Suami mungkir janji
19hb Januari 2007

Soalan
Semasa bercerai dahulu, saya tidak meminta apa-apa. Suami berjanji akan menyara saya sehingga saya berkahwin lagi. Percaya dengan kata-katanya, saya tidak meminta mahkamah merekodkan apa-apa perintah tentang nafkah idah dan mutaah. Tapi janji tinggal janji, setelah dua tahun berlalu, dia buat tak tahu sahaja. Menyesal saya dengar cakap dia dulu. Kini, saya ingin menuntut kembali hak saya. Masih bolehkah walaupun sudah dua tahun berlalu? Berapakah saya boleh minta? Bagaimana caranya pula?

- Salmah Selamat, Kelantan


Jawapan
Hak-hak seorang isteri yang diceraikan diperuntukkan bukanlah untuk menyusahkan bekas suami. Tetapi adalah untuk membantu seorang perempuan yang diceraikan untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar. Lebih-lebih lagi jika sudah sekian lama hidup bergantung kepada suami, tiba-tiba terpaksa menyara diri sendiri.

Berdasarkan surah al-Baqarah, sebahagian ayat 228, Allah telah berfirman bahawa seorang suami itu wajib memberi nafkah kepada isterinya yang diceraikan, dalam masa tempoh edah.

Manakala dalam sebahagian ayat 236, surah al-Baqarah yang bermaksud, Hendaklah kamu memberikan mutaah kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian."

Dapatlah kita lihat dengan jelas bahawa al-Quran menjamin hak-hak nafkah edah dan juga mutaah bagi perempuan yang diceraikan.

Bukan itu sahaja, perundangan keluarga Islam juga memberikan hak-hak ini kepada perempuan yang diceraikan.

Seksyen 66(1) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 menyatakan bahawa seorang itu berhak untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu sehingga tamat tempoh edahnya.

Seksyen 58 pula memberikan hak kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut menuntut mutaah atau pemberian saguhati daripada bekas suaminya.

Kadar nafkah edah dan mutah akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah dan tiada panduan tetap untuk menentukan kadarnya.

Seksyen 62 menyatakan bahawa "Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang perintah itu dibuat."

Oleh itu, di sini, mahkamah akan mengimbangkan antara kemampuan bekas suami puan untuk membayar dan juga keperluan puan. Malah, mahkamah juga akan melihat kepada taraf hidup yang telah menjadi kebiasaan puan semasa puan masih berkahwin.

Di dalam perundangan Islam, prinsip hak adalah membatasi masa. Puan masih boleh menuntut hak-hak puan ini walaupun telah sepuluh tahun berlalu. Puan masih lagi boleh ke mahkamah syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal puan untuk membuat tuntutan.

Di sini, kami ingin mengingatkan bahawa janji-janji mulut yang tidak dapat dibuktikan sememangnya hanyalah permainan bibir. Jika benar seorang lelaki itu bertanggungjawab, sudah tentu dia tidak keberatan untuk merekodkan satu perintah daripada mahkamah, tentang tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.

 

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Panel Peguam Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya atau telefon 03-7785 6121pada hari Isnin dan Jumaat sahaja atau faks 03-7785 8737 atau e-mel: sistersinislam@pd. jaring.my.