Ayah mahu buktikan dia lebih berhak
15 September 2006

Soalan
Selalunya apabila berlaku perceraian, hak penjagaan akan diberikan kepada ibu. Bagaimanapun, bagaimanakah seorang ayah boleh membuktikan bahawa dia lebih berhak untuk menjaga anak-anaknya berbanding dengan ibu mereka?.

Apakah bukti-bukti yang boleh diterima di Mahkamah untuk membuktikan bahawa ayah lebih berhak daripada ibu dalam menjaga anak? Adakah anak-anak boleh diberi pilihan sama ada untuk tinggal bersama ayah atau ibu? Buat masa ini walaupun anak-anak tinggal bersama ayah dan ibu tetapi hampir semua tanggungjawab menjaga anak dan menguruskan rumahtangga termasuk membuat kerja rumah dilakukan oleh ayah. Adakah itu boleh membuktikan seorang ayah itu lebih berhak terhadap anaknya jika berlaku perceraian?

Antoe Hashim, Kuala Lumpur

Jawapan

Untuk membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak, adalah penting agar anak-anak mendapat perhatian daripada kedua-dua ibu dan bapa, walaupun mereka telah berpisah.

Hadhanah dilihat sebagai hak ibu bapa terhadap jagaan anak atau hak anak terhadap asuhan dan didikan yang baik. Ahli fuqaha bersetuju bahawa untuk menentukan hak ini, kebajikan anak itu merupakan perkara utama dan penting yang harus dipertimbangkan.

Para fuqaha sebenarnya lebih memberatkan seorang perempuan seperti ibu atau nenek diberikan hak hadhanah daripada lelaki. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Dawud di mana Baginda bersabda kepada seorang perempuan yang diceraikan bahawa dialah yang lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin lagi.

Malah, jika kita merujuk kepada seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anak kecilnya, tidak kira sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Oleh sebab itulah dalam seksyen 86(3) Akta menyatakan bahawa adalah untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya dan anggapan ini memberikan perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukar jagaan.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah bergantung kepada fakta sesuatu kes dan boleh berubah melihat kepada keadaan yang menjurus kepada kebajikan dan kepentingan anak.

Apabila mencapai umur yang tertentu, anak-anak boleh membuat pilihannya sendiri sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 Akta menyatakan apabila kanak-kanak itu sudah mencapai umur kecerdikan (mumayiz), Mahkamah akan mengambil kira pandangan anak itu dalam membuat pilihannya.

Sikap saudara yang mengambil berat dan menjalankan hampir kesemua kerja-kerja rumahtangga mungkin boleh dilihat sebagai faktor menyumbang kepada sikap keprihatinan saudara terhadap kebajikan dan kepentingan anak.

Namun harus diingat, seperti yang telah dinyatakan, anak-anak juga berhak menyuarakan pendapat mereka jika Hakim berpendapat bahawa anak-anak sudah bijak dan cerdik memikirkan apa yang baik dan buruk untuk diri mereka.

Walaupun perpisahan terjadi, namun anak-anak masih berhak dan memerlukan kasih-sayang daripada kedua-dua orang tua mereka.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon 03-7785 6121 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my