“Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, SIS berdiri teguh bersama-sama Raja Nazrin dalam menolak sebarang bentuk ekstremisme dan anti-perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, SIS menyeru kerajaan supaya menjamin agar setiap orang di Malaysia mendapat keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan hak setiap orang – tanpa mengira jantina, kaum dan agama – dilindungi seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“SIS juga ingin mengajak pertubuhan Islam dan setiap orang Islam yang percayakan keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia, untuk turut sama memberi sokongan kepada rakan-rakan bukan Islam apakala mereka mengalami sebarang bentuk ketidakadilan,” katanya.
Ini, kata ISIS, selaras dengan seruan al-Qur'an dalam surah Al-Maidah 5:8 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Hak pasangan bukan Islam
Dalam menangani isu-isu antara agama, SIS menyeru pihak kerajaan agar:
– Mendukung dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh semua kaum di Malaysia.
– Memenuhi komitmen kerajaan terhadap perjanjian antarabangsa CEDAW (Konvensyen Penghapusan Sebarang Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita )
– Mengambil pendekatan menyeluruh dalam menyelesaikan isu penukaran agama, terutamanya apabila salah seorang pasangan bukan Islam telah memeluk Islam, bagi memastikan hak-hak pasangan bukan Islam juga tetap dilindungi.
– Menyediakan mekanisme agar mana-mana pasangan bukan Islam yang berhasrat untuk memeluk Islam hendaklah menyelesaikan terlebih dahulu segala urusan perkahwinannya, seperti isu hak penjagaan anak, harta sepencarian, nafkah dan harta waris.
– Memastikan agar kedua-dua ibubapa hendaklah bersetuju dalam urusan penukaran agama anak-anak mereka yang di bawah umur 18 tahun.
“SIS bimbang sekiranya Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dan oleh semua kaum, tidak didaulatkan, maka ianya boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.