Ingin tahu hak sebagai anak bila peluk Islam
16 Februari 2007

SOALAN

Assalamualaikum, saya memeluk Islam kerana cinta saya kepada agama ini. Namun begitu, hubungan kekeluargaan saya tidak pernah putus, malah sayalah yang menjaga ibu saya semasa dia sakit hinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bak kata orang, air dicincang tak kan putus. Oleh kerana adik-beradik saya yang lain berada di luar negara, saya berusaha untuk menyelesaikan masalah harta pusaka ibu. Tetapi saya diberitahu, oleh sebab berlainan agama, saya tidak berhak langsung atas harta pusaka ibu saya.

Apabila saya meminta kepastian daripada Jabatan Agama Islam, saya juga diberi jawapan yang sama. Malah mereka juga bersikap kurang sabar dengan pertanyaan-pertanyaan saya dan mempersoalkan kenapa saya masuk Islam. Saya rasa amat terhina dan kecewa dengan layanan mereka. Saya cuma ingin tahu hak-hak saya sebagai seorang anak dan juga seorang Islam. Salahkah begitu? Saya juga harap maklumat ini dapat dikongsi bersama terutamanya bagi yang baru memeluk Islam. Wassalam.

ROSE
KUALA LUMPUR

JAWAPAN

Kami juga amat kecewa dengan layanan yang puan terima daripada pegawai yang bekerja di Jabatan Agama itu. Tidak sepatutnya mereka berkelakuan sebegitu rupa. Ini memberikan satu gambaran buruk tentang institusi yang mewakili Islam di negara ini.

Kami ingin mengambil kesempatan di sini menyeru kepada orang ramai supaya membuat pengaduan secara rasmi, iaitu secara bertulis kepada pegawai atasan pegawai yang berkenaan, jika mengalami layanan-layanan yang tidak berpatutan sebegini. Tujuannya supaya taraf perkhidmatan boleh diperbaiki di masa akan datang dan juga supaya orang lain tidak mengalami nasib yang sama.

Sememangnya kami bersetuju dengan tindakan puan menjaga ibu puan semasa dia sakit. Ini adalah satu sikap terpuji yang harus dicontohi. Agama tidak seharusnya menjadi halangan kasih sayang kekeluargaan.

Oleh kerana ibu puan bukan seorang Muslim, maka undang-undang pembahagian harta yang boleh dirujuk ialah Akta Pembahagian 1958. Seksyen 6 Akta tersebut menyatakan waris-waris yang boleh mewarisi harta pusaka seseorang yang telah meninggal. Antaranya ialah pasangannya yang masih hidup, anak, dan ibu bapa.

Seksyen ini tidak pula menyatakan bahawa waris itu mestilah menganut agama yang sama dengan orang yang meninggal itu.

Malah, apa yang ditekankan dalam Akta ini (di bawah seksyen 5) ialah pertalian darah antara orang yang meninggal itu dengan waris-warisnya.

Oleh itu, secara perundangannya, puan mempunyai hak terhadap harta pusaka ibu puan. Namun begitu, saya percaya apa yang diberitahu kepada puan oleh pegawai di Jabatan Agama adalah berdasarkan pandangan jumhur ulama yang empat, iaitu pandangan Imam Malik, Imam Abu Hanifa, Imam Syafi'e dan juga Imam Ibn Hanbal.

Keempat-empat mereka mengatakan seorang Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada bukan Muslim.

Ini adalah situasi di mana hukum syarak diaplikasikan ke dalam kes sivil (pembahagian harta pusaka si mati yang bukan Muslim adalah kes sivil). Walaupun sudah ada undang-undang bertulis yang jelas tentang pembahagian harta pusaka orang bukan Muslim, namun apabila salah seorang warisnya beragama Islam, pihak-pihak yang berkuasa mula ragu-ragu.

Keraguan ini haruslah dihapuskan dan pihak-pihak yang berwajib mestilah berani untuk tampil memberikan penjelasan tentang hak-hak orang Muslim terhadap keluarga mereka yang bukan Muslim, dan sebaliknya.

- Info

Satu talian khusus untuk Legal Clinic Sisters In Islam yang dinamakan TeleNisa kini boleh dihubungi melalui 03-77843733.

Legal Clinic ini juga boleh dihubungi melalui e-mel: sistersinislamlegalclinic@yahoo.com.

Sisters In Islam telah berpindah ke alamat berikut:

No 7, Jalan 6/10, 46000Petaling Jaya, Selangor.

Tel: 03-7785 6121/7784 2733/ 7784 4357

Faks: 03-7785 8737