Soalan:
Saya akan meneruskan pengajian di United Kingdom pada September akan datang. Masalah saya ialah saya kini sedang mengandung tiga bulan dan akan melahirkan bayi di sana nanti. Saya pula kini, atas sebab-sebab yang memang tidak boleh dielakkan, sedang dalam proses perpisahan dengan suami saya. Bagaimana saya mahu mendaftar anak saya di United Kingdom kelak? Perlukah suami atau bapa anak saya nanti ada bersama semasa membuat pendaftaran? Saya diberitahu bahawa tandatangan bapa diperlukan untuk membuat passport anak di bawah umur, adakah ini benar? Suami saya tidak akan berada di sana nanti.
Sharifah Dora, Kuala Lumpur
Jawapan:
Untuk mendaftar anak di luar Negara, puan perlulah ke Kedutaan Malaysia di London yang beralamat di 45 Belgrave Square, London SW1X 8QT. Apabila di sana nanti, puan dikehendaki mengisi borang W, iaitu satu borang yang dikhaskan untuk pendaftaran kelahiran di luar Negara.
Puan hendaklah pastikan bahawa pendaftaran anak puan dibuat dalam masa setahun selepas kelahiran. Salinan sijil kelahiran dari hospital perlu disertakan. Puan juga perlu menyediakan gambar anak puan untuk pendaftaran tersebut.
Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran kelahiran anak, suami hendaklah hadir bersama. Tetapi, memandangkan situasi puan, kehadiran suami adalah tidak perlu. Ini kerana, berikutan dengan desakan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan wanita, pada tahun 2000, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah mengeluarkan satu Arahan Kementerian bahawa semua ibu dibolehkan menandatangani semua dokumen berkenaan dengan perkara-perkara yang melibatkan anaknya. Contohnya dalam hal pendaftaran dan pertukaran sekolah, pendaftaran kelahiran, pendaftaran kad pengenalan dan sebagainya.
Langkah ini amatlah wajar kerana memberikan jalan penyelesaian kepada situasi di mana bapa kepada anak tersebut tidak dapat dihubungi atau pun menghilangkan diri entah ke mana. Malah ia sebenarnya mengambil kira kebajikan anak tersebut.
Tetapi, puan hendaklah menyediakan butir-butir bapa kepada anak puan seperti salinan kad pengenalannya, alamatnya yang terkini, alamat tempat kerjanya, sijil nikah dan apa-apa maklumat yang berkaitan. Ini adalah untuk memudahkan proses pendaftaran di United Kingdom nanti.
Untuk memudahkan proses pendaftaran nanti, puan bolehlah menghubungi Kedutaan Malaysia di London melalui nombor telefon 020 79190230 atau pun menghubungi Jabatan Imigresen di Malaysia di talian 03 20955077 sebelum puan berangkat ke United Kingdom.
- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my