Sisters In Islam Perjelas Pandangan Dr. Norani
Berita Harian, 9hb Febuari 2007
MERUJUK surat bertarikh 31 Januari lalu bertajuk 'Kenyataan Sisters in Islam dipertikai' di dalam ruangan ini, saya ingin menjelaskan bahawa pandangan Profesor Dr Norani Othman tidak berniat untuk mempertikaikan tindakan Rasulullah SAW berkahwin lebih daripada satu, sebaliknya ia berdasarkan penelitian pemahaman beliau sebagai ahli sosiologi masyarakat.
Apa yang beliau maksudkan ialah amalan polygyny (lebih dikenali sebagai poligami) iaitu seorang lelaki mempunyai ramai isteri (dan juga gundik) adalah amalan sedia wujud dalam banyak masyarakat, peradaban dan agama sebelum kedatangan Islam. Beliau berpendapat, demi mengekalkan kesejahteraan keluarga pada zaman moden ini, perkahwinan monogami amat dianjurkan. Anak-anak memerlukan perhatian penuh dari segi kasih sayang, kestabilan material, emosi dan juga peruntukan masa dari ibu dan juga bapa mereka. Ini membantu membentuk mereka menjadi insan sempurna. Dalam rancangan itu, Mufti Terengganu juga mengatakan bahawa walaupun poligami dibolehkan, ia tidak digalakkan.
Pendapat mengatakan poligami tidak digalakkan turut dikongsi ramai ulama lain, contohnya ulama tersohor Syeikh Muhammad Abduh, Mufti Mesir pada awal abad ke-20 dan juga penterjemah al-Quran terkenal Abdullah Yusuf Ali.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa: Walaupun al-Quran membenarkan poligami, ia adalah atas dasar pertimbangan kepada keadaan tertentu saja, sehingga ia diiringi dengan syarat bahawa seorang lelaki boleh beristeri lebih daripada satu hanya sekiranya dia boleh menjaga semua isterinya dengan sempurna dan hak setiap isteri dijamin iaitu adil dan tanpa berat sebelah.
Abdullah Yusuf mengatakan bahawa memandangkan syarat adil dalam berpoligami sangat sukar dipenuhi, beliau justeru lebih menggalakkan perkahwinan monogami, iaitu satu isteri saja.
Di dalam Surah An-Nisa' 4:3 juga, Allah seterusnya berfirman, bermaksud: "...sekiranya kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka seorang saja".
Jika kita renung sirah Nabi Muhammad SAW, sepanjang isteri pertama Baginda Saidatina Khadijah masih hidup, beliaulah satu-satunya isteri Baginda, iaitu selama 28 tahun (17 tahun sebelum kerasulan Nabi dan 11 tahun selepas kerasulan Baginda). Perkahwinan kedua Rasulullah SAW berlangsung selepas dua tahun Saidatina Khadijah meninggal dunia dan seperti yang diketahui ramai, selain daripada Saidatina Aisyah, hampir semua isteri Baginda sudah berumur dan janda.
Di beberapa negara Islam pada hari ini, ada juga yang mengharamkan poligami seperti Tunisia dan Maghribi pula mengenakan syarat ketat bagi poligami sehingga terlalu sukar untuk mempraktikkannya.
Jelas ada pelbagai pendapat berhubung isu ini. Dalam dunia pemikiran Islam dan seharusnya kita fikirkan bersama bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan serta keharmonian rumah tangga, walaupun berpoligami dibenarkan dalam Islam.