Suami Ugut Tidak Mahu Bayar Hutang
7 Oktober 2005

Soalan:

Semasa perkahwinan kami, saya ada meminjamkan wang kepada bekas suami saya. Dia berjanji akan membayar kepada saya. Memanglah dia ada bayar. Tapi, kadang-kadang bayar, kadang-kadang tidak. Sekarang, kami sedang dalam proses perceraian. Dia mengugut tidak mahu bayar hutang tersebut kalau saya teruskan dengan perceraian ini. Tetapi saya tidak sanggup tinggal bersama dengannya lagi. Bolehkah saya menuntut hutang tersebut? Bagaimana caranya? Saya bukannya ada perjanjian bertulis.
-Siti Tanjung, Sri Petaling, Selangor.

Jawapan:

Menjadi kelaziman seorang isteri membantu suaminya apabila dia dalam kesusahan dan begitulah sebaliknya. Tindakan puan meminjamkan wang kepada suami merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan berumahtangga. Sebagai seorang isteri, puan tentulah berasa bertanggungjawab untuk membantu suami sebanyak yang termampu.

Apabila seorang suami sudah berjanji untuk membayar semula hutang itu, hendaklah dia memegang kepada janjinya. Dalam surah al-Maidah, sebahagian ayat 1 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian."

Lagi pula, adalah tidak patut seorang suami mengugut isterinya lebih-lebih lagi dalam hal perceraian. Dalam surah al-Baqarah sebahagian ayat 229 menegaskan bahawa, "Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu, bolehlah ia rujuk dan memegang terus isterinya itu dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik."

Untuk membuat tuntutan hutang puan, Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya (sivil) boleh membicarakan kes ini. Ini dinyatakan dengan jelas dalam seksyen 61 (3)(b)(ii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Ia menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah boleh mendengar kes-kes yang berkaitan dengan pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh) atau perpisahan (faraq).

Suatu perjanjian tetaplah merupakan satu kontrak yang sah walaupun ia dibuat secara lisan. Tambahan lagi bekas suami puan ada membuat bayaran balik hutang tersebut. Tindakan ini menunjukkan bahawa dia sebenarnya mengakui bahawa adanya satu perjanjian pinjaman antara dia dan puan.

Dalam kes Ajmawati Atan lawan Moriazi Mohamad [2005] 1 CLJ (Sya) 54, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memutuskan bahawa hutang peribadi yang telah diberikan oleh pihak isteri dalam masa perkahwinannya kepada suami hendaklah dibayar semula. Dalam kes ini juga pihak isteri berjaya menunjukkan bahawa suami ada membuat sejumlah pembayaran dengan menggunakan cek. Mahkamah menyatakan bahawa pembayaran ini menunjukkan suami mengakui hutangnya dengan isteri walaupun tiada bukti bertulis tentang perjanjian pinjaman peribadi ini.

Oleh itu, puan hendaklah mengemukakan bukti-bukti pembayaran seperti resit, cek, ataupun saksi yang boleh memberi keterangan untuk menyokong puan. Malah penyata buku akaun juga boleh dijadikan bukti pembayaran.

Selain daripada itu, Mahkamah dalam kes Ajmawati ini juga membuat keputusan bahawa bil air, elektrik dan telefon dalam konteks semasa merupakan keperluan asas yang menjadi tanggungjawab seorang suami. Oleh itu, ia membenarkan tuntutan isteri ke atas tunggakan bayaran bil-bil ini.

Keputusan kes ini menunjukkan bahawa hutang yang menjadi kewajipan seorang suami untuk membayarnya tidak akan lupus walaupun selepas bercerai. Malah, tanggungjawab suami juga berubah mengikut keperluan semasa.

Setiap manusia haruslah membayar hutangnya kerana ini merupakan hak orang yang memberi hutang. Malah wang ini akan dapat membantu kehidupan baru puan sedikit sebanyak nanti.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my