Tuntutan Harta Sepencarian
27 Mei 2005

Soalan:

Suami saya baru meninggal dunia. Sekarang adik-beradiknya sibuk bertanyakan tentang harta pusaka. Tetapi, setahu saya, sebelum harta pusaka dibahagikan, saya berhak untuk menuntut harta sepencarian saya terlebih dahulu.
Bagaimanakah caranya saya hendak membuat tuntutan ini sebelum habis harta suami saya direbut oleh adik-beradiknya. Buat pengetahuan SIS, kami tidak mempunyai anak dan waris yang tinggal hanyalah dua adik lelaki suami saya.
- Fifi, Banting, Klang.

Jawapan:

Mengikut hukum syarak, apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut sistem faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa' menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris. Seperti yang terkandung dalam surah al-Nisaa' ayat 12, ``Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu'', bahagian puan ialah seperempat daripada harta pusaka suami.

Namun, sebelum harta pusaka suami dibahagikan mengikut sistem faraid, puan berhak untuk menuntut harta sepencarian terlebih dahulu.

Maka, salah satu hak yang bergantung terhadap harta itu termasuklah harta sepencarian yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Untuk menuntut harta sepencarian ini, puan hendaklah mengenalpasti mana satu harta pusaka suami yang merupakan harta sepencarian. Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, ss 2 mentafsirkan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Walaupun harta itu atas nama suami puan, tetapi jika ia merupakan harta sepencarian, maka puan berhak ke atasnya.

Untuk menuntut hak puan ini, apa yang perlu puan lakukan ialah memfailkan kes puan ini di Pejabat Daerah yang berdekatan di Bahagian Harta Pusaka Kecil, jika harta pusaka suami tidak melebihi RM600,000. Puan dikehendaki untuk melengkapkan Borang A untuk mendapatkan Suratcara Kuasa Mentadbir. Suratcara ini akan memberi kuasa kepada penama untuk membahagikan harta pusaka si mati. Sesiapa yang mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati boleh memohon untuk menjadi pentadbir, termasuklah puan. Tetapi, jika ingin mengelakkan pertikaian, puan dan adik lelaki puan boleh menjadi pentadbir bersama dalam prosiding ini.

Di sini juga puan hendaklah menyatakan bahawa puan ingin membuat tuntutan harta sepencarian ke atas harta pusaka si mati. Jadi, sebelum Suratcara itu dikeluarkan, tuntutan harta sepencarian puan akan ditentukan terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurut ss 122 Enakmen, Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta sepencarian. Apa yang puan perlu buktikan di sini adalah puan ada membuat sumbangan terhadap pemerolehan harta tersebut dan sebanyak mana takat sumbangan puan ke atas harta itu.

Jika puan ada membuat apa-apa bayaran terhadap harta sepencarian tersebut, maka bukti-bukti seperti resit-resit pembayaran, arahan potongan gaji, perjanjian pinjaman perlulah disertakan untuk menyokong kes puan. Selain daripada itu, sumbangan selain dari wang ringgit seperti tenaga yang disumbangkan juga akan diambil kira oleh Mahkamah untuk menentukan kadar sumbangan puan. Adalah lebih elok jika puan dapat membawa saksi untuk menyokong kes puan ini.

Setelah Mahkamah Tinggi menentukan hak puan ke atas harta sepencarian, maka ia akan mengeluarkan perintah bahawa harta tersebut adalah milik puan dan hanya bakinya dibahagikan menurut sistem faraid.

Berdasarkan ayat 12, surah al-Nisaa' di atas, puan berhak ke atas seperempat daripada harta pusaka si mati. Bakinya hendaklah dibahagikan kepada kedua-dua adik lelaki suami puan.

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dilakukan sebelum harta pusaka dibahagikan antara waris-waris kerana jika selepas harta itu selesai dibahagikan kepada waris-waris, maka puan akan dianggap tidak mahu atau melepaskan hak puan ke atas hak harta sepencarian.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my