perkahwinan saya telah dilangsungkan oleh seorang kadi beserta dua orang saksi. Suami saya telah mendapatkan khidmat ini melalui rakan beliau. Perkahwinan ini dilakukan di Malaysia tetapi surat nikah saya menunjukkan bahawa saya berkahwin di Indonesia. Ia lengkap dengan setem yang sah. Saya telah kehilangan sijil nikah ini. Bagaimana saya boleh mendapatkan sijil nikah yang baru?
- Suriya Jamil, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Puan menetap di Kuala Lumpur, maka rujukan akan dilakukan ke atas Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Perlu dinyatakan bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang setempat, ini bermakna puan yang bermastautin di Wilayah Persekutuan adalah tertakluk di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada Seksyen 25 Akta tersebut ia menyatakan bahawa apabila pihak-pihak (Suami-isteri) yang bermastautin di Wilayah persekutuan berkahwin maka adalah menjadi kewajipan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut. Hanya dengan pendaftaran barulah sijil perakuan nikah akan dikeluarkan oleh pendaftar;

Seksyen 31 Akta pula memberikan mereka yang telah berkahwin di luar negeri tempoh enam bulan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut. Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh tersebut, maka jika sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Ia bermaksud sekiranya puan melangsungkan perkahwinan tanpa kebenaran pihak berkuasa di Wilayah Persekutuan maka puan telah melanggar undang-undang negeri Wilayah dan boleh disabitkan kesalahan.

Hanya selepas proses pendaftaran dilakukan barulah sijil perakuan nikah akan dikeluarkan oleh pendaftar.
Tujuan utama pendaftaran adalah untuk memastikan agar pernikahan puan tersebut adalah sah disisi syarak.

Sesuatu pernikahan hanya akan dianggap sah apabila sempurna kelima-lima rukun nikah, Rukun nikah tersebut adalah:
1. Ijab dan kabul iaitu penawaran dan penerima akad nikah.
2. Wali bagi anak dara.
3. Adanya suami yang dikenali identitinya (tertentu) dan
4. Adanya isteri yang dikenali identitinya (tertentu) dan
5. 2 orang saksi.

Pada masa ini seperti yang puan maklum, perkahwinan secara sindiket amat ber leluasa. Perkahwinan secara ini adalah tidak sah di sisi hukum syarak kerana biasanya mereka tidak menuruti rukun nikah tersebut.

Antara penyebab lain juga ialah penggunaan wali yang melakukan akad nikah yang tidak mempunyai kuasa atau tauliah. Wali juga perlulah terdiri dari seorang Islam yang mukallaf iaitu berakal dan baligh, dan seorang yang adil iaitu tidak fasik.

Merujuk kepada permasalahan puan, adalah amat penting bagi puan untuk merujuk ke Mahkamah Syariah bagi tujuan mendaftarkan perkahwinan. Ini adalah bagi memastikan sama ada perkahwinan puan adalah sah dari hukum syarak. Terutamanya kerana pemberian sijil nikah negeri Indonesia sedangkan perkahwinan berlangsung di Malaysia.

Puan juga perlu menghubungi kadi dan saksi perkahwinan tersebut bagi memudahkan proses Mahkamah apabila melakukan penyiasatan.

Perlu diingatkan bahawa puan tidak perlu untuk menunggu suami bagi melakukan proses pendaftaran. Proses ini boleh dikendalikan oleh puan sendiri dengan pergi ke Mahkamah Syariah di tempat puan bermastautin.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my