Kegiatan Agama - Isteri Risau Suami Tidak Pulang
28 Mei 2004

Soalan:

Saya telah berumahtangga selama lima tahun dan mempunyai seorang anak perempuan. Pada tahun lalu suami saya mula terlibat dengan sebuah kumpulan yang kononnya kumpulan agama.

Pada mulanya saya tidak terlalu mengambil berat mengenai kegiatan suami kerana dia tetap akan balik ke rumah walaupun lewat malam. Sejak enam bulan yang lalu, dia mula kerap tidak pulang dengan alasan sibuk dengan kegiatannya.

Saya cuba untuk berbincang dengan suami tetapi suami tidak mengendahkan perasaan saya. Kira-kira tiga bulan yang lalu, suami saya telah langsung tidak pulang ke rumah atau memberi nafkah.

Saya tahu di mana dia berada tetapi panggilan dan lawatan saya tidak berhasil. Saya mahu dia kembali kepada saya dan anak dan tidak mahukan perceraian kerana saya masih sayangkan dia. Apa yang boleh saya lakukan agar dia balik kepada kami dan menjalankan tanggungjawabnya?
- Rosminah Abu, Cheras

Jawapan:

Seorang suami mempunyai tanggung jawab ke atas keluarganya terutamanya dari segi pemberian nafkah. Di bawah hukum Syarak, nafkah atau ``nafqah'' ditakrifkan dalam al-Hedaya sebagai ``segala perkara yang perlu bagi menyara kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal''. Pengertian nafkah juga tidak hanya bermaksud sebagai nafkah zahir tetapi juga melingkungi nafkah batin. Definisi yang sama juga ada diperuntukkan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Rujukan bagi tanggungjawab memberi nafkah zahir oleh suami boleh dilakukan ke atas Surah 2:233 yang antara lainnya bermaksud:
``...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil...''.

Perkahwinan adalah berdasarkan perasaan kasih sayang dan ia juga harus memenuhi hubungan semula jadi di antara suami isteri.

Keharmonian rumahtangga amat ditekankan oleh Islam. Rujukan boleh dilakukan ke atas Surah 4 ayat 19 yang antara lain bermaksud,
``Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.''

Ayat-ayat di atas dengan jelas menekankan tanggungjawab lelaki untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarganya.

Merujuk
Oleh kerana suami puan telah tidak mengendahkan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah sama ada kepada puan atau anak, maka puan boleh merujuk ke Mahkamah Syariah untuk memohon perintah agar suami memberi nafkah . Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan suami membayar nafkah puan menerusi Seksyen 59(1) Akta.

Bagi memohon nafkah ke atas anak, permohonan haruslah dilakukan melalui Seksyen 72(1).
Seksyen ini juga telah menafsirkan nafkah seorang anak sebagai keperluan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran. Ini adalah di antara perkara-perkara yang dipertanggungjawab terhadap bapa.
Perlu difahamkan bahawa permohonan ini tidak hanya boleh dilakukan ketika berlakunya perceraian tetapi semasa perkahwinan masih berjalan.

Walaupun begitu, perintah-perintah yang dinyatakan di sini hanyalah di atas nafkah zahir.
Puan telah menyatakan bahawa puan mahukan suami kembali ke pangkuan keluarga.

Pelbagai aspek
Sememangnya tidak adil apabila suami meninggalkan keluarganya. Tanggungjawab seorang suami adalah merangkumi pelbagai aspek dan bukan hanya terhadap pemberian wang.

Beliau sepatutnya turut membantu di dalam hal-hal rumahtangga dan memberi kasih sayang yang penuh terhadap isteri dan anak-anak.

Terdapat satu perintah yang boleh dipohon oleh puan dari Mahkamah Syariah bagi memastikan suami pulang. Di dalam Seksyen 120 Akta ada diperuntukkan bahawa,
``Jika seseorang telah tidak hidup bersama isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, isteri itu boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.''

Jelas di bawah peruntukan ini bahawa suami yang telah meninggalkan isterinya boleh diarahkan untuk pulang dan hidup bersama semula dengan isterinya.

Sekiranya suami masih ingkar dengan perintah yang telah diberikan sama ada dengan sengaja atau cuai maka dia telah melanggar perintah mahkamah dan boleh dikenakan hukuman.

Suami boleh didenda tidak melebihi lima ratus ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau dikenakan kedua-dua hukuman denda dan penjara. perkara ini adalah menurut Seksyen 126 Akta.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my