Ditangkap khalwat ketika bekerja
12 Ogos 2005

Soalan:

Baru-baru ini, ketika kakak saya di panggil bekerja lebih masa pada hari Ahad oleh bosnya, dia telah diserbu oleh orang jabatan agama dengan tuduhan berkhalwat. Ketika ditangkap kakak saya sedang mengambil wuduk di bilik air. Ketuanya (dari kaum Cina) berada dalam bilik, sedang bekerja. Adakah itu dianggap khalwat? Saya tidak begitu faham dan waktu kejadian pula pada 1.50 tengahari. Dalam keadaan seperti ini apa yang boleh kita buat?.
-Man Mulia,Gopeng, Perak.

Jawapan:

Khalwat merupakan satu kesalahan jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah.

Melihat kepada kes kakak saudara, kita boleh merujuk kepada seksyen 52(2) Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 yang menyatakan bahawa:
``Seseorang perempuan yang didapati bersama dengan seorang lelaki atau lebih yang bukan suami atau muhrimnya di tempat yang sunyi atau dalam sebuah rumah atau bilik atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat, adalah melakukan suatu kesalahan dah hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.''

Oleh kerana ia kesalahan jenayah, tugas untuk membuktikan bahawa kakak saudara bersalah amatlah berat. Ini kerana pihak pendakwa bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa kakak saudara telah bersalah atas kesalahan khalwat tanpa sebarang keraguan lagi.

Bagi satu kesalahan khalwat, pihak pendakwa bukan hanya perlu membuktikan kakak saudara telah didapati berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrimnya, malah pihak pendakwa juga harus membuktikan bahawa wujudnya hal keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat mengikut Islam - melakukan perkara yang haram dan meninggalkan perkara yang wajib menurut Syariah.

Kami ingin merujuk kepada satu kes di Negeri Sembilan sebagai panduan saudara dan pembaca. Dalam kes Pendakwa Syarie Negeri Sembilan lawan Ahmad Rashid & Satu Lagi [2004] CLJ (Sya) 209, tertuduh telah ditangkap oleh sebab berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan muhrimnya serta bukan isterinya di dalam sebuah rumah.

Saksi-saksi kes telah gagal memberikan bukti bahawa ada terdapat timbulnya keadaan syak untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan itu.

Hakim telah berpendapat bahawa dalam kes khalwat, pihak pendakwa bukan sahaja perlu membuktikan bahawa orang yang berkenaan didakwa telah didapati berdua-duaan, tetapi perlu juga menunjukkan bahawa adanya keadaanyang menimbulkan syak bahawa iaitu mereka adalah berduaan untuk melakukan kes khalwat.

Selanjutnya, hakim juga memberi pandangan bahawa sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini menganggap bahawa adalah tidaklah janggal lelaki dan perempuan berada di satu tempat atau bangunan kalau tidak ada perlakuan yang boleh dicurigakan. Hal ini biasa ditemui di pejabat, di bilik guru dan sebagainya - asalkan tidak melakukan perbuatan sumbang tidaklah dianggap salah oleh masyarakat.

Bagi kes ini, bukan satu kesalahan bagi kakak saudara untuk bekerja lebih masa bersama ketuanya. Sememangnya menjadi lumrah bagi masyarakat kita untuk bekerja pada hujung minggu terutama sekali apabila keadaan memerlukan. Perbuatan ini tidak boleh dianggap sebagai satu maksiat. Kakak saudara boleh mencabar kes pendakwa sekiranya dia didakwa di mahkamah.

Tindakan pegawai agama itu, pada pendapat kami adalah bercanggah dengan hak privasi seseorang individu.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my