http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Utusan Malaysia
Dalam Negeri
2nd April 2007

Camilla beranikan diri tulis novel Islam
Oleh NORILA DAUD

PETALING JAYA 1 April - Masyarakat Islam di kebanyakan negara Afrika kini semakin memisahkan amalan tradisi dan kebudayaan daripada ajaran Islam sebenar.

Seorang penulis dari Kanada, Camilla Gibb berkata, analisis itu dibuat daripada pemerhatiannya ketika bergaul dengan masyarakat pelarian dari Afrika dan lain-lain negara yang tinggal di United Kingdom dan Kanada.

Menurut penulis tiga buah novel fiksyen ini, komuniti pelarian Islam yang ditemuinya di United Kingdom dan Kanada memberitahu bahawa mereka hanya mengamalkan apa yang dipelajari daripada al-Quran.

"Pelarian berkenaan telah meninggalkan amalan tradisi yang sebelum ini dicampuradukkan dengan agama dan kini hanya menumpukan kepada ajaran yang diperoleh daripada al-Quran," katanya selepas berceramah pada majlis anjuran Sisters in Islam, di sini hari ini.

Menurutnya, mereka (pelarian) perlu mengubah cara hidup sedikit sebanyak tetapi bukan amalan agama jika hendak tinggal di kalangan masyarakat sekular.

Dalam pemerhatian penulis yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang antropologi dari Universiti Oxford pada 1997 itu, masyarakat dan pemimpin Islam hari ini lebih gemar menumpukan kepada pemahaman dan ajaran Islam yang diselaraskan di peringkat global.

Penulis tiga novel fiksyen termasuk Mouthing the Words, Sweetness in the Belly dan The Petty Details Of So And So Lives ini memilih bidang penulisan secara sepenuh masa pada 2000.

Sebelum menceburi bidang penulisan secara sepenuh masa, Camilla merupakan fellow penyelidikan di Universiti Toronto, Kanada selama dua tahun.

Mengenai bukunya Sweetness in the Belly yang telah dijual sebanyak 200,000 naskhah, beliau berkata, ia menceritakan kisah seorang wanita Islam dari Afrika yang menjadi pelarian ekoran revolusi di negaranya pada 1980-an.

Camilla berkata, novel fiksyen itu juga mengisahkan bagaimana wanita itu berjuang menjalani kehidupan baru di England sebagai seorang Islam yang tidak mempunyai saudara-mara dan harta.

Berhubung pengalaman dan pengetahuannya mengenai ajaran dan masyarakat Islam yang diselitkan dalam novelnya itu, kata Camilla, beliau telah tinggal di Harar, sebuah bandar di Habsyah selama setahun setengah untuk mempelajari cara hidup masyarakat wanita Islam di negara itu.

Menurut Camilla, dengan pembiayaan sebuah yayasan swasta di England, dia berjaya menyiapkan kajian sarjana doktor falsafahnya Amalan Agama Wanita Islam di Ethiopia pada 1997.

Sebelum itu, katanya, dia telah mengenali seorang pelarian wanita bernama Agitu tinggal di California, Amerika Syarikat yang menceritakan kepadanya mengenai penderitaan pelarian wanita Islam dari Afrika.

Ditanya sama ada beliau mendapat kritikan daripada pembaca ekoran keberaniannya menulis fiksyen mengenai masyarakat Islam dan amalan agama itu, Camilla berkata, keberaniannya itu membolehkan buku-bukunya diterjemahkan menembusi 18 negara pada 2001.