Dimuatturun dari: http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0516&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_01.htm&arc=hive

Utusan Malaysia
16 May 2007

Jangan emosi perjuang isu ‘bocor'

Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kumpulan pejuang hak asasi wanita diminta agar tidak terlalu emosional semasa memperjuangkan isu ‘bocor' yang dibangkitkan di Parlimen minggu lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mereka tidak perlu bertindak demikian kerana kerajaan sememangnya bersifat sensitif dalam isu-isu yang melibatkan gender dan diskriminasi.

“Tak perlu membawa perjuangan ini di jalanan kerana kerajaan amat sensitif dan serius mengenai isu gender. Memang ia tidak boleh diterima.

“Kita memang mengharapkan semua ahli Parlimen bersifat sensitif kepada gender,” katanya semasa bertemu dengan Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) di kementeriannya di sini hari ini.

Kira-kira 60 wakil pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik termasuk Sisters In Islam, Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Persatuan Tindakan Wanita, Wanita MCA, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di pekarangan kementerian untuk menggesa ahli Parlimen yang mengamalkan diskriminasi gender supaya mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka.

JAG, dalam kenyataannya, mahu ahli Parlimen yang tidak berkelakuan baik di Parlimen digantung selama enam bulan dan dipotong gaji serta elaunnya sehingga tamat tempoh tersebut.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Wanita Bersama, Maria Chin Abdullah menegaskan, rakyat Malaysia berhak menerima perwakilan yang lebih baik di Parlimen.

Rabu lalu, ketika penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai isu kebocoran siling bangunan Parlimen, ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd. Said Yusof didakwa mengeluarkan kenyataan;

“Batu Gajah tiap-tiap bulan pun bocor juga” kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut, Fong Po Kuan.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat pada hari seterusnya menolak usul pembangkang untuk membawa dua penyokong kerajaan itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataan tersebut.

Shahrizat memberitahu, esok, beliau akan membentangkan satu pelan tindakan kepada Kabinet berhubung perkara ini.

“Apa yang penting ialah memastikan orang ramai memiliki kesedaran berhubung perkara ini,” ujarnya.

Namun, kata beliau, perkara ini adalah menyedihkan kerana nama ahli-ahli Parlimen, yang melibatkan dirinya juga, tercemar ekoran tindakan satu atau dua orang sahaja.