Bukan Dapat Rumah Tapi Dapat Hutang
23 September 2005
Soalan:
Setelah mendapat keputusan daripada Mahkamah Syariah Klang tentang pembahagian harta sepencarian, saya telah berjaya mendapat rumah kelamin. Tetapi rumah tersebut masih belum habis bayaran pinjaman banknya. Malahan banyak bayaran yang tertunggak. Saya bukannya mendapat harta, tetapi mendapat hutang. Siapa yang bertanggungjawab untuk membayar balik hutang bank ini? Saya bukannya mampu sangat. Sudahlah nafkah edah diberi RM300 saja sebulan. Nafkah anak pun RM300 untuk dua orang. Mana cukup. Macam mana dengan hutang rumah itu?
- Liana Karim, Selangor
Jawapan:
Apabila seseorang wanita diceraikan, antara hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita itu adalah harta sepencarian. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, seksyen 122.
Harta sepencarian ini sebenarnya merupakan adat orang Melayu yang diiktiraf dalam perundangan dan dikodifikasikan dalam undang-undang keluarga Islam.
Merujuk kepada kes puan ini, dalam membuat keputusan memberikan rumah kelamin kepada puan, Mahkamah seharusnya membuat penyiasatan terlebih dahulu tentang apa-apa hutang yang bersangkutan dengan rumah tersebut.
Kemungkinan fakta ini tidak dinyatakan kepada Mahkamah Syariah yang telah memutuskan perbicaraan puan.
Dalam menukar nama rumah tersebut kepada pemilik yang baru, sudah tentu pihak bank ingin melindungi kepentingannya. Persoalan siapa yang akan membayar pinjaman merupakan perkara pokok yang akan dipertimbangkan oleh bank.
Oleh itu, dalam proses pindah milik, Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa pindah milik yang sebegini haruslah dilakukan dengan memindah milikkan harta beserta dengan liabilitinya sekali. Liabiliti ini termasuklah hutang bank, cukai yang berkaitan dan sebagainya. Ini tentulah untuk melindungi kepentingan bank yang telah memberikan kemudahan pinjaman untuk mendapatkan rumah tersebut pada mulanya.
Berkenaan dengan bayaran tertunggak, liabiliti yang dipindahkan hendaklah dikira dari tarikh perintah tersebut dikeluarkan. Puan tidak seharusnya menanggung hutang-piutang yang ditinggalkan oleh bekas suami. Oleh itu, segala tunggakan terakhir sebelum dari tarikh perintah tersebut dikeluarkan hendaklah diselesaikan oleh bekas suami.
Tetapi, dalam keadaan ini, puan masih bertanggungjawab untuk membayar baki pinjaman ke atas rumah tersebut.
Terdapat satu cara penyelesaian yang lain yang mungkin boleh puan dan bekas suami bincangkan di sini. Dalam proses pindah milik rumah tersebut, ada beberapa bank yang membenarkan hakmilik rumah tersebut ditukarkan tetapi, nama peminjamnya tetap sama.
Ini bermakna, rumah tersebut boleh ditukar nama kepada puan tetapi bekas suami merupakan peminjam bank. Di sini, puan dan suami hendaklah membuat satu perjanjian pinjaman yang baru. Perjanjian pinjaman ini akan menunjukkan bahawa bekas suami puan tetap peminjam yang sah di sisi undang-undang dan puan merupakan pemilik berdaftar rumah tersebut. Maka, adalah menjadi kewajipan suami untuk membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.
Satu lagi cara penyelesaian ialah bekas suami menyerahkan rumah tersebut kepada puan sebagai amanah. Pindah milik akan disempurnakan apabila segala pinjaman telah dibayar balik oleh bekas suami. Sementara itu, puan boleh tinggal di rumah tersebut.
Ajaklah bekas suami berbincang cara yang baik untuk menyelesaikan masalah ini. Ajukan beberapa cadangan yang dinyatakan di sini untuk dipertimbangkan. Rumah ini juga tempat perlindungan bagi anak-anaknya. Perkara inilah yang harus dititik beratkan dalam perbincangan puan dan bekas suami.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my