Ingin Tahu Tentang Taraf Anak
9 September 2005
Soalan:
Saya mempunyai soalan mengenai taraf anak yang lahir selepas kematian bapa dan selepas edah. Bagaimana taraf seorang anak tersebut boleh disahihkan dan bagaimana menentukan bapa anak tersebut?
-Kamaruddin Danial, Shah Alam, Selangor
Jawapan:
Berikutan dengan tempoh maksimum kehamilan bagi menentukan siapa bapa seorang anak, Imam Abu Hanifa berpendapat bahawa dua tahun merupakan tempoh paling maksimum. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah yang menyatakan bahawa seseorang perempuan hanya mengandungkan anaknya tidak lebih daripada dua tahun. Namun begitu, berbeza pula dengan Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Hanbal. Mereka menyatakan bahawa tempoh maksimum ialah empat tahun.
Oleh itu, timbullah persoalan tentang jika seorang itu menceraikan isterinya atau mati dan isterinya, mengandung selepas itu walaupun dia tidak berkahwin lain, siapakah bapanya? Mengikut Imam Abu Hanifa jika bayi itu dilahirkan selepas dua tahun suaminya menceraikannya atau mati, maka bayi itu adalah anak kandungnya. Manakala bagi Shafie, Maliki dan Hanbali mereka berpendapat bahawa jika bayi itu dilahirkan selepas empat tahun, maka bayi itu adalah anak kandungnya.
Memandangkan Negara kita mengambil kira pendapat Imam Shafie, maka dapat kita lihat peruntukan-peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang mengguna pakai pendapatnya. Seksyen 111 menyatakan bahawa, ``atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.''
Seksyen 112 Enakmen pula menyatakan jika bayi itu dilahirkan lebih daripada empat tahun selepas pembubaran perkahwinan, sama ada disebabkan oleh perceraian atau kematian lelaki itu, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu.
Selain daripada melihat kepada tempoh maksimum kehamilan ini, Enakmen juga memperuntukkan pengakuan sebagai cara untuk menentukan keturunan. Namun dapat kita lihat di sini bahawa terdapat perbezaan dalam kebolehterimaan pengakuan seorang wanita dan seorang lelaki.
Dalam seksyen 113 menyatakan bahawa jika seorang perempuan itu mengaku anak itu merupakan anak kandung lelaki yang tertentu, ia tidak boleh dianggap benar melainkan jika lelaki atau waris lelaki itu mengakuinya. Dengan syarat anak itu dilahirkan dalam masa kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh pembubaran perkahwinan.
Seksyen 117 juga menangani isu pengakuan seorang perempuan. Jika pengakuan itu dibuat oleh seorang perempuan yang berkahwin atau sedang dalam iddah, suami perempuan itu tidak dianggap sebagai bapa anak itu. Pengakuan itu hendaklah disertai dengan pengesahan oleh suaminya ataupun dengan bukti.
Lain pula halnya dengan pengakuan oleh seorang lelaki. Seksyen 115 menyatakan bahawa jika seorang lelaki mengaku secara terang atau tersirat bahawa seseorang itu anaknya, ia adalah satu pengakuan yang sah. Tetapi ada beberapa syarat yang mesti dipenuhi iaitu:-
(a) tiada orang lain yang mengaku sebagai bapa anak itu;
(b) perbezaan umur memunasabahkan pertalian mereka sebagai pertalian anak dan bapa;
(c) jika anak itu telah akil baligh, dia setuju dan mengaku sebagai anaknya;
(d) lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
(e) pengakuan itu juga hendaklah mengakui bahawa anak itu anak sahtarafnya;
(f) lelaki itu berupaya membuat kontrak;
(g) tujuan pengakuan itu semata-mata untuk memberi kesahtarafan; atau
(h) pengakuan itu jelas maksudnya dan anak itu diakui sebagai anak kandungnya.
Namun seksyen 116 memperuntukkan beberapa keadaan yang mengakibatkan pengakuan lelaki itu tidak sah. Keadaan ini ialah:-
(a) anak itu menolak pengakuannya;
(b) bukti perbezaan umur antara keduanya memustahilkan hubungan anak beranak;
(c) bukti bahawa anak itu sebenarnya anak orang lain; atau
(d) bukti bahawa ibu anak itu tidak mungkin menjadi isteri yang sah kepada lelaki tersebut.
Enakmen juga ada menyebut tentang persetubuhan syubhah. Seksyen 114 menyatakan jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa kepada anak itu.
Oleh itu, cara-cara untuk menentukan keturunan seseorang itu dapatlah kita simpulkan di sini dengan melihat kepada tempoh maksimum kehamilan dan juga pengakuan yang disertakan dengan bukti-bukti. Namun dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, salah satu cara yang perlu kita ambil serius dan perlu mengadakan peruntukan tentangnya dalam undang-undang ialah ujian DNA yang dapat memberikan keputusan genetik seseorang. Teknik ini juga seharusnya digunakan di dalam Enakmen Keluarga Islam dan tidak bergantung kepada pandangan yang mungkin dilakukan semasa ketiadaan kemajuan sains.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my