Kelantan paling ramai poligami
Petaling Jaya, 28 Dis. - Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan bilangan pendaftaran poligami tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 5,274 kes sejak 1990 hingga 2004. Mengikut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), negeri kedua mencatatkan pendaftaran tertinggi ialah Terengganu iaitu sebanyak 2,645, diikuti Kedah (2,613), Johor (1,891), Perak (1,367) dan Selangor (1,039).
Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Noraini Othman berkata, bilangan pendaftaran yang tinggi di Kelantan adalah disebabkan kelonggaran dari segi peraturan berpoligami di negeri itu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai tayangan amal perdana Berbagi Suami dan kaji selidik Sisters In Islam (SIS) peringkat kebangsaan tentang kesan poligami terhadap institusi keluarga di sini hari ini. Menurut Noraini, jumlah pendaftaran poligami yang tinggi itu juga dipengaruhi oleh bilangan penduduk Melayu dan beragama Islam di negeri terbabit. Ini kerana, katanya, penduduk bukan Islam di negara ini tidak dibenarkan mengamalkan poligami.
Berdasarkan perangkaan Jakim itu, sebanyak 21,117 pendaftaran perkahwinan poligami dicatatkan di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut.
Bagi tempoh itu, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan pendaftaran poligami terendah iaitu sebanyak 82 diikuti Sarawak (135) dan Perlis (446). Bagaimanapun, katanya, difahamkan bilangan yang tidak mendaftarkan poligami adalah lebih tinggi daripada yang mendaftar.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar berkata, pihaknya memerlukan kira-kira RM600,000 untuk menjalankan kaji selidik tentang kesan poligami terhadap institusi keluarga peringkat kebangsaan. Katanya, kajian yang akan bermula pada Januari depan merupakan kerjasama antara SIS dan ahli akademik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan UKM.
Menurut Zainah, kajian itu akan melibatkan kira-kira 6,000 responden yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan tentang poligami. Katanya, hasil kajian itu diharapkan dapat memberi gambaran lebih jelas tentang impak poligami terhadap kualiti kehidupan keluarga.
Sementara itu, hasil kutipan tayangan amal filem Indonesia Berbagi Suami pada 4 Januari depan bertempat di Cineleisure Damansara di sini, akan digunakan sebagai dana untuk kajian itu. Tayangan amal itu akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,
Datuk Seri Dr. Rais Yatim.