Perlukah Saya Ikut Nasihat Peguam?
22 Julai 2005
Soalan:
SELEPAS melalui satu proses Mahkamah yang amat rumit dan menyusahkan, akhirnya hak penjagaan anak diberikan kepada saya. Bekas suami mendapat hak lawatan setiap hujung minggu. Pada mulanya, suami mengambil anak dari rumah dan meminta izin daripada saya untuk bawa anak bermalam di rumahnya. Saya tidak pernah membantah atas permintannya. Dua bulan kemudian, suami tak minta daripada saya dah untuk bawa anak bermalam di rumahnya. Saya tidak kisah, sebab anak itu anak dia juga, jadi tidak mengapalah.
Sekarang suami sudah berani ambil anak di sekolah tanpa beritahu saya dan bawa anak tinggal di rumahnya seminggu baru hantar balik ke rumah saya. Saya ceritakan masalah ini kepada peguam saya. Peguam kemudian nasihatkan saya supaya jangan bagi bekas suami ambil anak. Bukankah jika saya tidak beri anak kepada bekas suami, saya akan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana ingkar perintah mahkamah? Macam mana saya hendak tahu jika apa yang dinasihatinya ini betul atau tidak? Kawan saya kata tak boleh. Saya agak bingung kini. Bolehkah saya ikut apa yang dinasihatinya itu? Dan kalau nasihat yang diberikan tidak betul, apa yang boleh saya lakukan?
- Mas Mona, Padang Jawa, Klang
Jawapan:
Apabila satu perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah, semua pihak wajib untuk mematuhi setiap kata putus yang telah dimenterikan. Adalah menjadi satu kesalahan apabila tidak mematuhi dan perkara ini boleh dikenakan hukuman jika didapati bersalaha.
Seksyen 229(3) Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003 menyatakan bagi satu penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, seperti melanggar perintah Mahkamah, satu permohonan yang disokong oleh affidavit hendaklah difailkan. Permohonan ini hendaklah memaklumkan kepada Mahkamah tentang penghinaan yang telah dilakukan. Mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan satu notis tunjuk sebab kepada pihak yang telah dikatakan melanggar perintah ini. Kemudian satu perbicaraan akan dijalankan untuk menentukan penghinaan yang telah dikatakan itu.
Menurut Seksyen 229(1) Enakmen Tatacara Syariah Selangor 2004, ia menyatakan bahawa Mahkamah boleh membuat satu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.
Melihat kepada kes puan ini, adalah nyata bahawa suami telah dengan sengaja mengingkari perintah Mahkamah.
Selain daripada dikenakan tindakan menghina mahkamah, satu perintah injuksi juga boleh dipohon.
Permohonan injunksi ini boleh dilakukan secara ex-parte dan boleh didengar dengan kadar segera oleh mahkamah, jika keadaan mendesak. Ini diperuntukkan dalam seksyen 200(3) tatacara Mal. Puan boleh menyatakan bahawa puan takut suami mengambil anak dan tidak memulakan kepada puan lagi. Tindakan suami yang berani melanggar perintah mahkamah juga boleh membantu permohonan puan ini. Dengan injunksi ini, puan boleh memaksa bekas suami mematuhi perintah mahkamah yang telah dikeluarkan apa-apa tindakan mahkamah.
Setelah perintah ini diperoleh, barulah peguam boleh menasihatkan puan agar tidak memberi anak kepada suami jika suami tidak mematuhi syarat-syarat di atas kerana terdapat satu perintah baru yang telah berkuat kuasa. Oleh itu, puan tidak akan dikenakan apa-apa tindakan mahkamah.
Selepas itu, puan hendaklah membuat permohonan kepada mahkamah untuk merubah perintah berkenaan perjanjian penjagaan. Perintah ini boleh diperoleh dalam seksyen 77 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Di sini, puan boleh mengubah perjanjian hak lawatan yang telah diberikan sebelum ini. Mungkin puan boleh menghadkan hari bekas suami hanya dibenarkan melawat dengan kebenaran dan pengawasan puan sahaja, atau apa-apa syarat yang puan fikirkan sesuai.
Di Selangor, peguam-peguam syarienya adalah tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991. Menurut kaedah ini, seorang peguam syarie boleh diambil tindakan tatatertib oleh satu Jawatankuasa Peguam Syarie.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my