Suami enggan beri nafkah perbelanjaan
18 May 2007
SOALAN
Saya seorang isteri yang bekerja kerana ingin membantu meringankan beban suami. Namun apa yang saya dapati, suami saya selama ini langsung tidak mahu memberi nafkah untuk menampung perbelanjaan rumah. Boleh dikatakan perbelanjaan makan-minum, keperluan anak, bil elektrik dan sebagainya ditanggung sepenuhnya oleh saya sehinggakan saya langsung tidak dapat menyimpan wang. Apabila gaji saya tidak cukup, saya terpaksa meminjam dan mesti membayar semula kepada suami pada hujung bulan walaupun wang itu digunakan untuk membeli susu anak atau barang dapur. Malah, pernah suatu hari dia berkata kepada saya: 'Duit saya duit saya, duit awak duit saya juga.'
Tidakkah saya mempunyai hak mendapat nafkah? Adakah saya tidak layak meminta nafkah daripada suami kerana saya berpendapatan sendiri?
- Norlaily
Kuala Lumpur
JAWAPAN
Menurut ajaran Islam, seorang isteri berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya.
Seperti situasi yang puan lalui, puan perlu mencari rezeki untuk membantu suami menampung perbelanjaan rumah. Namun begitu, wang gaji isteri sepatutnya digunakan sekadar untuk menampung kekurangan dan bukannya keseluruhan perbelanjaan rumah tangga seperti yang berlaku terhadap puan.
Selain itu, isteri yang bekerja seperti puan masih berhak mendapat nafkah daripada suaminya., walaupun selama ini wang hasil titik peluh puanlah yang digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Ini tidak bermakna suami puan boleh melepaskan tanggungjawabnya terhadap puan dan anak-anak begitu sahaja. Sebaliknya, suami puan masih perlu memberi nafkah kepada puan kerana Islam sebenarnya meletakkan beban tanggungjawab nafkah kepada suami. Apabila suami puan enggan membayar nafkah untuk kegunaan keluarga, dia dikira sudah melepaskan tanggungjawabnya sebagai suami.
Oleh itu, hal puan perlu meminjam dan membayar balik kepada suami puan tidak seharusnya berlaku kerana, dalam urusan rumahtangga, tiada istilah isteri berhutang kepada suami.
Satu lagi jalan yang puan boleh ambil bagi mengatasi masalah ini sekiranya suami puan tetap enggan memberi nafkah kepada puan adalah dengan membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah.
Menurut seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seorang suami membayar nafkah kepada isterinya menurut apa yang ditentukan oleh Hukum Syara'. Menurut seksyen 72 Akta yang sama, Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah agar suami puan membayar nafkah untuk anak-anak puan.
Jumlah nafkah yang perlu suami puan bayar akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah tersebut berdasarkan kemampuan dan keperluan pihak-pihak. Dalam membuat penentuan ini, Mahkamah Syariah tidak akan mengambil kira kadar nafkah yang perlu dibayar oleh suami puan berbanding dengan jumlah pendapatannya. Dengan kata lain, suami puan tetap perlu membayar nafkah seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah biarpun Mahkamah Syariah menetapkan nilai nafkah yang tinggi. Apa yang penting adalah jumlah nafkah tersebut cukup untuk memenuhi keperluan puan dan anak-anak.
VERSI ORIGINAL
SOALAN
Saya seorang isteri yang bekerja kerana ingin membantu meringankan beban suami. Namun apa yang saya dapati, suami saya selama ini langsung tidak mahu memberi nafkah untuk menampung perbelanjaan rumah. Boleh dikatakan perbelanjaan makan-minum, keperluan anak, bil elektrik dan sebagainya ditanggung sepenuhnya oleh saya sehinggakan saya langsung tidak dapat menyimpan wang. Apabila gaji saya tidak cukup, saya terpaksa meminjam dan mesti membayar semula kepada suami pada hujung bulan walaupun wang itu digunakan untuk membeli susu anak atau barang dapur. Malah, pernah suatu hari dia berkata kepada saya: 'Duit saya duit saya, duit awak duit saya juga.'
Tidakkah saya mempunyai hak mendapat nafkah? Adakah saya tidak layak meminta nafkah daripada suami kerana saya berpendapatan sendiri?
Norlaily
Kuala Lumpur
JAWAPAN
Menurut ajaran Islam, seorang isteri berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba Al-Sunan yang bermaksud:
"Hindun, isteri Abu Sufian telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W. bahawa suaminya tidak memberi nafkah yang cukup kepadanya dan anak-anaknya. Lalu Rasulullah S.A.W. memerintahkan Hindun mengambil daripada harta Abu Sufian bahagian untuk nafkahnya dan anak-anaknya dengan sebaiknya."
Namun, keadaan dunia sekarang kadangkala memerlukan isteri bekerja demi membantu meringankan beban kewangan suami . Seperti situasi yang puan lalui, puan perlu mencari rezeki untuk membantu suami menampung perbelanjaan rumah. Namun begitu, wang gaji isteri sepatutnya digunakan sekadar untuk menampung kekurangan dan bukannya keseluruhan perbelanjaan rumahtangga seperti yang berlaku terhadap puan.
Selain itu, isteri yang bekerja seperti puan masih berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Walaupun selama ini wang hasil titik peluh puanlah yang digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga, ini tidak bermakna suami puan boleh melepaskan tanggungjawabnya terhadap puan dan anak-anak begitu sahaja. Sebaliknya, suami puan masih perlu memberi nafkah kepada puan kerana Islam sebenarnya meletakkan beban tanggungjawab nafkah kepada suami. Apabila suami puan enggan membayar nafkah untuk kegunaan keluarga, dia dikira sudah melepaskan tanggungjawabnya sebagai suami.
Sesungguhnya, sifat bertolak ansur amatlah digalakkan dalam rumahtangga. Tambahan pula, kehidupan suami isteri adalah untuk berkasih sayang dan bermesra kerana pasangan itu bergantung hidup antara satu sama lain seperti yang dapat dilihat melalui surah Al-A'raf ayat 189 yang berbunyi seperti berikut:
"Dialah yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan ia mengadakan pada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain"
Oleh itu, hal puan perlu meminjam dan membayar balik kepada suami puan tidak seharusnya berlaku kerana, dalam urusan rumahtangga, tiada istilah isteri berhutang kepada suami dan 'Duit saya duit saya, duit awak duit saya juga.' Jika ini berlaku, puan boleh menasihati suami puan atau meminta orang tengah untuk membetulkan fahamannya kerana dia telah mengabaikan tanggungjawabnya membayar nafkah yang sepatutnya diberikan kepada puan sepertimana yang dituntut ajaran Islam.
Satu lagi jalan yang puan boleh ambil bagi mengatasi masalah ini sekiranya suami puan tetap enggan memberi nafkah kepada puan adalah dengan membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah. Menurut seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seorang suami membayar nafkah kepada isterinya menurut apa yang ditentukan oleh Hukum Syara'. Menurut seksyen 72 Akta yang sama, Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah agar suami puan membayar nafkah untuk anak-anak puan.
Jumlah nafkah yang perlu suami puan bayar akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah tersebut berdasarkan kemampuan dan keperluan pihak-pihak. Dalam membuat penentuan ini, Mahkamah Syariah tidak akan mengambilkira kadar nafkah yang perlu dibayar oleh suami puan berbanding dengan jumlah pendapatannya. Dengan kata lain, suami puan tetap perlu membayar nafkah seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah biarpun Mahkamah Syariah menetapkan nilai nafkah yang tinggi. Apa yang penting adalah jumlah nafkah tersebut cukup untuk memenuhi keperluan puan dan anak-anak.