Hukum Faraid Anak Perempuan Belum Baligh
4 Februari 2005

Soalan:

Saya ingin bertanya berkenaan hukum faraid bagi harta arwah yang meninggalkan isteri dan tiga orang anak-anak perempuan yang belum baligh (8, 6 dan 8 bulan). Kedua-dua ibu bapa arwah tiada lagi (telah meninggal dunia). Mempunyai saudara kandung lelaki lima orang dan perempuan lima orang juga.
Bagaimana cara pengiraan (nisbah) mengikut faraid bagi kesemua yang berhak menurut hukum faraid tersebut.
Apakah hikmah di sebalik Allah menurunkan hukum ini di mana adanya hak adik-beradik kandung arwah yang mendapat bahagian dari harta peninggalan adik mereka?
Apakah juga hak-hak anak-anak perempuan yang masih kecil terhadap bapa saudara mereka (adik-beradik kandung arwah ayah mereka) menurut hukum syarak?
Terima kasih di atas kesudian SIS menjawab persoalan saya.
- Seri Pagi, Puchong

Jawapan:

Harta pusaka akan dibahagikan kepada orang-orang yang berhak dalam hukum syarak, seperti yang telah disebut dalam al-Quran. Ia hanya boleh dibahagikan apabila semua urusan dan hutang si mati selesai atau dilangsaikan. Perlu diterangkan di sini bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan ialah harta sepencarian. Ia adalah harta yang telah dikumpul bersama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan.

Harta sepencarian perlulah dikenal pasti terlebih dahulu dan bahagiannya perlu diberikan kepada balu arwah.
Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta dalam Islam. Allah telah menurunkan panduan kaedah-kaedah pembahagian ini dalam surah al-Nisaa, ayat 11,12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah telah berfirman yang bermaksud:
Dan jika anak itu semuanya perempuan dua atau lebih, maka bagi mereka dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan.

Kemudian, dalam ayat 12, Allah mensyariatkan bahawa, Para isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu.
Dalam kes saudari, antara waris yang sah adalah balu, tiga orang anak perempuannya, lima orang bapa saudara dan lima orang emak saudara.

Pembahagian harta pusaka arwah adalah seperti berikut:
Bahagian isteri adalah 1/8 bahagian atau bersamaan dengan 3/24 daripada harta pusaka.
Bahagian kepada anak-anak perempuan adalah 2/3 dari harta pusaka bapa (atau bersamaan dengan 16/24). Ini bermakna bahawa setiap seorang anak perempuan berhak mendapat sebanyak 2/9 (setelah 16/24 dibahagikan kepada tiga orang).

Manakala bagi bapa dan emak saudara, menurut ayat 176 surah Al-Nisa, Allah telah berfirman, Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan.

Bahagian kepada adik-beradik kandung arwah (lima lelaki dan lima perempuan) adalah 5/24 sahaja daripada baki harta. Pembahagian harta pusaka kepada adik-beradik adalah dua bahagian kepada adik-beradik lelaki dan satu bahagian kepada adik-beradik perempuan. Bahagian kepada adik-beradik kandung akan dibahagikan selepas bahagian kepada ahli waris yang telah ditentukan jumlah bahagiannya iaitu seperti dalam kes ini, isteri dan tiga anak perempuannya telah selesai pembahagiannya.

Banyak riwayat yang mengisahkan sebab turunnya ayat 11 surah al-Nisa yang disebut di atas. Antaranya yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Suatu ketika isteri Saad bin ar-Rabi datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan membawa kedua-dua orang puterinya. Dia berkata, Wahai Rasullullah, kedua-dua puteri ini adalah anak Saad bin ar-Rabi yang telah meninggal sebagai syuhada ketika Perang Uhud. Tetapi pak cik kedua-dua puteri Saad ini telah mengambil seluruh harta peninggalan Saad, tanpa meninggalkan barang sedikit pun bagi kedua-duanya. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, Semoga Allah segera memutuskan perkara ini. Maka turunlah ayat 11 surah al-Nisa itu.

Rasulullah s.a.w kemudian mengutus seseorang kepada pak cik kedua-dua puteri Saad dan memerintahkannya memberikan dua pertiga harta peninggalan Saad kepada kedua-dua puterinya, manakala balu Saad mendapat satu perlapan dan bakinya menjadi bahagian saudara kandung Saad.

Tujuan pemberian harta pusaka kepada bapa saudara adalah kerana mereka kini bertanggungjawab ke atas keadaan dan nafkah keluarga si mati. Pemberian harta ini adalah terikat dengan tanggungjawab kerana Syariah memperuntukkan supaya sentiasa adanya seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan daripada segi undang-undang untuk memelihara wanita, tidak kira sama ada lelaki itu bapanya, abang atau adik lelakinya, suaminya atau anak lelakinya. Ini dapat dilihat dalam surah al-Nisa ayat 34 yang bermaksud, Kaum lelaki adalah bertanggungjawab terhadap kaum perempuan dengan kelebihan yang Allah telah beri kepada mereka dan dengan sebahagian harta mereka yang mereka telah membelanjakan (memberi nafkah).

Oleh sebab itu, bahagian ke atas bapa saudara melebihi bahagian emak saudara. Ia adalah berkaitan dengan tanggungjawab tersebut dan bapa saudara tidak boleh tidak mempedulikan keluarga arwah. Sekiranya dia mahu menolak tanggungjawab itu maka dia boleh juga menolak bahagiannya. Islam mengkehendaki harta yang diberikan, dibelanjakan untuk menjaga kebajikan balu dan anak-anak arwah.

Berikutan dengan tanggungjawab ini, maka timbul pula isu pemberian nafkah anak-anak terhadap waris-waris mereka. Waris yang menerima harta adalah wajib untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan balu arwah lebih lagi dalam kes saudari, bapa saudara berkewajipan mengeluarkan nafkah kepada anak-anak yatim yang di bawah umur, terutamanya perempuan. Sekiranya mereka enggan maka suatu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah Syariah untuk suatu perintah nafkah seperti yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 61.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my