Risau teman dipukul suami
11 Ogos 2006
Soalan:
Saya mempunyai seorang teman yang mengalami masalah rumahtangga. Keadaannya agak serius juga. Suaminya selalu memukulnya. Kesan lebam-lebam sentiasa ada padanya setiap kali saya bertemu dengannya.
Bukan itu sahaja, suaminya mengongkongnya dengan keterlaluan. Kad ATM, sijil-sijil peribadinya juga disimpan oleh suaminya. Apabila saya mengajaknya lari dari rumah, dia amat takut kerana suaminya pernah mengugut akan mencederakannya dengan lebih teruk jika dia berbuat begitu. Dia juga bimbangkan keselamatan anak-anaknya. Tetapi takkanlah dia harus tinggal dalam keadaan begini selama-lamanya? Adakah cara untuk membantu dia? Bagaimana saya boleh membantunya?
Suri Aaralynn, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Teman saudari tidak seharusnya diperlakukan sebegitu. Seorang suami bertanggungjawab ke atas kesejahteraan isteri dan anak-anaknya. Isteri dan anak-anak adalah amanah, perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.
Malah Allah berfirman dalam surah al-Nisaa, ayat 19 yang membawa maksud, Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusakai perempuan dengan paksaan dan janganlah kamu bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya bergaul dengan mereka secara baik-baik lagi adil. Kalau kamu benci kepadanya mungkin kamu benci akan sesuatu sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.
Di Malaysia, keganasan rumahtangga merupakan satu kesalahan jenayah. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 adalah bertujuan untuk menangani masalah ini. Apa yang dialami oleh teman saudari itu adalah tafsiran keganasan rumahtangga yang ada dalam Akta ini. Mengakibatkan kecederaan fizikal dan menjadikan teman saudari sentiasa hidup dalam ketakutan sememangnya definisi keganasan rumahtangga yang ada dalam Akta.
Untuk keluar daripada kemelut ini, teman saudari mestilah berani untuk mengambil langkah yang akan merubah hidupnya. Teman saudari ini bernasib baik kerana mempunyai teman yang sanggup membantunya. Dia amat memerlukan sokongan saudari terutamanya pada masa kini, apabila dia akan memulakan langkah pertamanya.
Terdapat beberapa persatuan wanita yang menyediakan rumah perlindungan bagi wanita dan anak-anak yang mengalami masalah sebegini. Antaranya ialah Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women's Aid Organisation (WAO). Saudari boleh membantu teman saudari ini dengan menghubungi talian 03-79603030. Para petugas di sana akan mengaturkan supaya teman saudari dan anak-anaknya mendapat perlindungan di rumah perlindungan mereka. Alamat rumah perlindungan ini dirahsiakan demi keselamatan penghuni-penghuninya.
Kemudian, seelok-eloknya hendaklah membuat laporan polis tentang keganasan yang pernah dialami walaupun kesan lebam-lebam telah hilang. Dalam laporan itu nanti perlulah menyatakan tentang keganasan yang pernah dilakukan oleh suaminya dahulu. Laporan ini penting untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara. Perintah ini bertujuan untuk melindungi teman saudari dan anak-anaknya daripada dipukul dan dikasari lagi.
Seksyen 4 Akta memberikan peruntukan untuk perlindungan sementara ini. Selepas membuat laporan polis tersebut, Pegawai Penyiasat akan mengeluarkan satu surat yang menyarankan bahawa teman saudari perlu memohon perlindungan sementara ini. Surat ini dialamatkan kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat yang kemudiannya akan membawanya kepada Majistret bagi mendapatkan perintah tersebut.
Seorang pegawai polis akan ditugaskan untuk menyampaikan perintah tersebut kepada suaminya nanti. Satu salinan pula akan diberi kepada Pegawai Penyiasat yang akan menjalankan siasatan tentang laporan teman saudari.
Sekiranya teman saudari itu masih ragu-ragu untuk melakukannya, dia masih boleh mendapatkan perlindungan di rumah perlindungan WAO. Di sana juga ada disediakan khidmat kaunseling jika teman saudari mahukan teman untuk berbicara. Apabila sudah bersedia dari segi fizikal dan emosi, dia bolehlah mengambil langkah seterusnya, dengan ditemani saudari, jika perlu.
Teman saudari ini juga mempunyai alasan yang amat kukuh juga untuk membuat permohonan perceraian fasakh di Mahkamah Syariah. Seksyen 52(1)(h) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa sekiranya suami menganiaya iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya, maka isteri bolehlah memohon ke Mahkamah Syariah untuk suatu perintah pembubaran perkahwinan.
Laporan polis dan juga perintah perlindungan sementara yang diperolehi boleh dijadikan bukti kelakuan aniaya suami teman saudari ini. Malah saudari juga boleh menjadi saksi kepada kelakuan ganas suaminya.
Sememangnya untuk mengambil langkah pertama merupakan satu perkara yang amat sukar dan memerlukan keberanian, lebih-lebih lagi tindakan yang akan membawa perubahan kehidupan kita. Dalam hal ini, teman saudari amatlah memerlukan sokongan dan pertolongan daripada saudari. Apa yang saudari boleh lakukan untuk membantunya ialah berada disisinya selama mana dia perlukan dan juga meminta pertolongan daripada pihak-pihak yang berkenaan seperti pertubuhan wanita untuk membantu meringankan peranan saudari.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada:
Panel Peguam Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000, Petaling Jaya atau telefon 03-7960 6122 pada hari Isnin dan Jumaat sahaja atau faks 03-7960 4737 atau e-mel: sistersinislam@pd. jaring.my.