Isteri Ragu - Ingin Tahu Tentang Status
28 Januari 2005
Soalan:
Saya menghadapi masalah berikut dan amat menghargai bantuan daripada Sisters In Islam. Saya dan suami telah lama berumah tangga, lapan tahun pada bulan Jun tahun ini. Tetapi perkahwinan kami tidak bahagia. Kami kerap bertengkar dan telah hampir dua tahun kami tidur berasingan walaupun tinggal serumah. Suami saya telah berkata ``Lepas Raya, I lepaskan you'' pada bulan puasa tahun lalu. Apakah kesan lafaz suami saya ini? Adakah perkahwinan kami masih sah? Apakah status saya kini? Saya amat memerlukan nasihat atas apa yang perlu saya lakukan selanjutnya. Sekian, terima kasih.
- Raden Mas Ayu, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Perkahwinan adalah sebahagian daripada Sunnah S.A.W yang dituntut ke atas setiap muslim yang berkemampuan untuk menunaikannya Setelah seseorang itu berkahwin maka dituntut ke atas mereka untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kewajipan hidup sebagai suami isteri.
Adab berumah tangga ada dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 321 yang bermaksud:
``...Layanilah (isteri kamu) mereka itu secara baik atau pisahlah (isteri kamu) mereka itu secara baik...''
Rasulullah S.A.W sendiri banyak memberi pengajaran dan teladan bagaimana cara melayan isteri dengan baik.
Oleh itu, perceraian haruslah dilakukan dengan cara yang baik dan mengikut prosedur yang betul. Tujuannya adalah untuk memastikan hak-hak suami, isteri dan anak-anak terpelihara.
Lafaz talaq oleh suami merupakan salah satu cara bagi satu perceraian. Bagaimanapun, prosedur yang betul yang perlu dituruti ialah suami perlu melafazkan talaq di hadapan Mahkamah. Hal ini diperuntukkan di bawah seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Selepas ini disebut sebagai Akta tersebut). Seksyen ini menyatakan bahawa suami atau isteri yang hendak bercerai perlu menyerahkan suatu permohonan ke Mahkamah Syariah.
Melafazkan cerai di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Seksyen 124 Akta tersebut memerlukan bahawa kesalahan ini jika disabitkan, akan dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Pihak Mahkamah amat tegas dalam hal ini dan ini boleh dilihat melalui kes Pendakwa Mahkamah Syariah, Melaka v Ismail bin Jaafar (1989) 7 JH 100 yang mana Mahkamah di Melaka telah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM80 kerana didapati melafazkan talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah.
Merujuk kepada kes puan, suami telah melafazkan kata-kata yang menimbulkan kesangsian puan terhadap keesahan perkahwinan puan dan suami puan.
Apa yang harus ditentukan ialah sama ada talaq telah jatuh melalui perkataan yang dilafazkan oleh suami. Untuk menangkis kesangisn terhadap keesahan perkahwinan puan dan suami, rujukan haruslah dilakukan ke Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan lafaz talaq. Rujukan boleh dilihat kepada Seksyen 45 Akta terserbut. Seksyen ini membolehkan Mahkamah mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar Mahkamah.
Mahkamah terlebih dahulu akan membuat siasatan untuk memastikan sama ada lafaz talaq suami sah mengikut Hukum Syarak sebelum pengesahan sesuatu perceraian di buat. Suami dan saksi-saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah. Mahkamah juga akan meneliti rukun-rukun perceraian atau talaq.
Rukun talaq ada lima iaitu:
1) Suami
2) Lazaz yang digunakan
3) Kepada siapa talaq itu diqasadkan (diniatkan)
4) isteri: dan
5) Talaq itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.
Mahkamah perlu berpuas hati terhadap lafaz talaq dan kelima-lima rukun telah dipenuhi barulah Mahkamah akan mengesahkan kesahihan lafaz cerai tersebut.
Dalam kes Zainab v Abdul Latiff (1991) 8 JH 297, antara lain Mahkamah memutuskan bahawa walaupun talaq adalah hak suami tetapi ia tidak boleh dilafazkan dengan sewenang-wenangnya dan sesuka hati tetapi ia hendaklah dilafaz dengan berhati-hati dan bertanggungjawab.
Sehingga Mahkamah mengesahkan perceraian tersebut, puan dan suami masih pasangan suami isteri yang sah.
Dalam kes ini, puan dinasihatkan segera merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk menghilangkan kesangsian puan. Aduan ini boleh dilakukan oleh puan tanpa kehadiran suami. Jika suami enggan untuk membuat aduan ke Mahkamah, puan sendiri boleh membuat aduan tersebut.
- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my