Bekas Suami Lepas Tangan
14 Oktober 2005
Soalan:
Saya telah bercerai pada tahun 2000 melalui cerai taklik setelah bekas suami tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan. Kemudian, beliau telah berpindah ke Australia sebelum selesai proses perceraian lagi.
Mahkamah telah memutuskan bahawa beliau perlu membayar nafkah anak sebanyak RM200 sebulan, mut'ah RM500 dan nafkah edah RM900. Namun, sehinggalah sekarang ini, saya tak pernah menerima apa jua pemberian daripada beliau. Saya pernah membuat pertanyaan tentang hal ini kepada Mahkamah Syariah melalui e-mel namun jawapan yang diberikan ialah kes sebegini di luar bidang kuasa Mahkamah kerana Mahkamah kita tiada perundangan untuk menuntut nafkah dari pihak yang berada di luar Negara. Jadi, dengan ini, bekas suami saya bebas sepenuhnya daripada tanggungan.
Terus-terang saya katakan memang saya tak perlukan bantuan dia, namun saya cuma mahu dia bertanggungjawab ke atas anak kami. Malah, perintah telah pun dikeluarkan oleh Mahkamah. Takkanlah dia senang-senang terlepas begitu sahaja?
-Nur Atiqah, Kuala Lumpur
Jawapan:
Undang-undang sememangnya telah memperuntukkan bahawa seorang bapa itu bertanggungjawab untuk menyara anaknya. Perintah Mahkamah yang dikeluarkan terhadap suami puan adalah bukti bahawa tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan.
Tindakan suami puan yang melarikan diri ke luar negara menunjukkan bahawa dia tidak mahu bertanggungjawab sebagai seorang bapa dan juga dia memandang rendah dengan perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
Tidak ada peruntukan dalam Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 bagi melaksanakan perintah pembayaran nafkah edah dan nafkah anak bagi bekas suami yang berada di luar negara. Ini bermakna, Mahkamah Syariah sememangnya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap bekas suami puan yang kini berada di Australia.
Namun begitu, ini tidak bermakna perintah pembayaran nafkah edah dan nafkah anak tersebut tidak dapat dilaksanakan terhadap suami puan di Australia mengikut prosedur guaman sivil.
Perintah pembayaran tersebut boleh dilaksanakan mengikut Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 dibaca bersama dengan Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968.
Seksyen 4 Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 memperuntukkan bahawa:
"Bila mana Mahkamah tempatan telah memutuskan perintah nafkah terhadap seseorang, dan ianya dibuktikan bahawa dianya tinggal di negara-negara salingan, Mahkamah akan menghantar satu perintah tersebut yang disahkan kepada Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal luar negeri untuk dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan di negara-negara salingan.''
Mengikut Akta tersebut, Australia adalah salah satu Negara salingan. Namun, Akta tersebut mendefinisikan Mahkamah tempatan sebagai Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan guaman berkenaan nafkah isteri atau anak. Dalam kes puan, Mahkamah yang memutuskan perintah nafkah tersebut adalah Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.
Oleh itu, puan haruslah terlebih dahulu mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret sebelum membuat permohonan bagi penguatkuasaan perintah nafkah di Australia.
Puan bolehlah memohon kepada Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah-perintah yang diperuntukkan di dalam Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my