Tidak Sanggup Berpisah Dengan Anak
8 Julai 2005

Soalan:

Suami saya telah mendapat hak penjagaan sementara anak kami yang berumur 7 tahun. Kami masih lagi dalam proses perbicaraan perceraian.

Beliau kini mendapat arahan untuk berpindah ke luar negara oleh majikannya. Saya tahu memang dia tidak boleh untuk menolak arahan tersebut kerana ia juga merupakan satu kenaikan pangkat tetapi bagaimana dengan hak saya? Saya juga perlukan anak saya. Tidak saya termampu untuk melawat anak saya di Australia setiap bulan ataupun tiga kali setahun. Saya cuma seorang kerani yang bergaji kecil. Saya juga mahu berjumpa dengan anak saya. Saya amat buntu kini.
- Amina Daud, Taman Mega, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perkara yang paling menyedihkan bagi seorang ibu ialah apabila terpaksa berpisah dengan anaknya. Namun, sebagai seorang ibu, pertalian darah antara puan dan anak masih kukuh walaupun hubungan antara puan dan suami telah berakhir, `air dicincang tak akan putus.' Kesempitan wang tidak seharusnya dijadikan sebab untuk memutuskan hubungan anak beranak.

Dalam surah al-Baqarah ayat 233 Allah telah berfirman; ``Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan janganlah juga menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.''

Dalam keadaan puan kini, undang-undang ada memperuntukkan bahawa mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk menahan seseorang daripada membawa anak ke luar negara. Ini disediakan dalam seksyen 105 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Oleh itu, puan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan perintah penahanan ini dengan menyatakan bahawa jika anak dibenarkan mengikut bapanya ke luar negara, maka puan tidak akan berpeluang untuk berjumpa dengannya lagi. Puan boleh memberi bukti terhadap ketidakmampuan puan untuk menziarahi anak sekiranya anak tersebut mengikut bapa berpindah ke luar negara.

Seksyen ini selanjutnya menyatakan bahawa selain daripada mahkamah mempunyai kuasa untuk menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia, ia juga boleh membenarkan anak itu dibawa keluar dari Malaysia sama ada tanpa syarat atau tertakluk kepada apa-apa syarat atau akujanji yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

Ini bermaksud, selain mencegah langsung suami puan membawa anak ke Australia, puan boleh meletakkan syarat-syarat yang difikirkan sesuai kepada suami jika dia ingin juga membawa anak mengikutnya ke luar negara. Contohnya, puan boleh meletakkan syarat bahawa puan dibenarkan untuk melawat anak sekali dalam masa sebulan. Suami puan boleh memberi janji kepada mahkamah untuk menghantar anak pulang ke Malaysia pada masa yang ditetapkan atau suami boleh bersetuju untuk menanggung semua atau sebahagian perbelanjaan perjalanan puan ke Australia untuk melihat anak. Perkara ini perlu dibincangkan bersama suami agar permuafakatan dapat diperolehi. Apa lagi kerana ini adalah bagi kebaikan anak bersama.

Kami nasihatkan juga puan dan suami berbincang tentang hak lawatan semasa musim cuti persekolahan dan cuti hari perayaan. Ini bagi mengelakkan berlaku perebutan anak.

Untuk menyokong permohonan puan ini, puan boleh mengambil khidmat seorang psikiatri kanak-kanak atau seorang yang pakar dalam hal kanak-kanak, sama ada dari kerajaan atau swasta. Beliau boleh memberi pendapat kepada mahkamah dan terpulang kepada kebijaksanaan mahkamah sama ada untuk mengikut atau tidak mengikut pandangan tersebut. Perkara ini telah diperuntukkan oleh seksyen 104 Akta.

Jika Mahkamah mengeluarkan satu perintah berkenaan dengan hal ini, maka puan dan suami wajib untuk mematuhinya. Seksyen 105(3) Akta menyatakan bahawa ``Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.''

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my