Nusus - Isteri Takut Keluar Rumah
30 April 2004

Soalan:

Saya ingin bertanya dengan lebih lanjut mengenai soalan yang telah dikeluarkan pada minggu yang lalu di dalam ruangan ini. Saya telah berkahwin selama lima tahun dan tidak dikurniakan cahaya mata lagi. Suami saya juga selalu memukul saya walaupun saya tidak sengaja melakukan kesalahan. Tamparan adalah satu perkara yang biasa saya terima. Saya telah beberapa kali mahu meninggalkan rumah tetapi saya takut dianggap nusus. Suami juga sering mengatakan bahawa jika saya keluar rumah saya akan didapati nusus. Saya sudah tidak tertahan dan bersabar lagi dengan sikapnya ini. Apa yang boleh saya lakukan?

Jawapan:

Bagi menjawab soalan puan rujukan harus dilakukan ke atas Surah an-Nisa ayat 34 yang antara lainnya menyebut:
``...Perempuan-perempuan yang nusus hendaklah kamu beri nasihat dan kamu tinggalkan sendirian di tempat tidurnya dan kamu pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika perempuan itu telah taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menganiayanya''.

Perlu dinyatakan bahawa perbincangan mengenai nusus ini adalah tidak terbatas kepada ayat yang tersebut di atas. Nusus juga telah digunakan terhadap lelaki. Rujukan boleh dilakukan kepada Surah an-Nisa ayat 128 yang antara lainnya menyatakan bahawa:
``Dan jika kamu seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusus atau tidak melayaninya maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka yang bercerai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang sifat semula jadi yang ada pada manusia...''.

Perkataan Nusus ini tidak hanya digunakan terhadap para isteri. Menurut Syed Qutb di dalam bukunya In The Shade of the Quran, Nusus bererti terganggunya kerukunan rumah tangga.

Juga bagi Muhammad Asad yang telah berpendapat bahawa Nusus merangkumi segala kelakuan buruk yang disengajakan oleh pihak isteri terhadap suaminya. Ini termasuklah penganiayaan mental yang meliputi sikap kasar dan penganiayaan fizikal oleh pihak suami terhadap isteri.

Apabila terjadi gangguan terhadap kerukunan rumah tangga, maka al-Quran telah menyarankan tiga kaedah untuk menegakkan kembali kerukunan perkahwinan tersebut. Kaedah-kaedah tersebut adalah:
1. Perundingan atau syura - bersama isteri dan sekiranya gagal bersama ahli keluarga suami dan isteri.
2. Waktu perpisahan - bagi tujuan meredakan keadaan.
3. Daraba - pukulan yang tidak menyakitkan atau memudaratkan. Para perawi seperti Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah telah menekankan bahawa jika langkah pukul digunakan maka langkah itu adalah semata-mata bersifat simbolis, seperti dengan menggunakan kayu sugi (berus gigi) atau sapu tangan yang terlipat.

Seorang suami tidak seharusnya menganggap bahawa beliau boleh memukul seorang isteri dengan sewenang-wenangnya. Keganasan terhadap isteri adalah merupakan suatu kezaliman dan penganiayaan. Ia bukanlah satu perbuatan yang boleh dianggap ringan atau hak seorang suami ke atas isterinya.

Puan bertanya sama ada puan boleh keluar rumah di dalam situasi puan kini. Kita boleh merujuk kepada Surah ar-Ra'd ayat 11 yang antara lainnya telah mengatakan bahawa:
``Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu mengubah nasibnya sendiri''.

Adalah membimbangkan sekiranya seseorang isteri terpaksa berada di dalam situasi yang boleh membahayakan dirinya. Apalagi apabila dia terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut secara berseorangan dan tiada orang lain yang boleh membantunya.

Puan boleh dan perlu menyelamatkan diri dan cuba memberhentikan tindakan zalim suami. Apabila puan merasa sangsi mengenai keselamatan puan, maka puan boleh meninggalkan rumah bagi memperoleh keselamatan dan kedamaian. Masa ini boleh digunakan oleh puan untuk berfikir bagi langkah yang perlu diambil.

Apabila puan keluar rumah, puan perlu membuat laporan polis dan menyatakan sebab-sebab tindakan tersebut diambil. Nyatakan sebab-sebab puan terpaksa keluar rumah secara menyeluruh.

Sekiranya puan mengalami kecederaan sama ada kecil atau besar, sila segera melakukan pemeriksaan perubatan dan dapatkan laporan doktor. Perkara-perkara ini perlu dilakukan bagi melindungi hak puan dan sebagai bukti di Mahkamah Syariah sekiranya puan mahu memohon perceraian.

Suami juga secara amnya boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah dan mengatakan bahawa puan telah Nusus tetapi dengan adanya laporan-laporan yang telah puan lakukan, ia boleh memberi mahkamah bukti yang diperlukan. Bahawasanya puan mempunyai sebab-sebab yang kukuh yang memerlukan puan bertindak untuk keluar rumah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my