Enggan Keluar - Mangsa Jadi Bahan Sindiran
29 April 2005

Soalan:

Adik saya bekerja sebagai seorang kerani di Kuala Lumpur. Baru-baru ini dia telah mengadu kepada saya bahawa seorang pegawai di tempat dia bekerja selalu mengajaknya keluar. Dia telah berkali-kali memberitahu pegawai tersebut keengganannya kerana pegawai tersebut sudah kahwin. Sekarang pegawai itu sering menyindirnya secara sinis apabila adik saya lalu di hadapannya. Kadang-kala perkataan yang tidak manis dikeluarkan. Adik saya merasa serba salah kerana ini adalah pekerjaannya yang pertama dan dia mahu mengumpul pengalaman. Saya telah meminta dia mengadu kepada pihak atasan tetapi adik saya takut dia akan diberhentikan kerja. Bolehkah dia mengambil tindakan?
- Kak Yong, Kuala Lumpur

Jawapan:

Masalah gangguan seksual di tempat kerja di Malaysia semakin membimbangkan kebelakangan ini kerana semakin ramai wanita yang bekerja.

Gangguan seksual boleh didefinisikan sebagai ``apa-apa kenyataan secara lisan, gerak isyarat atau tingkah laku yang bersifat seksual yang tidak disenangi, dilakukan dengan sengaja atau berulang-ulang.''

Ini termasuklah sentuhan, cubitan atau geselan yang tidak diingini, komen tentang tubuh, memandang dengan niat jahat, siulan, sorak ejekan, cacian yang bersifat seksual, kerap mengajak keluar, menunjuk atau mengedar gambar-gambar pornografi dengan niat menganggu seseorang.

Ugutan jika tidak memberi layanan seksual, tidak akan maju dalam pekerjaan atau jika layanan seksual diberi, pangkat akan dinaikkan saya merupakan satu gangguan seksual.

Tindakan pegawai itu yang berkali-kali mengajak adik saudari keluar dan mengeluarkan kata-kata yang tidak manis apabila adik saudari lalu di hadapannya boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Apa yang adik saudari boleh lakukan ialah menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap tindak-tanduk pegawai tadi kepada pegawai itu sendiri dengan tegas. Juga nyatakan bahawa perkara ini akan dibawa ke atas jika berterusan.

Memang memerlukan keberanian untuk melakukan perkara tersebut lebih-lebih lagi pegawai itu berpangkat lebih tinggi daripada adik saudari dan sudah lama bekerja di situ. Jika tidak berani melakukannya seorang diri dapatkan sokongan daripada teman-teman sepejabat.

Jika selepas ditegur tetapi tiada apa-apa perubahan atau adik saudari tidak berani melakukannya dia boleh merujuk perkara ini kepada Bahagian Sumber Manusia di pejabatnya. Dengan kepastian jika pejabatnya mengguna pakai Tata Amalan Pencegahan dan Pembanterasan Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada Ogos 1999.

Tata Amalan ini secara amnya mendefinisikan gangguan seksual dan mencadangkan mekanisme dalaman ditubuhkan untuk menangani masalah gangguan seksual ini.

Tata Amalan ini mengkehendaki syarikat-syarikat untuk merumuskan polisi yang melarang gangguan seksual, menubuhkan mekanisme aduan menangani gangguan seksual, lengkap dengan peraturan dan hukuman, menyediakan perlindungan dan langkah-langkah pemulihan kepada mangsa dan mengadakan program pendidikan dan menjadikan pekerja-pekerja terdidik tentang isu gangguan seksual di tempat kerja.

Selain itu, Tata Amalan ini juga menyediakan garis panduan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja.

Namun, jika pejabat adik saudari tidak mengguna pakai Tata Amalan ini, ia mungkin menggunakan Tata Amalannya yang tersendiri untuk menangani masalah gangguan seksual.

Atau, jika adik saudari mendapati bahwa syarikatnya tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk masalah ini, dia boleh membuat aduan kepada pihak atasan pegawai tersebut. Lagi sekali, sokongan teman sepejabat amatlah penting. Cubalah merisik jika ada mangsa lain yang pernah alami atau sedang alami perkara yang sama dan rekodkan bila, di mana dan bagaimana gangguan itu berlaku. Ini boleh menguatkan kes adik saudari.

Menyiasat
Adik saudari boleh juga mengadu ke Jabatan Buruh. Jabatan ini kemudiannya akan meminta majikan menyiasat aduan tersebut. Tetapi, kuasanya hanya setakat meminta suatu siasatan dalaman dijalankan atau perjumpaan dengan majikan itu. Jabatan ini tidak berkuasa untuk memaksa majikan mengambil apa-apa tindakan.

Namun, adalah menjadi kebiasaan bahawa mangsa-mangsa gangguan seksual takut untuk membuat aduan kerana bimbang hilang pekerjaan. Jika adik saudari diberhentikan kerana membuat aduan, maka dia boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perindustrian atas dasar pemecatan yang tidak adil di bawah Akta Perhubungan Perindustrian 1967, Seksyen 70.

Adik saudari boleh juga menyaman pegawai tersebut di bawah undang-undang sivil atas kesalahan tort untuk menuntut ganti rugi dan injunksi. Injunksi ialah perintah mahkamah menghalang pegawai tersebut mendekati adik saudari dan jika dia didapati melanggar perintah mahkamah itu dia akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Jika masih ragu-ragu atau mencari kekuatan untuk bertindak, adik saudari bolehlah menghubungi persatuan-persatuan wanita seperti AWAM atau WDC yang begitu aktif dan berpengalaman menangani masalah ini. AWAM boleh dihubungi di 03-78774221 dan WDC di 03-77846979/77844977.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my