Boleh mohon bubar perkahwinan
20 April 2007

SOALAN
Bulan lepas, suami saya meninggalkan rumah dan memeluk agama Islam. Adakah perkahwinan kami dikira terbubar secara automatik atau saya perlu membuat permohonan cerai di mahkamah?.

Mahkamah mana yang patut saya pergi, sivil atau syariah? Selain itu, apakah hak-hak yang boleh saya tuntut? Saya tidak mempunyai pendapatan sendiri. Buat masa ini, saya hidup bergantung kepada wang simpanan saya. Bagaimana pula dengan anak saya yang berusia tiga tahun? Siapakah yang akan mendapat hak penjagaan ke atasnya?

Leandra Empaling,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

SEBAGAI orang bukan Islam, undang-undang berkaitan perceraian yang terpakai kepada puan adalah undang-undang sivil yang terdapat di bawah Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976. Walaupun suami puan sudah memeluk agama Islam, dia masih tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah sivil selagi ia berkaitan dengan perceraian dan perkara lain yang berhubung dengannya. Ini kerana perkahwinan puan diupacarakan menurut undang-undang sivil, maka pembubarannya juga patutlah menurut undang-undang sivil. Selain itu, mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang melibatkan orang Islam sahaja, yakni, mahkamah ini tidak mempunyai kuasa membubarkan perkahwinan yang didaftarkan di bawah undang-undang sivil.

Berhubung soalan puan, perkahwinan sivil tidak akan terbubar secara automatik apabila suami memeluk agama Islam. Sebaliknya, puan perlu memohon untuk satu perintah pembubaran perkahwinan di mahkamah seperti berikut:

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Keluarga)

Mahkamah Tinggi JKR 26

Jalan Sultan Hishamuddin

50678 Kuala Lumpur

No. tel: 03-2694 3592

Puan sebagai pasangan yang masih belum menukar agama sahaja boleh membuat permohonan tersebut. Tetapi, petisyen untuk membubarkan perkahwinan hanya boleh difailkan tiga bulan dari tarikh suami puan memeluk agama Islam (seksyen 51). Jika puan tidak membuat permohonan ini, perkahwinan puan dianggap sebagai kekal wujud.

Berkenaan soal hak puan sebagai isteri, puan tidak perlu bimbang. Pertukaran agama sama sekali tidak menjadikan seorang suami terlepas daripada tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak biarpun pihak-pihak ini menganut agama yang berlainan. Pendek kata, puan masih mempunyai hak berikutan daripada perceraian termasuklah hak untuk mendapat nafkah seperti mana yang terdapat di bawah seksyen 77.

Untuk pengetahuan puan, ada suami yang telah memeluk agama Islam menyatakan bahawa dia hanya perlu membayar nafkah dan memberi tempat perlindungan kepada isteri bagi tempoh tiga bulan sahaja seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak. Bagaimanapun, mahkamah telah acap kali menolak hujahan ini. Sebaliknya, puan mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah sama ada bagi sebarang tempoh yang dipersetujui antara puan dan suami, atau sehingga puan berkahwin semula, atau sehingga kematian puan atau suami puan.

Tentang hak penjagaan anak pula, mahkamah boleh memutuskan sama ada dia patut tinggal bersama ayahnya, ibunya, atau orang lain seperti saudara-maranya jika ayah dan ibunya tidak dapat menjaganya atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa kedua-dua ibu bapa berkongsi hak yang sama rata sebagai penjaga ke atas anak mereka. Ini bermakna, kedua-dua ibu bapa hendaklah mencapai persetujuan akan sebarang keputusan penting seperti pendidikan dan agama yang akan dianuti oleh anak itu.

Selain itu, puan juga mempunyai hak ke atas harta sepencarian menurut seksyen 76.

- *Nur Fadhlin Mohd Yusof Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon ke Talian TeleNisa di 03 77843733 pada setiap hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel kepada: sistersinislamlegalclinic@yahoo.com