Wasiat Ibu Jadi Masalah
11 Mac 2005
Soalan:
Ibu saya meninggal dunia dua bulan lalu. Sebelum meninggal dia sakit terlantar dan sayalah yang menjaganya sehingga dia meninggal. Tetapi sebelum dia meninggal dia membisikkan kepada saya bahawa dia ingin mewasiatkan rumah yang dia tinggal sekarang kepada saya kerana penat lelah saya menjaganya.
Tetapi apabila saya menceritakan kepada dua orang abang saya, mereka tidak percaya dan berkeras bahawa semua harta arwah ibu perlu dibahagikan mengikut faraid. Abang-abang mahu menjual rumah itu. Macam mana dengan wasiat yang arwah ibu perlu dibahagikan mengikut faraid. Macam mana dengan wasiat yang arwah ibu tinggalkan? Tidakkah saya berhak ke atas rumah itu?
- Juli, Kuala Lumpur
Jawapan:
Surah An-Nisa boleh dirujuk mengenai cara pembahagian harta pusaka si mati. Ayat 4:11 telah menyatakan bahawa pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya...'
Ternyata di sini bahawa dua perkara perlu diselesaikan dahulu sebelum harta pusaka si mati dibahagikan di antara waris-warisnya iaitu pembahagian wasiat dan penyelesaian hutang.
Kita boleh merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumiannya, hutang dan wasiat.
Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.
``Di dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.''
Ia telah menggariskan empat rukun wasiat iaitu al-musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul.
Tidak ada perkataan yang khusus untuk membuat satu-satu wasiat. Maka sebarang kenyataan yang berniat untuk memberi harta tanpa apa-apa balasan selepas kematian orang yang berwasiat adalah sah.
Di dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat dua syarat yang perlu diikuti iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta si mati dan ia tidak boleh diwariskan kepada waris yang telah tersenarai di dalam hukum faraid.
Puan adalah termasuk dalam senarai waris sedia ada iaitu sebagai anak perempuan.
Undang-undang di Malaysia adalah cenderung mengikut pendapat ulama Sunni, namun pandangan lain mengenai wasiat mungkin patut diharuskan untuk membuat penyesuaian supaya pembahagian harta lebih adil mengikut keadaan waris-waris dalam suatu keluarga perlu dipertimbangkan.
Ini terutama sekali sekiranya tidak terdapat bantahan daripada waris lain mengenai pembahagian harta.
Kita boleh melihat daripada Hadis Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga. Ia adalah mengenai sahabat Baginda yang hanya mempunyai seorang anak pe-rempuan dan ingin mewasiatkan seluruh hartanya bagi tujuan khairat kebajikan am.
Rasulullah s.a.w kemudiannya telah memperuntukkan bahagian yang boleh diwasiatkan itu kepada satu pertiga supaya anak perempuannya tidak dibiarkan tanpa harta. Ternyata perintah Rasulullah s.a.w adalah untuk keadilan kepada anak perempuan tersebut.
Terdapat kemungkinan bahawa puan tidak dapat memperoleh harta tersebut sekiranya ia adalah termasuk di dalam harta pusaka apalagi apabila abang puan enggan memberikan persetujuan mereka dalam hal ini.
Namun dalam kes puan, penelitian juga harus dilakukan kepada lafaz ibu. Sama ada ibu menyatakan bahawa rumah tersebut sebagai wasiat atau sebagai hadiah yang efektif sebelum kematiannya. Sekiranya ibu melafazkan pemberian tersebut sebagai wasiat, maka puan akan terikat kepada garis panduan yang ternyata di atas.
Sekiranya pemberian tersebut adalah sebagai hadiah yang patut ambil sebelum kematian ibu, maka harta tersebut adalah tidak terikat kepad garis panduan yang dinyatakan dan puan adalah berhak ke atas harta ini. Ini adalah kerana harta tersebut bukanlah harta pusaka dan pemberian telah sempurna semasa hayat ibu.
Oleh kerana ibu puan akan mempertikaikan perkara ini maka puan perlu merujuk kepada mahkamah syariah. Sijil Faraid hanya akan dikeluarkan mahkamah syariah apabila segala tuntutan ke atas harta selesai dibahagikan dan ini membolehkan puan membuat tuntutan ke atas harta tersebut.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my