Mengandung - Pernikahan Boleh Dilakukan
27 Ogos 2004

Soalan:

Saya kini sedang mengandung tiga bulan. Keluarga kami telah diberitahu mengetahui perkara ini dan kami kini merancang untuk berkahwin. Kini terdapat antara ahli keluarga yang mengatakan bahawa perkahwinan kami ini adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang kerana saya sedang mengandung. Adakah ini benar?
- Aishah Ali, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perkahwinan adalah digalakkan apabila pihak yang mahu berkahwin telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri. Tanggungjawab ini bukan sahaja dari segi keupayaan fizikal seperti boleh menyara isteri dan keluarga tetapi juga dari segi mental. Pasangan suami isteri haruslah bersedia dan memahami tugas-tugas dalam menjalani kehidupan berdua. Oleh kerana itu jugalah terdapat sistem perundangan dan prosedur bagi perkahwinan. Ia adalah bertujuan untuk memastikan ketetapan undang-undang syariah juga ditepati.

Contohnya pihak-pihak yang akan berkahwin tersebut tidak mempunyai halangan seperti adanya hubungan muhrim dan kewalian bagi pengantin perempuan.

Menurut Seksyen 11 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, ia menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak untuk menjadikannya sah.

Ia bermaksud bahawa setiap perkahwinan haruslah menepati kehendak Hukum Syarak.

Jika kita merujuk kepada Hukum Syarak, kita haruslah melihat kepada rukun sesuatu perkahwinan tersebut. Secara amnya rukun untuk berkahwin adalah, terdapatnya suami , terdapatnya isteri, perlu ada dua orang saksi, wali bagi wanita dan seterusnya Akad iaitu Ijab dan Qabul .

Keperluan bagi saksi adalah penting berdasarkan suatu Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Hanbal yang menyatakan bahawa ``tiada perkahwinan tanpa saksi''. Ia adalah perlu untuk memastikan supaya perkahwinan itu diketahui umum dan dapat membezakan di antara perkahwinan yang sah dengan hubungan sulit.

Apabila kesemua rukun nikah yang telah dinyatakan telah dipenuhi maka perkahwinan tersebut adalah sah dan bolehlah juga didaftarkan.

Kita juga perlu merujuk kepada Seksyen 8 Akta yang telah memperuntukkan bahawa perkahwinan hanya boleh diakadnikahkan jika lelaki yang mahu berkahwin itu adalah berumur tidak kurang daripada 18 tahun atau bagi perempuan, dia berumur tidak kurang daripada 16 tahun. Perkahwinan bagi mereka yang di bawah umur hanya boleh berlaku sekiranya Hakim Syariah telah memberikan kebenaran secara bertulis.

Prosedur ini juga bertujuan bagi memastikan kelayakan seseorang untuk berkahwin. Ia juga bagi memastikan agar pasangan yang mahu berkahwin agar agak matang dalam menjalani alam perkahwinan.

Pasangan yang akan berkahwin juga kini telah diwajibkan untuk menghadiri kursus pra-perkahwinan. Kursus ini ada dianjurkan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta. Di sesetengah negeri pula, pemeriksaan doktor perlu dijalankan terlebih dahulu.

Sekiranya saudara menghadiri kelas yang dianjurkan oleh pihak swasta, sila pastikan bahawa kursus tersebut diiktiraf oleh kerajaan negeri. Saudara haruslah menyimpan sijil yang diberikan di akhir kursus.

Permohonan untuk kebenaran berkahwin haruslah diajukan kepada pihak jabatan agama Islam negeri tempat pasangan bermastautin. Borang permohonan akan diberikan oleh jabatan agama Islam. Oleh kerana saudari berada di Kuala Lumpur, maka permohonan haruslah diberi kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam situasi saudari bolehlah dikatakan bahawa keadaan saudari yang sedang hamil itu tidak menghalang sesuatu pernikahan dari dijalankan. Apa yang perlu dipenuhi adalah rukun nikah dan kehendak perundangan. Taraf saudari yang sedang hamil hanya akan memberi kesan ke atas taraf anak tersebut dan bukan taraf perkahwinan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my