Berita Harian
29hb Disember 2006

SIS kaji terperinci poligami

PETALING JAYA: Buat pertama kali badan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) akan melancarkan satu kajian komprehensif khusus mengenai poligami di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Kajian peringkat kebangsaan itu digerakkan bersama penyelidik akademik daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar, berkata kajian 'Kesan Poligami Terhadap Institusi Keluarga' itu akan dimulakan awal tahun depan yang dijangka mengambil masa setahun, membabitkan kos kira-kira RM600,000.

Katanya, kajian itu juga lanjutan kajian perintis yang dijalankan Mac 2004 membabitkan 40 keluarga berpoligami di Lembah Kiang dan SIS mengambil langkah untuk fokus kepada ruang kajian lebih luas di peringkat kebangsaan. "Menerusi kajian itu, kita akan menemu bual secara bersemuka kira-kira 6,000 responden berpoligami dan keluarga mereka di seluruh negara.

"Paling penting ialah untuk melihat faktor mendorong perkahwinan poligami dan mengetahui tanggapan umum terhadap perkahwinan itu," katanya pada sidang akhbar mengenai kajian poligami yang akan dijalankan SIS di Pejabat SIS di sini, semalam.

Zainah berkata, menerusi kajian itu, 515 berharap ia dapat memberi satu gambaran sebenar mengenai kesan perkahwinan poligami. "Kita juga mahu bukti menerusi penyelidikan itu bukan sekadar mendengar cakap-cakap saja mengenai poligami," katanya.

Sementara itu, Ketua Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM yang mengetuai kumpulan kajian itu, Prof Noraini Othman, berkata kajian itu dijangka selesai akhir 2008.

Katanya, kajian itu bukan mudah dan mencabar kerana ia sesuatu yang berbentuk peribadi tetapi penting bagi mencari punca mendorong perkahwinan poligami. Katanya, bagi setiap perkahwinan poligami, ia sekurang-kurangnya membabitkan empat pihak yang kesan mungkin berbeza dari segi penerimaan seperti hubungan suami dengan isteri pertama, kedua atau ketiga atau keempat dan anak isteri-isteri terbabit, dari segi sosial, kewangan, keadilan, hubungan seks dan perundangan mengikut perspektif agama.