Anak Tak Sah Taraf - Bapa Perlu Bertanggungjawab
29 Oktober 2004

Soalan:

Saya sedang merancang untuk berkahwin dengan kekasih saya tidak lama lagi. Kami sudah lama berkawan, hampir tiga tahun. Dia sudah berterus-terang dengan saya mengenai adanya seorang anak. Anak itu adalah anak luar nikah. Kejadian ini terjadi beberapa tahun yang lalu. Kekasih saya tidak berkahwin dengan ibu anak tersebut. Saya ingin mengetahui sama ada terdapat apa-apa kesan terhadap hubungan antara kami dan anak dan ibunya kelak sesudah saya berkahwin. Apa hak-hak yang ada antara kami semua?
- Syerry, Selangor

Jawapan:

Anak luar nikah kekasih anda juga boleh dipanggil sebagai anak tak sah taraf. Ia boleh didefinisikan sebagai anak yang telah dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah, iaitu persetubuhan yang sah dari segi akad nikah.
Walaupun begitu, zuriat yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan yang sah adalah suci daripada dosa seperti bayi lain. Ini kerana tidak ada anak yang dilahirkan ke dunia ini berstatus haram.

Ini berlainan daripada anggapan masyarakat kita yang seolah-olah memandang rendah kepada anak ini. Bukan salah anak tersebut kerana dilahirkan di dalam keadaan begitu. Oleh itu haruslah prihatin mengenai perkara ini.

Kita boleh merujuk kepada hadis yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: ``Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) dan ibu bapa yang mencorakkan kehidupan mereka sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.''

Tanggapan masyarakat yang mempunyai pengetahuan yang cetek, sentiasa menyebabkan timbulnya tanggapan buruk bahawa anak itu tidak suci. Jika kita lihat hadis tersebut ternyata bahwa anak itu adalah suci.

Ibu bapa yang akan bertanggungjawab untuk menjaga dan seterusnya membentuk anak tersebut. Walaupun dia lahir bukan di dalam situasi perkahwinan ini tidak mencorakkan kehidupannya.

Oleh yang demikian, mereka mempunyai hak seperti anak-anak lain. Anak tersebut patut dilayan atau dianggap seperti anak saudari sendiri kelak apabila telah berkahwin dengan bakal suami saudari. Dia tidak menanggung dosa ibu bapanya.
Allah sudah menjelaskan dalam firmannya yang bermaksud: ``Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulnya untuknya sedikitpun walaupun (yang dipanggil itu) kaum kerabatnya.'' (Surah Faathir Ayat 18).

Maka jelaslah kedudukan anak luar nikah suci dan begitu juga keturunannya, selagi mereka tidak terbabit dalam perlakuan yang boleh mencemar status mereka sebagai umat beriman kepada Allah.

Sesiapa yang beramal soleh akan diberi balasan baik kerana penilaian Allah terhadap hamba-Nya berdasarkan iman serta ketakwaan mereka.

Perlukah anak luar nikah diberitahu mengenai asal-usulnya? Dari perspektif Islam, kesucian anak itu perlu dipelihara dengan sebaiknya kerana mereka tidak bersalah dan mengetahui hal sebenar boleh mendatang kesan tidak baik kepada mereka.
Selain itu, ini adalah untuk mengelakkan daripada menerima hakikat bahawa dirinya adalah anak luar nikah, berdasarkan masyarakat yang akan memberi tekanan apabila mengetahui kisah sebenarnya.

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, anak luar nikah perlu diberitahu perkara sebenar bagi mengelak timbul masalah lain yang lebih besar, terutama dalam hal membabitkan pernikahan serta pemberian harta pusaka.

Di sini saudari tidak memberitahu sama ada anak tersebut adalah perempuan atau lelaki. Jika anak perempuan apabila tiba masa anak itu bernikah, beliau berkemungkinan tidak boleh diwalikan oleh bapanya (bakal suami saudari). Tiada masalah perwalian bagi anak lelaki.

Dari segi perundangan syariah, status anak tersebut akan memberi kesan terhadap pembahagian secara faraid yang dijalankan di negara kita.

Dalam kes ini, anak tak sah taraf bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Oleh itu anak tersebut tidak akan mendapat pembahagian di bawah faraid.

Maka ibu bapa hanya boleh mewasiatkan harta benda yang nilainya tidak melebihi satu pertiga daripada nilai jumlah keseluruhan harta benda kepada anak tersebut.

Sekiranya harta benda yang diwasiatkan di bawah wasiat tersebut didapati lebih daripada satu pertiga nilai keseluruhan harta benda pemberi wasiat, maka waris-waris yang sah boleh memohon untuk mengeluarkan sebahagian harta benda yang terkandung dalam wasiat tersebut supaya nilai yang diberi tidak melebihi had satu pertiga daripada jumlah harta.
Boleh dilihat di sini bahawa anak tersebut berkemungkinan boleh mendapat pembahagian yang lebih besar daripada adik-beradiknya.

Sekiranya ibu atau bapa tidak ingin memberi wasiat kepada anak tersebut, pemindahan harta benda yang tertentu boleh dilakukan semasa hayat. Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara.
Contohnya, secara pemindahan harta menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965 atau menggunakan hibah atau wakaf.

Perlu diterangkan di sini bahawa tiada halangan bagi bapa untuk bertanggungjawab ke atas anak tersebut dengan menyara perbelanjaan kehidupan anak.

Anak itu perlu diberi nafkah yang secukupnya. Tanggungjawab tidak seharusnya berubah hanya kerana anak tersebut tidak dilahirkan di dalam perkahwinan. Bapa tidak seharusnya lepas tangan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my