Lafaz Suami - Perlu Dimaklumkan Kepada Mahkamah
30 Januari 2004

Soalan:

Perkahwinan saya telah berlangsung selama 20 tahun. Anak-anak kini berusia 17 dan 15 tahun, masih lagi bersekolah. Suami saya kini telah berubah hati dan sedang menjalinkan perhubungan dengan seorang wanita berumur 23 tahun. Dia mula bersikap berang dan tidak mengacuhkan keluarga. Suami menuduh bahawa saya memfitnahkan kekasihnya dan mengadu cerita dengan keluarga suami. Saya memang telah memberitahu keluarga suami kerana saya tiada tempat lain untuk mengadu.

Ini adalah kerana saya mahu suami balik ke pangkal jalan dan menyedari kesilapannya. Saya tidak memberitahu orang luar. Baru-baru ini selepas bergaduh dia berkata, ``kalau kamu telah pergi mengadu pada keluarga maka jatuhlah talak''. Suami kemudian keluar rumah. Selepas tiga jam dia balik dan berkata, ``abang maafkan apa yang berlaku,''. Dua hari yang lalu suami naik berang lagi dan berkata, ``kalau kau dah mengadu pada sesiapa pun maka jatuhlah talak,''. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
- Zaharah Sulaiman, Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Surah Al-Baqarah pada ayat 229 (2:229) menyatakan: ``...Berbaiklah dengan cara yang maaruf atau bercerailah dengan cara yang baik,''.

Pasangan yang mahu bercerai haruslah memutuskan ikatan perkahwinan tersebut dengan cara yang baik. Ini adalah amat penting kerana walaupun ikatan perkahwinan tersebut terlerai, hubungan kekeluargaan antara yang seagama masih lagi wujud. Ini terutama sekali apabila terdapat anak-anak hasil perkahwinan tersebut. Ibu bapa haruslah jujur dan mementingkan tanggung jawab masing-masing terhadap anak mereka.

Suami puan telah seolah-olah melafazkan talak dalam keadaan dia sedang berang. Kajian sememangnya telah menunjukkan bahawa kebanyakan talak dilafazkan oleh suami ketika dalam keadaan marah.

Para suami perlu maklum bahawa untuk jatuh talak ke atas isteri, apa yang perlu dilakukan adalah pelafazan talak tersebut. Ia bukanlah perkara yang boleh dipermainkan atau diambil ringan. Suami mempunyai tanggung jawab ke atas isteri dan keluarga dan seharusnya hanya melafazkan talak dengan cara yang berhemah.

Cara yang berhemah ini adalah melafazkan talak di dalam Mahkamah Syariah.
Di dalam kes yang mana suami telah melafazkan talak di luar Mahkamah Syariah, sama ada secara lisan atau tulisan, talak tersebut akan jatuh sekiranya ia jelas atau terang (sarih).

Suami puan telah melafazkan talak secara bersyarat iaitu menyatakan bahawa talak akan jatuh sekiranya berlakunya sesuatu perkara. Dalam kes puan, sama ada puan telah mengadu kepada sesiapa. Oleh itu sekiranya puan telah telah melanggar syarat tersebut maka berkemungkinan talak akan jatuh.

Walaupun begitu, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan talak tersebut. Ini juga adalah kerana mahkamah mampu untuk melakukan penyiasatan bagi memastikan sama ada lafaz talak suami adalah sah mengikut hukum syarak. Suami dan saksi-saksi akan dipanggil untuk memberi bukti ke mahkamah. Mahkamah juga akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak. Ini adalah termaktub di dalam Seksyen 45 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Puan harus merujuk ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan kepastian mengenai kedudukan rumah tangga puan. Perkara ini boleh dilakukan sendiri dan tidak perlu untuk menunggu suami. Sila juga bawa sijil nikah yang asal bagi tujuan permohonan pengesahan.

Perlakuan suami puan yang `memaafkan puan' adalah bukan cara yang wajar kerana pelafazan talak tidak boleh ditarik balik dengan sewenang-wenangnya.

Sekiranya talak telah jatuh, maka proses untuk berbaik semula adalah dengan cara rujuk.
Oleh kerana sebab ini juga adalah amat perlu bagi puan untuk memastikan sama ada talak telah jatuh bagi kali pertama atau kedua. Talak satu dan dua adalah berupa talak rajie iaitu talak yang boleh dirujuk.
Talak bagi kali ketiga tidak boleh dirujuk sehingga isteri berkahwin lain. Isteri harus menjalankan tanggung jawab sebagai isteri dan kemudiannya diceraikan dengan kerelaan tanpa paksaan. Kemudian barulah suami pertama boleh berkahwin semula dengannya dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru.

Puan haruslah memaklumkan kepada Mahkamah Syariah mengenai kedua-dua lafaz suami tersebut.
Melafazkan talak di luar mahkamah adalah bertentangan dengan undang-undang. Sekiranya suami tersabit atas kesalahan ini maka beliau boleh dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Ini selaras dengan Seksyen 124 Akta.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my