Dimuatturun dari: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Citra/20080603091355/Article/

Berita Harian (Citra)
3 June 2008

Wanita perlu miliki 3R harungi cabaran hidup
Anugerah Her World beri inspirasi untuk terus berdaya saing dalam kerjaya masing-masing

Bangga: Dari kiri Azliza, Zainah, Low dan Ng bergambar selepas penyampaian Anugerah Wanita Her World, baru-baru ini.

PENINGKATAN jangka hayat daripada 57 kepada 76 tahun kini, membuktikan tahap kesihatan wanita semakin baik dan menerusi penjagaan kesihatan yang baik, teratur dan terancang, usia berkenaan dapat dinikmati untuk diri sendiri atau bersama keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen, berkata sekiranya dibandingkan puluhan tahun yang lalu, tahap kesihatan wanita bukan saja tidak membanggakan, sebaliknya hak mereka dinafikan seperti dibayar dengan gaji yang lebih kecil berbanding lelaki hanya kerana jantina.

Katanya, pada dekad 1960-an lalu wanita juga tidak mempunyai hak untuk menandatangani borang membuat pasport atau kad pengenalan. Bagaimanapun dengan kecemerlangan kerajaan dan perjuangan wanita, akhirnya hari ini kita dapati mereka memegang banyak jawatan penting dalam negara.

“Hari ini 61 peratus daripada pelajar di institusi pendidikan tinggi terdiri daripada wanita dan saya menyifatkan ini satu kejayaan yang cukup membanggakan. Dalam pada kita mengecap kejayaan, usah lupa bahawa ia datang bersama pelbagai cabaran, bermula daripada dalam rumah hinggalah ke luar.

“Pada hemat saya sekiranya wanita ingin berjaya dalam hidup dan kerjaya, mereka perlu seimbang dan memiliki 3R iaitu tanggungjawab, hormat dan perhubungan (responsibility, respect dan relationship) dalam mengharung kehidupan,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Wanita Her World 2007, baru-baru ini.

Anugerah itu menyediakan dua kategori membabitkan Her World Women of The Year 2007 dan Her World Young Woman Achieve 2007. Ia diadakan bertujuan menghargai kejayaan wanita itu memberikan sanjungan kepada dua wanita hebat dalam bidang masing-masing.

Anugerah Her World Woman of the Year, diberikan kepada wanita yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang diceburinya dan ia diperoleh menerusi kerja keras, kesabaran, pengorbanan dan komitmen yang ditempuh sebelum ini. Perjuangannya itu bukan saja mendapat perhatian ramai, sebaliknya pada masa sama memberikan manfaat kepada pihak lain.

Anugerah berkenaan diberikan kepada Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Zainah Anwar, 53 dan Pengarah dan Penerbit, Low Ngai Yuen, 30 yang disifatkan berjaya dalam kerjaya dan membuktikan mereka mampu membuat yang terbaik untuk wanita mengikuti cara masing-masing.

Anugerah Her World Young Achiever of the Year khusus untuk wanita berusia bawah 35 tahun. Sungguhpun pada usia berkenaan, individu berkenaan belum mengecap kejayaan pada peringkat tertinggi, tetapi menunjukkan potensi cemerlang yang boleh dijadikan contoh wanita lain.

Anugerah ini diterima Low yang kini banyak menerbitkan program berbentuk kewanitaan dan beliau dipilih berdasarkan pencapaian dalam bidang penerbitan, malah filem pendeknya bertajuk ‘Your World My World’ memenangi People’s Choice Award di Starlight Choice Award Cinema’s Short Film Festival di Singapura.

Low berkata, beliau cukup terkejut dengan anugerah berkenaan dan menyifatkan ‘penghijrahannya’ daripada lulusan sains kepada penyiaran sebagai tuah buatnya.

“Pada peringkat awal dulu mungkin ada yang tidak yakin dengan kebolehan saya, tetapi saya percaya minat mampu mengatasi segala-galanya. Nasihat saya kepada remaja di luar sana, sekiranya anda memiliki idea yang bagus untuk diketengahkan dan dipaparkan menerusi media, teruskan saja kerana pasti ada pihak yang berminat untuk membeli produk anda nanti,” katanya.

Sementara itu, Zainah dianggap wanita dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya membawa perubahan kepada diri dan pandangan terhadap hak. Beliau bertanggungjawab menubuhkan NGO yang memperjuangkan wanita dan hak yang sepatut mereka peroleh menerusi interpretasi Islam dalam zaman moden ini.

Anugerah disampaikan Dr Ng dan pemenang masing-masing menerima plak, beg tangan Fendi, jam tangan Corum dan set penjagaan kulit La Mer. Sejak anugerah berkenaan diperkenalkan pada 2005, antara insan pernah menerima anugerah ialah pemain squash negara, Nicol David; Pengasas Securiforce, Datuk Maznah Abdul Hamid dan Pengasas Mercy, Datuk Dr Jemilah Mahmood.

Wanita berkenaan dipilih selepas senarai pendek yang dilakukan juri berpengalaman diketuai Kumpulan Editorial/Penasihat Pendidikan & Pengarah Eksekutif Asia Pusat Pengajian Media di The Star, Datuk Ng Poh Tip.

Ketua Pegawai Eksekutif Magazine World, syarikat penerbitan majalah berkenaan, Datin Azliza Ahmad Tajuddin, berkata wanita memiliki peranan yang cukup besar sama ada secara langsung atau tidak dalam penghasilan, mendidik serta membentuk generasi masa depan.

Her World yang kini menginjak usia 48 tahun, diberikan wajah baru sejak November tahun lalu. Menggunakan tag line ‘so real, so chic’ untuk pembaca sasarannya. Selain grafik yang lebih segar, tulisan di dalamnya memberikan aspirasi serta inspirasi kepada wanita untuk berdaya saing dan melepaskan stigma kelas kedua dalam negara merdeka.