Suami Berubah - Setelah Berhenti Kerja
20 Mei 2005
Soalan:
Sejak suami dibuang kerja, dia banyak berubah. Dia menjadi seorang yang panas baran.Tangannya cepat naik ke badan saya dan anak-anak.
Perkara kecil pun akan menjadi sebab untuk dia memukul kami anak-beranak. Dulu dia tidak seperti ini, tidak pernah tinggi suara apalagi memukul kami. Tetapi sekarang apa yang saya boleh lakukan? Saya dan anak-anak masih sayangkan beliau. Kami tidak mahu berpisah. Saya dan anak-anak cuma mahu dia berhenti memukul kami, itu saja.
- Jarah Abd Hamid, Gombak
Jawapan:
Hubungan kekeluargaan seharusnya bersandarkan dengan perasaan hormat menghormati dan kasih sayang. Kitab suci al-Quran menekankan nilai-nilai masalah melarang dengan keras sebarang bentuk kezaliman sesama manusia.
Dalam surah 30:21, ``Antara hikmahNya: Dia menjadikan jodoh untukmu dari dirimu (bangsamu) supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir.''
Dan dalam surah 4:19, Allah berfirman: ``Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusakai perempuan dengan paksaan dan janganlah bertindak kejam terhadap mereka,...sebaliknya bergaullah dengan mereka secara berbaik-baik lagi adil. Kalau kamu benci kepadanya mungkin kamu benci akan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.''
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya.
Puan juga boleh mengadu dan berunding kepada saudara mara yang terdekat yang boleh dipercayai dan mampu menasihati suami. Langkah mengambil orang tengah ini sememangnya disyorkan oleh Islam dan dapat dilihat dalam surah 4:35, ``Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantik orang tengah (untuk mendamaikan mereka, iaitu) seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan...''
Bagaimanapun, jika keadaan ini masih berlarutan, maka keseluruhan diri puan dan anak-anak perlu diambil perhatian. Puan boleh merujuk kepada Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang khusus digubal untuk menangani masalah keganasan rumah tangga. Akta ini memperuntukan satu perintah perlindungan interim (ss4) dan perintah perlindungan (ss5) bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga.
Perintah perlindungan ini bertujuan untuk menghalang dan melindungi mangsa daripada terus dikasari dan disakiti.
Untuk membuat permohonan perintah di atas, puan dan anak-anak hendaklah membuat satu laporan polis berkenaan perlakuan suami yang menyakiti puan dan anak-anak. Laporan ini hendaklah dibuat di balai polis yang berhampiran dengan tempat kejadian.
Apa yang perlu puan nyatakan dalam laporan tersebut ialah tarikh, masa dan tempat kejadian.
Bersama dengan laporan polis dan surat daripada pegawai penyiasat itu, puan akan dirujuk pula kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdekat dan seorang pegawai kebajikan masyarakat akan ditugaskan untuk mengendalikan kes puan. Beliau akan membawa surat daripada pegawai penyiasat tadi kepada mana-mana majistret di mahkamah yang berhampiran untuk memperoleh perintah perlindungan sementara. Perintah ini kemudian akan diserahkan kepada suami puan oleh seorang pegawai polis.
Apa yang berlaku selepas laporan polis dibuat ialah satu siasatan berkenaan hal ini akan dilakukan. Polis tidak akan menangkap suami puan dengan segera, jadi usahlah puan bimbang suami akan ditangkap polis.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my