Kekasih - Dilarikan Keluarga
5 Ogos 2005
Soalan:
Kekasih saya kini dipaksa oleh keluarganya untuk berkahwin dengan pilihan bapa. Saya bukan seorang kaya tetapi mempunyai pekerjaan tetap. Saya rasa saya mampu untuk menanggung sebuah keluarga. Bapa kekasih saya memang kaya dan katanya saya tidak setaraf dengan kekasih. Sudah lama saya tidak mendengar berita dari dia tapi saya tahu bahawa dia masih sayangkan saya.
Kekasih saya telah diberhentikan dari pengajian dan dia tidak dibenarkan untuk keluar rumah pun. Saya dengar berita bahawa kekasih saya kini telah dilarikan dan akan dikahwinkan di Johor.
Tetapi bukankah apabila seseorang berkahwin permohonan harus dilakukan di negeri sendiri? Tidak mungkin dia mahu berkahwin sedangkan kami telah berjanji untuk bersama. Saya tak tahu apa yang nak dibuat kini.
- Ahmad Affendi, Kelantan.
Jawapan:
Isu tentang mengenai sama darjat atau sekufu ini ada diperuntukkan di dalam undang-undang Syariah Malaysia.
Jika kita lihat kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 1983, seksyen 13(2)(b) ada menyatakan bahawa bapa atau datuk sebelah bapa seorang anak dara boleh memaksanya berkahwin, walau tanpa persetujuannya, dengan lelaki yang sekufu dengan anak dara tadi.
Isu kafaah atau sekufu menurut pandangan para ulama Islam adalah berbeza. Sekufu ini bermaksud pihak lelaki setaraf dengan pihak perempuan dalam beberapa perkara. Mazhab Hanafi, Shafie dan Hanbali bersetuju bahawa beberapa perkara yang perlu sama atau setara antara pihak lelaki dan pihak perempuan adalah dari segi agama (Islam), taraf bebas (dia bukanlah hamba sahaya), pekerjaan dan keturunan. Selain dari itu, mazhab Hanafi dan Hanbali juga meletakkan kekayaan dan kemewahan sebagai faktor yang menentukan kafaah ini. Namun mazhab Shafie tidak bersetuju dengan pendapat ini. Mazhab Maliki langsung tidak bersetuju dengan konsep kafaah ini kecuali bahawa beliau setuju bahawa kedua-duanya hendaklah setaraf dalam didikan agama.
Terdapat pendapat yang berbeza antara mazhab mazhab utama dalam hal kafaah atau sekufu ini. Namun apa yang pasti ialah menurut mazhab Shafie, ia tidak mengiktiraf kemewahan dan kekayaan sebagai ukuran taraf.
Maka, sebagai seorang Islam, darjat dan kekayaan seharusnya bukanlah kayu pengukur untuk menentukan sama ada seseorang itu layak atau tidak untuk mengahwini anaknya.
Jika dilihat dari segi hukum syarak, Islam menetapkan rukun-rukun nikah yang perlu dipenuhi untuk menjadikan sesuatu pernikahan itu sah. Malaysia adalah salah satu negara Islam yang mengguna pakai mazhab Shafie dalam hal-hal perundangannya. Oleh itu, menurut mazhab Shafie, rukun-rukun nikah adalah seperti berikut:
(i) Adanya pihak lelaki;
(ii) Adanya pihak perempuan;
(iii) Wali bagi perempuan;
(iv) dua orang saksi; dan
(v) lafaz ijab dan qabul
Maka, yang menjadi masalah di sini ialah persetujuan wali. Menurut seksyen 13(1)(a) Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan, selain daripada persetujuan pihak lelaki dan perempuan, wali juga hendaklah bersetuju terhadap pernikahan tersebut. Tanpa persetujuan wali, maka pernikahan itu adalah tidak sah dari segi hukum syarak dan juga undang-undang Islam negeri Kelantan.
Lebih malang lagi Enakmen itu juga memperuntukkan bahawa bapa kekasih saudara boleh memaksa kekasih saudara untuk berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya atas alasan sekufu seperti yang telah dinyatakan di atas.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my