Tanah Bersyarat - Tidak Dibenar Pindah Milik
22 April 2005

Soalan:

Ibu saudara saya ingin menghibahkan sekeping tanah miliknya kepada anak angkatnya sebagai tanda kasihnya kerana anak itulah yang telah menjaganya sejak 30 tahun lalu. Persoalannya sekarang ialah tanah itu bersyarat, "Tidak dibenarkan pindah milik atas Suratcara 14A KTN melainkan dengan izin Menteri Besar.'' Dikhuatiri kebenaran akan diperoleh selepas ibu saudara saya meninggal dan tidak sempat untuk menghibahkan tanah tersebut. Dia mempunyai seorang waris iaitu suaminya. Apa yang boleh dilakukannya agar dapat memberi tanah tersebut kepada anak angkatnya?
- Malam Deman, Selangor

Jawapan:

Dalam Islam selain daripada pembahagian secara faraid, hukum syarak ada menyediakan cara-cara lain dalam tatacara pembahagian harta. Antaranya ialah pembahagian melalui wasiat, hibah, sedekah dan hadiah.

Masalah yang dirujuk oleh tuan adalah berkaitan dengan persoalan pembahagian harta secara hibah. Apakah yang dimaksudkan dengan hibah menurut hukum syarak?

Menurut kitab I'aanatul Taalibin, hibah ditakrifkan seperti berikut;
``Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru' (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.''
Huraian seterusnya di dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh As-Syarbini ini disebut hibah disyaratkan adanya lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah.

Hibah disempurnakan semasa tuan punya harta masih hidup, berbeza dengan wasiat yang hanya sempurna apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Rukun hibah yang mesti dipenuhi oleh ibu saudara tuan untuk menjadikannya sah di bawah hukum syarak seprti yang disebut di dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh As-Syarbini iaitu;
``Rukun hibah itu ada tiga iaitu pihak-pihak yang melakukan akad hibah terdiri daripada pemberi hibah (wahib) dan penerima (mawhub lahu), akad nikah melalui ijab dan qabul dan adanya barang yang dihibahkan itu (mawhab).''

Dengan memenuhi rukun-rukun seperti yang dinyatakan di atas, hibah dapat dijalankan oleh ibu saudara tuan bagi memberikan tanah tersebut kepada anak angkatnya.

Syarat ke atas pemberi hibah juga mestilah dia bebas menguruskan harta tersebut yang mana ibu saudara tuan mempunyai kebebasan untuk menguruskan harta tersebut walaupun kebenaran daripada kerajaan negeri (menteri besar) perlu diperoleh dalam memindah milik tanah tersebut.

Oleh yang demikian hibah boleh dilakukan terhadap tanah tersebut walaupun kebenaran belum diperoleh daripada pihak kerajaan negeri oleh kerana kebenaran tersebut adalah bagi mengesahkan tanah tersebut boleh dipindah milik.
Disebabkan ibu saudara mempunyai niat ingin menghibahkan tanah tersebut dan juga anak angkatnya sudah mengetahui dan menerima hibah ini maka hibah dapati dijalankan.

Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Di sini ibu saudara tuan memiliki sekeping tanah, dia boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama anak angkatnya menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Kebenaran daripada pihak kerajaan negeri adalah daripada segi formaliti yang mana ini diperlukan dalam melaksanakan Borang 14A KTN bagi proses pindah milik dan menukarkan nama kepada penerima tanah tersebut.

Dengan itu hibah boleh dijalankan semasa ibu saudara tuan masih hidup dan kebenaran tersebut hanya untuk proses pindah milik hartanah di Pejabat Tanah yang berkaitan.

Walaupun ibu saudara tuan mempunyai waris iaitu suaminya namun jika hibah telah dilakukan beliau tidak boleh mengambil tanah tersebut oleh kerana tanah itu telah dipindahkan semasa hayat ibu saudara tuan.

Apa yang boleh suami ibu saudara tuan peroleh adalah pembahagian harta dari segi faraid dan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu saudara tuan (jika ada).

Melalui hibah ini, waris-waris ibu saudara yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta bendanya kelak.
Isu paling penting di sini adalah ibu saudara tuan mesti memindahkan harta benda yang ingin dipindahkan semasa hayatnya lagi. Sekiranya terdapat syarat bahawa pemindahan harta benda akan berlaku hanya selepas kematian, maka ia tidak sah dari segi syariah dan hukum faraid akan menentukan pembahagian harta.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my