Memorandum Perbandingan Draf Rang Undang-undang Keluarga Islam (digubal pada 24 Januari 1998) dengan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984
Januari 2002

Ulasan dan Syor

Pengenalan

Kami amat kecewa dan berdukacita kerana syor-syor pembaharuan yang telah kami sampaikan dalam beberapa memorandum kami kepada pihak Kerajaan, misalnya dalam Memorandum Reformasi Undang-Undang Keluarga Islam dan Pentadbiran Keadilan dalam Sistem Syariah di Malaysia pada tahun 1997, Memorandum mengenai Pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam mengenai Poligami pada tahun 1996 dan Memorandum Pembaharuan Proses Perceraian dan Tuntututan Sampingan dalam Prosiding Mahkamah Syariah pada tahun 2000 tidak langsung dimasukkan atau diambilkira dalam penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) tersebut.

Bagi pihak kami, pembaharuan yang disyorkan mengenai undang-undang keluarga Islam dan prosedur pentadbiran sistem syariah adalah dibuat dengan teliti berlandaskan Hukum Syarak, dengan mengambil kira keadilan dan maslahah dalam keluarga dan masyarakat. Sebaliknya pula, beberapa pindaan lain yang kesannya boleh memudaratkan lagi kedudukan kaum wanita Islam telah dimasukkan dalam draf RUU itu.

I. Bahagian I -- Permulaan

Seksyen 2 - Tafsiran
1. Kebanyakan takrif yang dicadangkan dalam RUU adalah bersamaan dengan takrif sedia ada dalam Akta 1984, kecuali beberapa perubahan tertentu seperti:

(i). "Hukum Syarak" ditakrifkan sebagai "mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi"

Takrif yang dicadangkan ini, dengan memberi penekanan kepada mazhab Shafie kemudian baru diikuti dengan tiga mazhab Sunni yang lain, adalah lebih sempit dan konservatif daripada takrif sedia ada dalam Akta 1984 yang mentakrifkan Hukum Syarak sebagai mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf.

Penekanan sepatutnya diberi kepada konsep kepentingan awam atau maslahah dalam polisi kerajaan atau siyasah shariyyah.

Syor:
Supaya takrif tersebut digantikan dengan takrif berikut:
"Hukum Syarak" ertinya mana-mana mazhab yang diiktiraf, dengan mengikut kaedah yang terbaik berpandukan prinsip maslahah".

(ii). Takrif "iqrar'sebagai "secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat" telah dimasukkan - ini tidak terdapat dalam Akta 1984.

Penekanan sepatutnya diberi oleh undang-undang kepada iqrar secara bertulis dan bukannya iqrar lisan. Mungkin iqrar lisan boleh diterima sebagai pengakuan seseorang terhadap dirinya sendiri (against himself), tetapi ia tidaklah mencukupi untuk diterima oleh undang-undang bagi tujuan seseorang yang dikehendaki membuat sesuatu akujanji bagi masa hadapan.

Syor:
Supaya ditambah, selepas perkataan "hak", perkataan-perkataan:
"dengan syarat bahawa sesuatu iqrar yang melibatkan apa-apa akujanji mengenai pelaksanaan pada masa hadapan akan sesuatu kewajipan atau tanggungan hendaklah dibuat secara bertulis;"

(iii) Takrif "Kitabiyah" telah digugurkan - tetapi perkahwinan dengan perempuan Kitabiyah masih dibenarkan dalam seksyen 10(1).

2. Cadangan yang telah kami kemukakan mengenai pindaan kepada takrif sedia ada dalam seksyen 2 tidak dimasukkan dalam draf RUU. Misalnya --
"Mut'ah" masih ditakrifkan sebagai "bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan".

Istilah "saguhati" mungkin mengelirukan orang awam yang tidak memandamg serius mengenai pembayaran mut'ah. Patutlah diberi penekanan bahawa "mut'ah" itu adalah pampasan yang diperintahkan oleh Hukum Syarak, dan bukan sesuatu yang hanya mungkin dibayar sesuka hati sahaja.

Syor:
Supaya takrif "mut'ah" dipinda seperti berikut:
"Mut'ah" ertinya bayaran pampasan yang kena diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan".

3. Kesilapan taip - nampaknya terdapat kesilapan taip dalam subseksyen 2(2) berkenaan dengan perkatan dan ungkapan yang "tidak ditakrifkan di sini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967" .

II. Bahagian II -- Perkahwinan

1. Seksyen 7(1)(c) tidak lengkap - siapakah "sebagai wakil wali"? Adakah ianya "Pendaftar"?

Syor:
Supaya dijelaskan Pendaftar sebagai wakil wali.

2. Seksyen 8 - umur minimum perkahwinan. - peruntukan masih sama dengan peruntukan dalam Akta 1984 sebagaiman dipinda pada tahum 1994. Hakim Syarie boleh memberi kebenaran untuk berkahwin di bawah umur minimum "dalam hal keadaan tertentu". Malangnya, masih tiada garis panduan dalam RUU mengenai apakah "hal keadaan tertentu" itu.

Syor:
Supaya diadakan garis panduan mengenai "hal keadaan tertentu" itu, misalnya seperti berikut:
"di mana Hakim Syarie berpuas hati bahawa pihak itu cukup matang dan mampu untuk bekahwin dan tidak didorong oleh apa-apa paksaan atau perdayaan oleh mana-mana pihak lain."

3. Seksyen 10 -- takrif "Kitabiyah" dalam seksyen 2 telah digugurkan - tetapi perkahwinan di antara lelaki Islam dengan perempuan Kitabiyah nampaknya masih dibenarkan dalam seksyen 10(1). Perempuan Islam hanya dibenarkan berkahwin dengan lelaki Islam di bawah seksyen 10(2).

Syor:
Supaya digugurkan perkataan-perkataan "kecuali seorang Kitabiyah" dalam subseksyen (1).

4. Seksyen 12(2) - membenarkan pendaftaran perkahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan peruntukan undang-undang. Ini sama dengan peruntukan yang telah dimasukkan oleh Akta Pindaan tahun 1994.

Adalah dikhuatiri bahawa memudahkan pendaftaran pekahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan peruntukan undang-undang boleh disalahgunakan dan menggalakkan orang ramai tidak mematuhi dan tidak menghormati undang-undang. Juga, perlindungan kepentingan pihak lain yang terkilan amatlah penting terutamanya dalam hal perkahwinan poligami yang diupacarakan tanpa mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam peruntukan undang-undang.

Syor:
Supaya sama ada:
· subseksyen (2) digugurkan untuk mengembalikan keadaan di mana perkahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan peruntukan undang-undang tidak boleh didaftarkan; atau

· subseksyen baru (3) dimasukkan seperti berikut:
"(3) Perintah mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan di bawah subseksyen (2) hanya boleh dikeluarkan sekiranya tidak melibatkan perkahwinan poligami atau menjejaskan kedudukan atau kepentingan mana-mana pihak lain yang terkilan."

5. Seksyen 13 - persetujuan untuk perkahwinan dikehendaki daripada kedua-dua pihak dan wali pihak perempuan adalah sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
Mengikut prinsip mazhab Hanafi - persetujuan wali hanya diperlukan sekiranya sesuatu pihak kepada perkahwinan itu, lelaki atau perempuan, belum cukup umur atau kurang berkeupayaan dari segi mental. Perempuan dewasa yang sempurna keupayaan mental, sama seperti lelaki dewasa yang sempurna keupayaan mental, tidak memerlukan persetujuan wali.

6. Seksyen 21 - mas kahwin dan pemberian - peruntukan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
Diperkenalkan dan disebarkan konsep maskahwin yang ditangguhkan. Walaupun konsep tersebut dalam seksyen 21(2)(c), ini jarang diamalkan dalam masyarakat tempatan. Mas kahwin yang disebut dalam akad nikah biasanya jumlah kecil yang nominal sahaja. Mungkin masyarakat tempatan perlu diberi lebih kesedaran mengenai prinisp-prinsip berkenaan dengan mas kahwin dan kemungkinan mengadakan perjanjian pada masa akad nikah mengenai mas kahwin tertangguh sebagai perlindungan masa hadapan bagi pihak isteri.

7. Seksyen 22 - catatan ta'liq dalam daftar perkahwinan - peruntukan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Terdapat rujukan mengenai "taliq lain" dalam seksyen ini, tetapi tiada penjelasan mengenainya.

Syor:
Supaya penjelasan diberi mengenai "ta'liq lain" dengan mengadakan takrif berikut: dalam subseksyen baru (4):
"(4) 'Ta'liq lain" boleh meliputi syarat-syarat atau terma-terma tambahan yang dipersetujui atas pilihan pihak-pihak yang berkahwin itu, termasuklah syarat bahawa suami tidak akan berkahwin lain selagi berkahwin dengan isteri itu.

8. Seksyen 23 - Poligami
(i). Subseksyen 23(2) - membenarkan pendaftaran perkahwinan poligami yang diakadnikahkan tanpa kebenaran -- adalah sama dengan peruntukan yang dimasukkan oleh Akta Pindaan tahun 1994. Pihak kami telah mengemukakan bantahan terhadap peruntukan ini dalam memorandum tahun 1996.

Syor:
Supaya sama ada:

• peruntukan ini digugurkan; atau

• peruntukan tambahan dimasukkan bagi melindungi kepentingan isteri sedia ada. Isteri sedia ada yang suaminya berkahwin tanpa kebenaran patutlah diberi pilihan, dan sama ada dia membuat pilihan untuk menuntut perceraian ataupun tidak, hak-hak kewangannya hendaklah dijamin. Hak-hak itu termasuklah memperolehi bahagian harta sepencarian daripada suaminya dan hak nafkah berkala yang mencukupi sekiranya dia memilih meneruskan perkahwinannya, dan hak harta sepencarian, nafkah iddah dan mut'ah sekiranya dia bercerai.

(ii). Subseksyen 23(4) - peruntukan mengenai iqrar termasuk secara bertulis atau lisan mengikut takrif iqrar dalam seksyen 2.

Syor:
Supaya permohonan hendaklah disertai dengan iqrar bertulis dan dokumen-dokumen bertulis, dimasukkan peruntukan-peruntukan tambahan (a) dan (b) berikut kepada subseksyen 23(4):
"(a) Pemohon haruslah menyertakan dokumen sokongan dan membawa saksi-saksi yang bersifat bertanggungjawab untuk memberi keterangan mengenai akhlaknya dan kemampuannya untuk memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua isteri dan juga bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara') kepada isteri yang sedia ada."

"(b) Hakim hendaklah menentukan semasa perundingan dengan isteri yang sedia ada sama ada izinnya telah diberi secara sukarela atau diperolehi dengan paksaan."

Kami telah menerima banyak aduan bahawa adalah amalan biasa bagi isteri pertama diancam oleh pihak suami bahawa dia akan diceraikan sekiranya ia tidak memberi izin di hadapan Mahkamah. Dalam keadaan demikian isteri tersebut biasanya akan kembali ke Mahkamah untuk membuat bantahan tentang perkahwinan yang dicadangkan dan membuka rahsia bahawa izinnya telah diperolehi kerana pihak suami menggunakan ancaman yang dia akan diceraikan atau ditinggalkan langsung.

(iii). Pindaan kepada Subseksyen (5)(a).
Kami amat kecewa dan dukacita dengan pindaan kepada subseksyen 5(a). Dalam peruntukan sedia ada Akta 1984, perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah "patut dan perlu". Dalam draf RUU pula, ini telah dipinda kepada "patut atau perlu". Pindaan ini nampaknya sengaja hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah v. Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152. Jawatankuasa Rayuan Syariah menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan. Pihak suami telah memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan pertalian kasih sayangnya dengan perempuan yang berkenaan.

Jawatankuasa Rayuan Syariah berpendapat bahawa walaupun alasan ini mungkin mencukupi untuk memenuhi syarat "keperluan" untuk berpoligami, tetapi ianya tidak ada kena-mengena dengan soal "kepatutan". Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, dia patut boleh mengawal nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat. Berlainan dari malaikat dan haiwan, manusia itu dianugerahi oleh Allah swt dengan akal dan nafsu. Untuk membolehkan seseorang manusia mengekalkan kedudukannya di tempat yang atas dari tiga makhluk Allah, manusia adalah dikehendaki sentiasa mengawal nafsu dengan akal dan tidak sebaliknya.

Syor:
(a.). Supaya ungkapan "patut dan perlu" mesti dikekalkan..

(b). Peruntukan-peruntukan tambahan berikut juga disyorkan bagi menjaminkan pelaksanaan adil peruntukan subseksyen (5):
• "Bagi syarat (a), Mahkamah dikehendaki meminta pemohon membekalkan bukti perubatan dan lain-lain (termasuk saksi-saksi) untuk membuktikan bahawa isterinya adalah mandul atau mengalami keuzuran jasmani atau tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan atau gila atau sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan.";

• "Bagi syarat (b): pemohon hendaklah membekal dokumen-dokumen sokongan majikan atau syarikat di mana dia bekerja dan penyata akaun banknya serta juga penyata cukai pendapatan bagi membuktikan pendapatan bersihnya selepas ditolak hutang piutang dan lain-lain tanggungan.";

• "Bagi syarat (c), saksi-saksi, termasuk isteri yang sedia ada, hendaklah dipanggil untuk menyokong akuan pemohon bahawa beliau mampu memberi layanan sama rata kepada semua isteri-isterinya. Akuan lisan semata-mata oleh pemohon yang dia akan memberi layanan samarata tanpa bukti dan keterangan sokongan dari saksi-saksi tidak boleh diterima. Kelakuan suami sebagai seorang Islam yang mentaati segala perintah Allah s.w.t. dan yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam, budi pekerti atau sebaliknya dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami, bapa dan anak haruslah diambilkira oleh Mahkamah.";

• "Bagi syarat (d): isteri yang sedia ada serta saksi-saksi hendaklah dipanggil dan bukti perubatan hendaklah dibekalkan untuk membuktikan bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada.";

Syarat (e) telah digugurkan oleh Akta Pindaan tahun 194. Disyorkan kemasukan semula syarat ini, iaitu:
"bahawa perkahwinan poligami yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tidak langsung taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada."

Dengan kemasukan semula syarat (e):
• "Bagi syarat (e), Mahkamah hendaklah meneliti dan menimbang penyata gaji, penyata cukai pendapatan dan lain-lain dokumen kewangan pemohon termasuk apa-apa sumber pendapatan dari isteri yang dicadangkan bagi membuktikan bahawa taraf kehidupan yang dinikmati oleh isterinya yang sedia ada dan anak-anak mereka tidak akan direndahkan."

(iv). Peruntukan baru Subseksyen (10)
Peruntukan baru yang kami syorkan ialah untuk memastikan supaya kepentingan dan kebajikan isteri sedia ada adalah terjamin dengan adilnya, sekurang-kurangnya dari segi kewangan, berlandaskan kepada prinsip hukum Islam bahawa perkahwinan poligami yang membawa mudarat dan ketakadilan kepada pihak isteri sebenarnya tidak dibenarkan oleh ayat suci al-Qur'an yang begitu menekankan dan memelihara keadilan bagi wanita dan kanak-kanak (Surah an-Nisa' 4 : 3 dan 4 : 129). Malangnya peruntukan baru subseksyen (10) sebagaimana digubal dalam draf RUU boleh disalahgunakan oleh pihak suami yang tidak bertanggungjawab. Draf perenggan (a) juga tidak lengkap kerana tidak menyebut mengenai bayaran nafkah bagi anak-anak.

Penyalahgunaan ini boleh berlaku kerana draf subseksyen (10) menyatakan "mana-mana pihak kepada pekahwinan itu" boleh membuat permohonan. Ini bermakna permohonan boleh dibuat bukan sahaja oleh isteri sedia ada tetapi oleh pihak suami juga.

Syor kami ialah supaya permohonan boleh dibuat oleh "isteri sedia ada", bukan oleh suami. Ini boleh membawa implikasi yang tidak diingini kerana draf perenggan (b) memperuntukkan pembahagian "apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset dijual dan hasil jualan itu dibahagikan". Ini membawa implikasi bahawa suami juga boleh meminta supaya asset yang sudahpun didaftarkan dalam nama isteri sedia ada dalam masa perkahwinan mereka juga dibahagikan sebahagiannya kepadanya (suami) atau supaya rumah perkahwinan mereka dijual apabila suami itu berkahwin lain.

Ini akan membawa keadaan yang amat tidak adil sekali kepada isteri sedia ada dan anak-anak. Suami yang tidak bertanggungjawab mungkin akan menuntut harta isteri sedia ada atau mendakwa bahawa harta yang telah dahulunya diberi kepada isteri sedai ada masih merupakan bahagian harta suami atau mahukan rumah perkahwinan mereka dijual untuk mendapat wang bagi menyara isteri barunya.

Syor kami ialah supaya kepentingan isteri sedia ada itu diberi perlindungan khusus sekiranya suami berkahwin lain. Harta yang telah dipegang oleh isteri sedia ada atau didaftarkan atas nama isteri sedia ada sama sekali tidak patut dipaksa supaya dijual atau dibahagikan sebahagiannya kepada pihak suami apabila suami berkahwin lain. Oleh kerana poligami khusus kepada pihak suami - isteri memang tidak boleh berpoligami - bahasa yang khusus juga perlu digunakan untuk memberi perlindungan kepada hak-hak kewangan dan harta benda isteri sedia ada.

Syor:
Supaya peruntukan draf RUU ini digantikan dengan yang berikut:
"(10) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila memberi kebenaran untuk pihak suami berpoligami di bawah seksyen ini, atau atas permohonan seseorang isteri sedia ada yang suaminya berkahwin lain dengan melanggar peruntukan seksyen ini -

(a) untuk menghendaki seseorang lelaki membuat pembayaran nafkah berkala kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada dan anak-anaknya, dan boleh mengeluarkan perintah potongan gaji atau apa-apa perintah lain mengenai perkiraan cagaran harta atau pendapatan untuk melaksanakan perintah nafkah tersebut; dan

(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang didaftarkan dalam nama suami, yang diperolehi oleh pihak suami dan isteri hasil dari usaha bersama mereka atau yang diperolehi oleh usaha tunggal pihak suami, dalam masa perkahwinan mereka sebelum perkahwinan baru pihak suami, dibahagikan sebahagiannya kepada pihak isteri atau isteri-isteri sedia ada,dan prinsip-prinsip pembahgian harta sepencarian hendaklah terpakai dengan penyesuaian yang perlu bagi pembahagian aset untuk menjamin perlindungan kepentingan dan keadilan kepada pihak isteri sedai ada di bawah seksyen ini."

III. Bahagian III -- Pendaftaran Perkahwinan

1. Seksyen 26(2) - surat perakuan ta'liq dalam borang yang ditetapkan -- peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Berkaitan dengan "ta'liq lain" yang boleh dicatat di bawah seksyen 22, patutlah diadakan peruntukan tambahan bagi mengeluarkan surat perakuan ta'liq tambahan atas pilihan pihak-pihak yang berkahwin itu.

Syor:
Supaya ditambah perkataan-perkataan "dan surat perakuan bagi apa-apa ta'liq tambahan, jika ada", selepas perkataan-perkataan "borang yang ditetapkan" dalam subseksyen (2).

2. Seksyen 29 - penyimpanan buku dan daftar perkahwinan - peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
Diadakan peruntukan tambahan untuk menyelaraskan segala buku dan daftar perkahwinan di peringkat nasional, iaitu megadakan penyimpanan daftar nasional mengenai semua perkahwinan.

3. Seksyen 33 - pendaftaran sukarela perkahwinan - peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Peruntukan ini nampaknya adalah bagi maksud-maksud pentadbiran, tetapi dikhuatiri boleh disalahgunakan.

Syor:
Untuk mengelakkan penyalahgunaan, ditambah perkataan-perkataan "yang tidak bertentangan dengan peruntukan Akta/Enakman ini" selepas perkataan "mana-mana undang-undang" dalam subseksyen (1).

IV. Bahagian V - Pembubaran Perkahwinan

1. Seksyen 47 - Perceraian dengan Talaq atau dengan Perintah
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-perutukan sedia ada dalam Akta 1984. Pihak kami telah mengemukakan beberapa syor bagi pindaan seksyen ini.

Subseksyen (2) memperuntukkan perlantikan jawatankuasa pendamai. Subseksyen (8) pula memperuntukkan pemecatan jawatankuasa itu dan perlantikan jawatankuasa lain bagi menggantikannya. Ini boleh membawa kepada kelengahan yang tidak wajar.

Subseksyen (9) memperuntukkan tempoh masa "enam bulan" atau "tempoh yang lebih lama mengikut sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah" bagi usaha pendamaian jawatankuasa itu.

Syor:
Supaya tempoh masa hendaklah "tidak lebih daripada enam bulan sahaja".

Tempoh yang tidak tetap dan lebih lama tidak harus dibenarkan kerana ia akan menambahkan kelengahan. Sudahlah jelas bahawa usaha pendamaian gagal jika pendamaian tidak dapat dicapai dalam tempoh enam bulan. Jawatankuasa juga akan lebih berdisiplin dan lebih berusaha dalam tempoh masa ditetapkan jika mereka sedar bahawa tempoh masa itu terhad dan mereka mesti menjalankan tugas mereka tanpa berlengah-lengah dengan mengharapkan perlanjutan tempoh masa.

2. Seksyen 48 - Timbangtara oleh Hakam
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Pihak kami telah juga mengemukakan beberapa syor bagi pindaan seksyen ini.

Syor-syor yang dikemukakan bagi pindaan seksyen 47 dan 48 adalah bertujuan melicinkan pelaksanaan seksyen ini dan untuk mengelak daripada berlakuya kelengahan yang tidak berpatutan dan tidak wajar, yang boleh membawa kesusahan dan ketakadilan kepada pihak-pihak terlibat, teruatamnya para isteri dan anak-anak, jika ada, seperti berikut:

(i). Kesan peruntukan-peruntukan sedia ada ialah sekiranya pihak suami tidak bersetuju bercerai, maka pihak isteri perlu melalui beberapa peringkat dan beberapa pihak jawatankuasa pendamai dan juga hakam.

(ii). Subseksyen (4) - pemecatan Hakam dan perlantikan Hakam lain boleh menambahkan lagi kelengahan. Subseksyen (5) membebankan Hakam dengan usaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka.

(iii). Subseksyen (6) membolehkan Mahkamah melantik hakam lain dan memberi kuasa kepada mereka untuk memerintahkan perceraian., tetapi terlalu banyak peringkat perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat ini. Kesannya ialah membebankan pihak isteri yang suaminya tidak bersetuju dengan perceraian kerana pihak suami tidak perlu melalui peringkat-peringkat itu kalaupun isterinya tidak bersetuju dengan perceraian.

Syor:
(i). Supaya berbagai peringkat jawatankuasa dan hakam itu disatukan kepada satu kumpulan Hakam yang diberikuasa untuk memerintahkan perceraian.

(ii). Supaya kuasa penuh Hakam patutlah dijadikan perkara yang standard apabila Hakam dilantik.

(iii) Supaya digantikan peruntukan subseksyen (4), (5) dan (6) tersebut dengan peruntukan yang memberi kuasa penuh kepada Hakam yang dilantik pada mulanya lagi seperti berikut:
"Hakam yang dilantik oleh Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa penuh termasuklah kuasa untuk memerintahkan perceraian, jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai, dan sekiranya pihak-pihak itu tidak dapat berbaik semula dalam tempoh masa enam bulan selepas perlanitkan Hakam, maka Hakam hendaklah memerintahkan perceraiann."

3. Seksyen 49 - Perceraian Khul'
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

(i). Subseksyen (3) - bayaran tebus talaq dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

Mengikut Hukum Syarak, jumlah bayaran tebus talaq sepatutnya merujuk kepada mahr yang diberi oleh suami kepada isteri. Pada amnya mahr dan pemberian suami kepada isteri tidak boleh diambil balik oleh suami, tetapi pengecualian dibenarkan dalam kes perceraian khul' (dinyatakan dalam Surah al-Baqarah 2 : 229). Rujukan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu sepatutnya diberi pertimbangan dalam mentaksirkan jumlah mut'ah yang "ma'ruf" (Surah al-Baqarah 2 : 241), daripada pihak suami kepada pihak isteri, bukan jumlah pampasan khul' daripada pihak isteri kepada pihak suami.

Syor:
Supaya, berlandaskan Hukum Syarak, subseksyen (3) digantikan dengan yang berikut:
"(3) Jika jumlah bayaran pampasan khul' tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu dengan merujuk kepada jumlah bayaran mas kahwin dan pemberian yang telah diberi oleh pihak suami kepada pihak isteri, dengan ditolak apa-apa balasan dan faedah yang telah diberi oleh pihak isteri kepada pihak suami."

(ii). Subseksyen (4) - kesannya boleh membawa kelengahan lama yang tidak berpatutan dan amat menyusahkan pihak isteri sekiranya suami tidak bersetuju bercerai. Memanglah terdapat percanggahan pendapat di kalangan para ulama' mengenai konsep perceraian khul'. Ada pendapat pihak ulama' yang menganggap khul' sebagai hak isteri yang tidak memerlukan persetujuan suami, sebagai mengimbangkan hak talaq suami yang tidak memerlukan persetujuan isteri. Pendapat ini telah diterma di beberapa negara Islam, misalnya melalui perundangan di Mesir dan keputusan mahkamah di Pakistan.

Keseimbangan di antara talaq dan khul' yang disokong oleh golongan ulama' yang berpendapat bahawa perceraian khul' tidak memerlukan persetujuan suami sebenarnya masih tidak memberi persamaan hak kepada pihak suami dan isteri kerana pihak isteri tidaklah boleh bertindak sendiri untuk membubarkan perkahwinannya tetapi memerlukan persetujuan Hakim untuk membubarkan perkahwinan. Oleh it, kalaupun khul' diterima sebagai hak pihak isteri, pihak suami masih mempunyai kelebihan dengan hak talaq. Perceraian atas persetujuan bersama suami isteri pula adalah perceraian mubaraat (pelepasan bersama) dan mungkin patut diadakan peruntukan berasingan mengenainya.

Syor:
(a) Supaya prosedur panjang lebar mengenai jawatankuasa pendamai seksyen 47 yang disebut dalam subseksyen ini patut diringkaskan supaya terus kepada prosedur perlantikan Hakam yang diberikuasa memerintahkan perceraian.

(b) Supaya khul' diiktiraf sebagai hak isteri yang tidak memerlukan persetujuan suami.

(c) Supaya peceraian atas persetujuan bersama suami isteri diperuntukkan sebagai perceraian mubaraat.

4. Seksyen 50 - Perceraian Ta'liq
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-perutukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
(i). Supaya ditambah perkataan-perkataan "atau ta'liq tambahan" selepas "surat perakuan ta'liq" untuk menjelaskan bahawa prosiding di bawah ta'liq lain atau ta'liq tambahan juga boleh diambil di bawah seksyen ini.

(ii). Supaya dimasukkan peruntukan baru subseksyen (3) bagi prosiding ringkas untuk perceraian ta'liq seperti berikut:
"(3) Jika tiada keterangan lain boleh dibawa ke Mahkamah, maka Mahkamah hendaklah memuaskan hatinya bahawa perceraian itu adalah sah dengan menanyakan sama ada pihak isteri sanggup mengangkat sumpah syarie mengenainya, dan boleh membawa dua orang saksi yang juga sanggup mengangkat sumpah syarie sedemikian, dan jika isteri dan saksi-saksi itu mengangkat sumpah syarie tersebut, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu."

5. Seksyen 52 - Ruju'
Peruntukan-peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Subseksyen (9) -- Kesannya ialah suami masih boleh meruju' isteri tanpa persetujuan pihak isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai.

Ada pandangan bahawa kelebihan yang diberi kepada pihak suami mengenai ruju' hanyalah kelebihan untuk memulakan proses ruju' dengan mencadangkan kepada pihak isteri supaya mereka berbaik semula patutlah diterima. Dengan kata lain, suami mempunyai kelebihan kerana cadangan untuk ruju' hendaklah datang daripada pihaknya, bukan daripada pihak isteri, dan pihak isteri hanya boleh membuat pilihan sama ada setuju atau tidak setuju untuk ruju' setelah cadangan itu bermula daripada pihak suami.

Perhatian patutlah juga diberi kepada penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes Noryati v. Hamid (1992) 9 JH 117. Mahkamah Rayuan Syariah telah merujuk kepada Surah al-Baqarah 2 : 231 yang bermaksud "bolehlah kamu pegang mereka (ruju') dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (ruju') dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikain sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri". Bolehlah dibuat kesimpulan bahawa ruju' yang tidak dipersetujui oleh pihak isteri tentulah bukan ruju' dengan cara yang baik dan akan membawa mudarat kepada isteri.

Syor:
Supaya persetujuan isteri hendaklah perlu untuk ruju'.

6. Seksyen 53 - Perintah untuk Membubarkan Perkahwinan atau untuk Fasakh
Kami amat kecewa dan dukacita dengan pindaan kepada seksyen 53. Pindaan-pindaan kepada seksyen 53 telah menambahkan hak pihak suami tanpa menambahkan hak atau perlindungan kepada hak isteri. Pindaan itu telah melanjutkan hak untuk menuntut fasakh pada amnya kepada pihak suami. Dalam Akta 1984 sebelum pindaan tahun 1994, hanya pihak isteri boleh menuntut fasakh. Dalam pindaan yang dimasukkan pada tahun 1994 pula, pihak suami dibenarkan menuntut fasakh atas satu alasan sahaja dalam subseksyen (2), iaitu isteri menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan. Dalam draf RUU pula, alasan bagi suami untuk menuntut fasakh telah ditambah dengan lapan lagi alasan (dalam subseksyen (1)(a), (c), (d), (f), (h)(i), (h)(iv) dan (h)(v), di samping subseksyen (2)). Sebaliknya pula, alasan fasakh yang telah diberi kepada pihak suami dalam subseksyen (2) tidak dilanjutkan kepada pihak isteri.

Pindaan bagi pihak suami menuntut fasakh mungkin adil sekiranya suami tidak lagi dibenarkan mentalaq isterinya. Tetapi ia amat tidak adil apabila suami masih boleh mentalaq isterinya. Terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama' mazhab Sunni tentang sama ada hak fasakh juga diberi kepada pihak suami. Misalnya, mazhab Hanafi hanya memberi hak fasakh kepada pihak isteri, dan mazhab yang lain memberi fasakh kepada kedua-dua pihak apabila alasannya ialah penyakit berjangkit atau penyakit yang menghalang persetubuhan. Dalam draf RUU ini, alasan bagi suami menuntut fasakh telah diperluaskan lebih daripada itu. Apakah kesan perbezaan di antara perceraian talaq dan perceraian fasakh oleh pihak suami? Mungkin faedah bagi pihak suami menuntut fasakh ialah supaya dia tidak perlu membayar nafkah iddah dan mut'ah kepada bekas isterinya.

Kami mendapati sungguh aneh bahawa apabila terdapat percanggahan pendapat ulama', mengenai sesuatu kaedah, terdapat kecenderungan menerima pendapat yang lebih memberi faedah kepada pihak suami serta juga memperluaskan lagi faedah itu. Sebaliknya, apabila terdapat percanggahan pendapat ulama' mengenai kaedah lain yang boleh memberi faedah kepada pihak isteri (misalnya yang memperluaskan hak ta'liq atau perceraian tafwid bagi pihak isteri), pendapat yang memberi faedah kepada pihak isteri itu diketepikan dan tidak diterima.

Kebanyakan pandangan para ulama' fiqh yang terbentuk pada zaman pemantapan hukum fiqh beberapa ratus tahun dahulu memanglah pada amnya memberi kelebihan kepada pihak lelaki, tetapi terdapat juga berbagai percanggahan pendapat mengenai hak wanita. Kelebihan kepada pihak lelaki pada zaman itu sebenarnya tidak khusus kepada ummat Islam, tetapi adalah adat biasa di kalangan segala masyarakat pada zaman itu, termasuklah dalam masyarakat Barat. Malah kaedah-kaedah dalam masyarakat Islam zaman itu lebih mengutamakan kaum wanita apabila dibanding dengan kaedah-kaedah mengenai kaum wanita dalam masyarakat lain pada zaman yang sama. Amatlah mengecewakan bahawa pada zaman sekarang ini, apabila kebanyakan masyarakat telah menyedari mengenai hak wanita, anggota masyarakat Islam, yang sepatutnya menjadi pemimpin dalam kesedaran ini, sebaliknya memilih untuk memperluaskan lagi hak lelaki, tanpa keseimbangan dan perlindungan hak wanita.

Malah cadangan draf subseksyen (1) telah juga memberi pihak suami sesuatu hak yang tidak pernah diberi pada zaman awal Islam, terutamanya dalam perenggan (h)(iv) yang menjadikan alasan untuk fasakh sekiranya:
"melupuskan harta isteri atau suami, melarang isteri atau suami, itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu."

Mengikut Hukum Syarak, suami memanglah tidak berhak mengambil daripada harta isterinya, tetapi isteri berhak mengambil daripada harta suaminya sekiranya suami tidak memberinya nafkah yang mencukupi. Hadith Rasulullah (saw) mengenai Hendon dan suaminya Abu Suffian di mana Hendon telah mengadu kepada Rasulullah (saw) bahawa suaminya itu kedekut dan tidak memberi nafkah mencukupi sehingga dia terpaksa mengambil daripada harta suaminya tanpa pengetahuan suami, dan bertanya Rasulullah sama ada dia boleh berbuat demikian, dan Rasulullah (saw) menjawab "Ambillah olehmu dari hartanya sekadar perkara yang mencukupi bagi engkau dan anak engkau dengan secara baik". Kesan peruntukan draf perenggan (h)(iv) boleh disalahgunakan untuk mengetepikan hak isteri untuk mengambil daripada harta suaminya sebagaimana yang dibenarkan oleh Rasulullah (saw).

Sekiranya hak fasakh hendak diperluaskan kepada pihak suami, maka berbagai penyesuaian dan keseimbangan adalah perlu supaya kesannya tidak membawa lebih lagi penindasan dan ketakadilan kepada pihak wanita.

Syor:
(i.) Dikekalkan peruntukan subseksyen (1)(h)(iv) yamg sedia ada dengan menggugurkan kemasukan perkataan-perkataan "atau suami" di mana jua terdapat di dalamnya.

(ii.) Ditambah perkataan-perkataan "atau suami" dalam subseksyen (2) supaya isteri juga boleh menuntut fasakh jikalau suami menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.

(iii.) Dipinda subseksyen (4) supaya tidak lagi perlu menunggu tempoh satu tahun mengenai sama ada suami mati pucuk, dan menggantikannya dengan peruntukan mengenai keterangan perubatan bagi perenggan (1)(e) dan juga subsesksyen (2) seperti berikut:
"Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) atau subseksyen (2), Mahkamah hendaklah memuaskan hatinya dengan keterangan perubatan bahawa suami itu mati pucuk atau isteri atau suami itu menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan."

(iv.) Digugurkan subseksyen (5) yang terlalu melindungi hak suami dan boleh disalahgunakan untuk memberi kesan supaya Mahkamah tidak membubarkan perkahwinan walaupun isteri mempunyai alasan bagi fasakh dalam subseksyen (1). Kesan peruntukan ini menjadi lebih tidak adil lagi sekiranya hak fasakh dilanjutkan kepada pihak suami kerana tidak terdapat peruntukan seimbang yang menghalang Mahkamah daripada membubarkan perkahwinan walaupun jika pembubaran perkahwinan itu tidak adil bagi isteri. Kalaupun dimasukkan peruntukan baru untuk membenarkan isteri memohon kepada Mahkamah supaya tidak mengeluarkan perintah pembubaran perkahwinan kerana tidak adil baginya, ia tidak akan berkesan kerana pihak suami boleh pula menceraikan isteri itu melalui talaq.

7. Seksyen 54 - anggapan kematian suami -- peruntukan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
(i.) Supaya digugurkan subseksyen (3) yang kesannya boleh membawa bebanan dua kali (double burden) kepada pihak isteri untuk mendapat perakuan anggapan kematian daripada Mahkamah Tinggi sivil serta Mahkamah Syariah; cukuplah sekiranya pihak isteri sudahpun mendapat perakuan anggapan kematian itu daripada mana-mana mahkamah. Lagipun, tempoh untuk anggapan kematian dalam undang-undang sivil, iaitu tujuh tahun, lebih panjang daripada untuk anggapan kematian dalam undang-undang syariah, iaitu empat tahun. Oleh itu, sekiranya seseorang perempuan telah mendapat perakuan kematian suaminya daripada mahkamah sivil, ia patutnya sudah lebih daripada mencukupi, dan tidaklah perlu menyusahkan dan membebankannya untuk melalui satu lagi proses mahkamah.

(ii). Supaya dipinda subseksyen (2) seperti berikut:
"(2) Suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) atau oleh Mahkamah Tinggi sivil hendaklah disifatkan sebagai perakuan kematian suami itu dalam peenggan 14(4)(b)."

8. Seksyen 55 - Penyenggaraan Daftar - peruntukan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
Ditambah peruntukan baru bagi penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembatalan di peringkat nasional.

9. Seksyen 56 - Pendaftaran Perceraian
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-perutukan sedia ada dalam Akta 1984 sebagaimana dipinda oleh Akta tahun 1994. Pihak kami telah juga mengemukakan beberapa syor bagi pindaan tambahan seksyen ini. Peruntukan yang kami syorkan adalah selaras dengan hukum syarak dan juga lebih adil terhadap isteri yang telah diceraikan dan anak-anak perkahwinan tersebut.

Syor:
Supaya seksyen 55 dipinda dengan menambah subseksyen (2) baru seperti berikut:
"(2) Dengan syarat bahawa sekiranya tiada perintah atau perintah-perintah muktamad dibuat mengenai hak jagaan dan nafkah anak-anak, nafkah dan tempat tinggal isteri yang telah diceraikan dan pembayaran muta'ah kepadanya selepas tempoh tiga bulan dari tarikh perceraian, maka Ketua Pendaftar hanya boleh mendaftarkan perceraian itu jika dia berpuashati bahawa perintah-perintah sementara telah dibuat oleh Mahkamah mengenai tuntutan-tuntutan tersebut."

10. Seksyen 57 - Pendaftaran Perceraian di luar Mahkamah
Peruntukan-peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-perutukan sedia ada sebagaimana dimasukkan oleh Akta tahun 1994. Pihak kami telah juga mengemukakan beberapa syor bagi pindaan seksyen ini.

Peruntukan yang kami syorkan ialah untuk memastikan bahawa hak-hak kewangan isteri yang diceraikan itu adalah selaras dengan hukum syarak dan supaya lebih adil terhadap isteri yang telah diceraikan dan anak-anak perkahwinan tersebut. Perlindungan bagi pihak isteri lebih perlu lagi apabila isteri telah diceraikan di luar mahkamah, iaitu dengan cara yang tidak ma'ruf, dengan melanggar peraturan yang telah diadakan dalam undang-undang. Perintah supaya urusan perceraian patut diadakan dengan cara yang ma'ruf dan ihsan adalah perintah yang terdapat dalam ayat suci al-Qur'an itu sendiri, misalnya dalam bahagian ayat Surah al-Baqarah 2 : 229.

Syor:
Supaya seksyen 57 dipinda dengan memasukkan subseksyen baru (4) dan (5) seperti berikut:
"(4) Mahkamah, apabila membenarkan perceraian yang dilafazkan di luar Mahkamah, hendaklah membuat perintah muktamad atau perintah sementara mengenai hak jagaan dan nafkah anak-anak, nafkah dan tempat tinggal isteri yang telah diceraikan dan pembayaran muta'ah dan pembahagian harta sepencarian kepadanya."

"(5) Suami yang melafazkan talaq tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dianggap sebagai telah menceraikan isterinya tanpa sebab yang patut dan dengan sendirinya pihak isteri berhak mendapat mut'ah."

11. Seksyen 58 -- Mut'ah.
Peruntukan -peruntukan seksyen ini sama dengan peruntukan-perutukan sedia ada dalam Akta 1984. Pihak kami telah mengemukakan beberapa syor bagi pindaan seksyen ini.

Mazhab Shafi'i terutamanya menekankan kewajipan mengenai pembayaran mut'ah. Peruntukan-peruntukan baru disyorkan untuk memasukkan garis panduan yang lebih jelas dan terperinci bagi menentukan jumlah yang berpatutan bagi muta'ah dalam sesuatu kes tertentu mengikut hal keadaan pihak-pihak yang terlibat. Faktor-faktor yang patut diambilkira termasuklah jumlah pendapatan dan hal ehwal kewangan pihak-pihak berkenaan, tempoh perkahwinan itu dan hal keadaan perceraiannya.

Mengenai ukuran minimum bagi mut'ah, Akta No. 100 / 1985 di Mesir memperuntukkan jumlah mut'ah yang tidak kurang daripada jumlah dua tahun saraan hidup dengan pertimbangan sewajarnya diberi mengikut kekayaan atau kemiskinan pihak suami, hal dan keadaan perceraian terlibat, dan tempoh perkahwinan itu. Akta di Mesir tidak memperuntukkan jumlah maksimum, dan ini mungkin boleh membawa ketakadilan bagi pihak suami pula. Pengubahsuaian dalam syor peruntukan di sini kepada jumlah minimum tidak kurang daripada satu tahun saraan hidup dan jumlah maksimum tidak melebihi lima tahun saraan hidup serta kecualian daripadanya adalah ditambah untuk memastikan lagi keadilan bagi kedua-dua pihak suami serta isteri.

Syor:
(i). Supaya digantikan perkataan "saguhati" dengan perkataan-perkataan "pampasan kewangan" kerana istilah "saguhati" membawa kekeliruan di kalangan orang ramai yang kurang memandang serius mengenai mut'ah; ada mereka yang menyangka ia hanyalah pemberian yang diberi mengikut sesuka hati pihak suami sahaja.

(ii). Ditambah peruntukan baru subseksyen (2), (3) dan (4) untuk mengadakan garispanduan bagi membantu Mahkamah mentaksirkan jumlah mut'ah yang wajar dan patut, seperti berikut:
"(2) Dalam mentaksirkan jumlah mut'ah yang wajar dan patut, Mahkamah hendaklah memberi pertimbangan kepada:

(a) taraf, pendapatan dan sumber kewangan pihak-pihak itu;

(b) tempoh pekahwinan pihak-pihak itu;

(c) umur dan keadaan kesihatan pihak-pihak itu;

(d) hal keadaan perceraian itu; misalnya jika suami lafaz talaq tanpa kebenaran di luar mahkamah, hal ini mnjadi satu factor untuk menaikkan jumlah mut'ah bagi isteri.

"(3) Ukuran minimum bagi mut'ah hendaklah jumlah bersamaan dengan saraan hidup selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun, dan ukuran maksimum bagi mut'ah hendaklah jumlah bersamaan dengan saraan hidup selama tempoh tidak melebihi lima tahun, mengikut taraf dan sumber kewangan pihak-pihak, kecuali bahawa -

(i) jumlah yang kurang daripada jumlah minimum boleh dibenarkan sekiranya pendapatan dan sumber kewangan pihak isteri melebihi pendapatan dan sumber kewangan pihak suami; atau

(ii) jumlah yang lebih daripada jumlah maksimum boleh dibenarkan sekiranya pendapatan dan sumber kewangan pihak suami melebihi pendapatan dan sumber kewangan pihak isteri, dan pihak isteri mengalami kesulitan kewangan atas sebab usia tua atau sebab kesihatan atau apa-apa sebab lain."

"(4) Pihak suami bolehlah dibenarkan membayar jumlah mut'ah dengan cara ansuran."

12. Seksyen 58 Akta tahun 1984 dan Seksyen 122 RUU -- Harta Sepencarian
(i). Susunan nombor seksyen.
Dalam Akta 1984, peruntukan harta sepencarian adalah dalam seksyen selepas sahaja seksyen peruntukan mengenai mut'ah dan seksyen peruntukan mengenai mas kahwin, iaitu di bawah tajuk "Pembubaran Perkahwinan". Dalam draf RUU, peruntukan harta sepencarian telah dipindahkan kepada seksyen 122, di bawah tajuk "Perintah supaya Hidup Bersma Semula" yang tidak berkaitan dengan hal pembahagian harta sepencarian. Terdapat juga kesilapan taip dalam peruntukan RUU di mana perkataan-perkataan "atau supaya mana-mana aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usha bersama mereka dibahagi antara mereka" diulangi dua kali.

Syor:
Supaya seksyen peruntukan harta sepencarian dipindahkan semula ke bawah tajuk "Pembubaran Perkahwinan", selepas sahaja seksyen peruntukan mut'ah dan seksyen peruntukan mengenai mas kahwin.

(ii). Peruntukan substantif
Secara substantifnya, peruntukan-peruntukan seksyen 122 RUU adalah sama dengan peruntukan-peruntukan seksyen 58 Akta 1984. Bahasa yang digunakan dalam pembahagian harta sepencarian ialah bahasa yang tidak mengira jantina (gender neutral language), iaitu mana-mana "pihak" dalam perkahwinan dan tidak disebut pihak "isteri' atau pihak "suami".

Bahasa tidak mengira jantina yang digunakan adalah sama dengan peruntukan pembahagian aset perkahwinan di bawah undang-undang sivil dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi orang bukan-Islam. Tetapi ini tidak adil dan mempunyai kesan diskriminasi ke atas perempuan Islam kerana tidak terdapat keseimbangan hak di antara pihak lelaki dan perempuan.

Di bawah undang-undang keluarga sivil, terdapat keseimbangan hak kerana proses perceraian juga tidak mengira jantina (gender neutral), dan sama ada pihak yang memohon perceraian itu pihak suami atau pihak isteri, mereka perlu melalui proses yang sama; dengan itu peruntukan pembahagian aset perkahwinan yang tidak mengira jantina adalah adil bagi mereka. Undang-undang sivil mengenai harta pusaka juga telah dipinda dalam tahun 1990an untuk dengan sepenuhnya memberi bahagian pusaka sama banyak tanpa mengira jantina. Sebelum pindaan itu, undang-undang sivil juga memberi suami bahagian harta pusaka yang lebih daripada bahagian yang diberi kepada isteri, iaitu mengikut undang-undang common law yang tradisional.

Undang-undang tradisional mengikut kebanyakan masyarakat, termasuk di Barat serta di Timur,
memang mengutamakan hak pihak lelaki dalam berbagai perkara, tetapi biasanya terdapatlah juga keseimbangan dengan melebihkan kewajipan lelaki. Dengan konsep kesamarataan gender atau jantina pada abad ke 20, dalam masyarakat moden, hak lelaki dikurangkan dengan melanjutkan hak yang sama kepada wanita, dan pengubahsuaiannya ialah dengan mengurangkan kewajipan lelaki dengan menambahkan kewajipan wanita.

Di bawah undang-undang keluarga Islam ini pula, proses perceraian dan bahagian harta pusaka bukannya tidak mengira jantina tetapi mengutamakan pihak lelaki mengikut hak tradisionalnya. Adalah lebih mudah bagi pihak suami untuk menceraikan isterinya melalui talaq, manakala pihak isteri yang memohon perceraian di mahkamah perlu melalui proses yang lebih lama dan rumit sekiranya suaminya tidak bersetuju dengan perceraian.

Terdapat banyak aduan daripada pihak wanita Islam yang mengatakan mereka telah bersetuju melepaskan tuntutan mereka mengenai harta sepencarian agar mendapat persetujuan suami untuk perceraian. Malah terdapat juga aduan mengenai suami yang mengugut hendak membuat tuntutan harta sepencarian terhadap harta yang sebenarnya harta isteri sekiranya isteri tidak mengikut kehendaknya mengenai terma-terma perceraian itu.

Pihak isteri Islam berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lebih lemah mengenai terma-terma perceraian kerana proses perceraian mengutamakan suami, tetapi pembahagian harta sepencarian pula tidak lagi mengutamakan isteri tetapi meletakkan suami isteri atas kedudukan yang sama.

Tujuan asal konsep harta sepencarian dan upah dalam undang-undang adat Melayu adalah untuk melindungi kepentingan isteri. Konsep ini sudah lama diterima dalam undang-undang adat Melayu dan, kini konsep seumpamanya telah mula diterima dalam berbagai sistem undang-undang, baik sivil mahupun syariah. Misalnya, di Iran, konsep hak isteri yang diceraikan kepada upah kerja rumahtangga sebagai "ujrah al-mithal" telah diperkenalkan melalui pindaan kepada undang-undang perceraian pada tahun 1992. Selagi proses perceraian tidak memberi hak samarata kepada isteri dan suami, adalah tidak wajar menggunakan bahasa yang tidak mengira jantina dalam pembahagian harta sepencarian.

Syor:
Supaya ditambah peruntukan baru (6) yang berikut:
"(6) Berkenaan dengan harta sepencarian:

(a) apa-apa aset yang didaftarkan atas kedua-dua nama suami isteri hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian dan dibahagikan sama rata antara mereka;

(b) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama suami yang diperolehinya dalam tempoh perkahwinan hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian di mana pembahagiannya adalah dua pertiga kepada pihak suami dan satu pertiga kepada pihak isteri kecuali jika;

(i) suami itu membuktikan bahawa aset itu adalah hartanya sendiri; atau bahawa isteri patut diberi bahagian yang kurang daripada satu pertiga; atau
(ii) isteri itu membuktikan bahawa dia patut diberi bahagian yang lebih daripada satu pertiga;

(c) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama pihak isteri, walaupun diperolehinya dalam tempoh perkahwinan, hendaklah dianggap sebagai hartanya sendiri kecuali jika pihak suami membuktikan bahawa aset itu adalah harta sepencarian di mana suami itu patut diberi bahagian yang tidak lebih daripada satu pertiga."

V. Bahagian VI - Nafkah Isteri, Anak dan Lain-lain

1. Seksyen 60 -- Peruntukan nafkah isteri dan efek nusyuz adalah sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Nusyuz hanya dilihat sebagai nusyuz isteri, walaupun al-Qur'an menyebut istilah nusyuz bagi kedua-dua isteri dan suami - Surah an Nisa 4 : 34 menyebut mengenai nusyuz isteri dan Surah an-Nisa' 4 : 128 menyebut mengenai nusyuz suami. Dengan itu, nusyuz sebenarnya adalah perbuatan merosakkan keharmonian rumah tangga oleh mana-mana satu pihak kepada perkahwinan itu, sama ada pihak suami atau isteri atau kedua-duanya. Misalnya, dalam kes Hasnah v. Zaaba' (1995) 10 JH, Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu mendapati bahawa kedua-dua pihak telah gagal menjalankan kewajipan mereka dalam perkahwinan itu, iaitu mereka kedua-duanya telah melakukan nusyuz. Dengan itu Mahkamah telah memerintahkan perceraian fasakh atas permohonan pihak isteri.

Syor:
Supaya subseksyen (2) dan (3) seksyen ini dipermudahkan dan digantikan dengan peruntukan baru yang menggunakan bahasa yang lebih sesuai, dan peruntukan baru subseksyen (4) dan (5) ditambah, seperti berikut:
"(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah sekiranya dia melakukan nusyuz, iaitu dengan secara tidak berpatutan tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak, enggan tinggal bersama suaminya sedangkan suami itu tidak melakukan nusyuz."

"(3) Selepas sahaja isteri itu bersetuju tinggal bersama suaminya, dia adalah berhak mendapat nafkah."

"(4) Seseorang isteri yang enggan tinggal bersama suaminya atas sebab tindakan nusyuz suami masih berhak mendapat nafkah."

"(5) "Nusyuz" ertinya merosakkan keharmonian rumah tangga oleh mana-mana satu pihak kepada perkahwinan itu".

2. Seksyen 66 - Peruntukan nafkah atau pemberian selepas perceraian adalah sama dengan peruntukan sedia ada yang dimasukkan oleh Akta Pindaan pada tahun 1994. Syor pembaharuan yang telah kami cadangkan tidak dimasukkan dalam draf RUU.

Pindaan tahun 1994 itu telah mengakibatkan berbagai tuduhan palsu dan tidak wajar dibuat, dalam tempoh iddah, terhadap pihak isteri yang telah dicerai. Kami telah menerima banyak laporan kes-kes di mana para isteri telah didakwa menjadi nusyuz walaupun mereka telah meninggalkan rumah dengan izin suami atau kerana takut dianiayai baik secara fizikal mahupun mental.

(i). Mengenai subseksyen (1), peruntukan yang ada mengenai nusyuz isteri dalam tempoh 'iddah patut dimansuhkan kerana bertentangan dengan maksud dan semangat aI-Quran, Surah At-Talaq 65:1 yang bermaksud: "Jangan singkirkan mereka (isteri-isteri) dari rumah mereka (semasa tempoh iddah)". Dalam tafsirannya mengenai ayat ini Muhammad Asad menekankan bahawa perintah berkenaan tidak membawa maksud bahawa seorang wanita yang telah diceraikan tidak boleh memilih untuk meninggalkan rumah kelaminnya. Dengan kata lain, kediaman di rumah kelamin itu merupakan hak, dan bukannya kewajipan, bagi isteri dalam tempoh 'iddah. Ayat 6 Surah yang sama selanjutnya menyebut dan bermaksud: "Benarkan wanita-wanita (yang berada dalam 'iddah) menikmati taraf kehidupan yang sama dengan apa yang kamu menikmati mengikut kemampuan kamu dan jangan mengganggu mereka dengan tujuan membuat kehidupan mereka sengsara".

Syor:
Supaya perkataan-perkataan "atau apabila isteri itu menjadi nusyuz" dalam subseksyen (1) dipotong.

(ii). Mengenai subseksyen (2), peruntukan Akta 1984 sebelum dipinda oleh Akta Pindaan tahun 1994 ada merujuk kepada hak pemberian "di bawah sesuatu perjanjian atau perintah". Terma-terma perjanjian perceraian di antara pihak-pihak itu mungkin juga dibuat atau disahkan melalui perintah mahkamah.

Syor:
Supaya perkataan-perkataan "atau perintah" dimasukkan semula dalam subseksyen (2).

3. Seksyen 72 - Peruntukan hak tempat tinggal adalah sama dengan peruntukan sedia ada yang dimasukkan oleh Akta Pindaan pada tahun 1994. Syor pembaharuan yang telah kami cadangkan tidak dimasukkan dalam draf RUU.

Akta Pindaan tahun 1994 telah memasukkan perenggan (d) dalam subseksyen (2) yang menyebut mengenai "perbuatan memberahikan secara terbuka" (fahisyah) yang dilakukan oleh seseorang perempuan sebagai suatu alasan untuk menghentikan hak tempat tinggal bagi perempuan itu. Ini dikhuatiri boleh menggalak tuduhan palsu dibuat mengenai "perlakuan yang memberahikan" terhadap seorang perempuan. Tuduhan sedemikian biasanya dibuat oleh lelaki yang tak bertanggungjawab dan dia sendiri bekelakuan keji.

Selain daripada itu, di mana sesuatu tuduhan nusyuz atau fahisyah dibuat terhadap isteri oleh suaminya, tuduhan itu mesti dibuktikan dalam Mahkamah dengan bukti-bukti yang kukuh.

Syor:
Supaya, bagi mengelak dari kemungkinan tuduhan palsu dibuat oleh suami terhadap isteri mengenai perlakuan sumbang, peruntukan tambahan seperti berikut ditambah kepada perenggan (d):
"dengan syarat bahawa beban membuktikan tuduhan fahisyah hendaklah terletak pada pihak suami dan Mahkamah patut membuat keputusan hanya selepas berpuashati bahawa tuduhan telah terbukti tanpa keraguan munasabah, dan pihak yang membuat tuduhan itu hendaklah lelaki yang adil dan berakhlak baik."

4. Seksyen 74 - Peruntukan nafkah bagi kanak-kanak.
Peruntukan perenggan (a) hingga (d) subseksyen (1) adalah sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Perenggan (e) dimasukkan dalam draf RUU berdasarkan cadangan kami, tetapi ia kurang lengkap peruntukannya.

Kami juga banyak menerima aduan mengenai masalah proses tuntutan dan pelaksanaan perintah nafkah anak, walaupun undang-undang memperuntukkannya.

Syor:
(i). Supaya diadakan peruntukan yang menegaskan dan menekankan sifat mandatori peruntukan nafkah anak, dengan menambah selepas perkataan-perkataan "faedah mana-mana anaknya" dalam subseksyen (1) perkataan-perkataan berikut: "dan Mahkamah hendaklah memastikan supaya dikeluarkan perintah interim bagi nafkah anaknya itu jika perintah muktamad belum dikeluarkan".

(ii). Supaya perenggan baru (e) dimasukkan dengan ditambah seperti berikut:
"(e) apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23 atau apabila memerintahkan pendaftaran perkahwinan poligami."

5. Seksyen 80 - Lamanya tempoh perintah nafkah anak. Peruntukan ini adalah sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Syor:
Supaya, bagi maksud menjelaskan peruntukan ini, ditambah perkataan-perkataan "memerintahkan atau" sebelum perkataan-perkataan "melanjutkan perintah nafkah". Ini untuk menjelaskan bahawa perintah nafkah boleh dipohon dan diperintahkan bagi anak yang mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi walaupun belum terdapat perintah nafkah sedia ada yang boleh dilanjutkan.

6. Seksyen 81 - Nafkah anak tak sah taraf.
Peruntukan adalah sama dengan peruntukan sedia ada yang dimasukkan oleh Akta Pindaan pada tahun 1994. Syor pembaharuan yang telah kami cadangkan tidak dimasukkan dalam draf RUU.

Kewajipan memberi nafkah kepada anak tak sah taraf nampaknya ditanggung oleh pihak ibu sahaja selepas pemotongan seksyen 80(2) Akta 1984 yang pernah mengadakan peruntukan bagi membawa tuntutan terhadap pihak bapa di mahkamah Majistret. Pemotongan tersebut telah dibuat tanpa mengadakan peruntukan baru bagi membolehkan tuntutan sedemikian dibuat di Mahkamah Syariah.

Walaupun ini mungkin dikatakan selaras dengan Hukum Syarak yang secara tradisional difahamkan sebagai tidak mengiktiraf apa-apa pertalian di antara bapa dengan anak tak sah taraf, mungkin para ulama Islam patut mengkaji semula mengenai hal ini. Nas yang mengatakan bahawa pihak bapa tidak bertanggungan memberi nafkah untuk anak tak sah tarafnya nampaknya diperolehi daripada Hadith yang tidak membenarkan pihak bapa anak tak sah taraf mendapatkan hak jagaan ke atas anak itu.

Di dalam Sahih Muslim Jilid II Kitab al-Nikah 3435 terdapat Hadith di mana dilaporkan bahawa dalam kes pertikaian jagaan anak, Rasulallah (s.a.w) telah memberi hak jagaan anak itu kepada keluarga lelaki yang menikahi ibu anak itu dan bukan keluarga lelaki yang sebenarnya bapa kandung anak itu kerana "anak adalah kepunyaan lelaki yang pada hamparan tidurnya dia dilahirkan". (Iaitu, anak itu dianggap sebagai anak pasangan suami isteri yang sah). Keadaan kes itu amat berbeza daripada masalah yang seringkali dihadapi oleh anak tak sah taraf yang terbiar pada zaman sekarang. Suatu lagi perbezaan ialah pada zaman ini, terdapat kemudahan memperolehi bukti yang jelas mengenai siapakah bapa seseorang anak itu.

Dalam kes pada zaman Rasulullah (s.a.w), anak itu bukannya anak yang terbiar; malah sebaliknya dia menjadi rebutan di antara dua keluarga, iaitu keluarga bapa di sisi undang-undang dan keluarga bapa kandung. Ajaran Islam memutuskan supaya kanak-kanak hendaklah "diletakkan dengan dan diamanahkan kepada ibu bapa yang penyayang dan budi pekertinya tidak disyaki" (Hammudah Abd al 'Ati "The Family Structure in Islam"m.s. 395).

Syor:
Supaya sama ada -
· dimasukkan semula subseksyen (2) yang memperuntukkan bahawa tuntutan bagi nafkah anak tak sah taraf terhadap bapa yang disangkakan boleh dibawa di Mahkamah Majjistret, atau

· dimasukkan subseksyen baru (2) seperti berikut:
"(2) Jika seseorang lelaki cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, setelah dibuktikan melalui ujian perubatan bahawa anak itu adalah anaknya, Mahkamah boleh memerintahkan lelaki itu memberi apa-apa elaun atau sumbangan bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah."

VI. Bahagian VII - Penjagaan Anak

1. Seksyen 84 - Bagaimana hak jagaan (custody) hilang. Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Peruntukan ini menyenaraikan hal keadaan di mana hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang, (iaitu berkahwin dengan orang yang menjejaskan kebajikan anak itu, kelakuan buruk, menukar pemastautinan, murtad, menganiayai anak) seolah-olah orang perempuan sahaja diberi hak jagaan anak. Tetapi orang lelaki juga boleh diberi hak jagaan anak, iaitu di bawah perenggan (b) (bapa) dan perenggan (l) (waris lelaki) seksyen 82(2), dan tidak pula disenaraikan hal keadaan di mana hak seseorang lelaki terhadap jagaan anak itu hilang.

Syor:
(i). Supaya perkataan-perkataan "atau lelaki" dimasukkan selepas perkataan "perempuan" dalam seksyen 84 dan dalam perenggan (a), (b), (c), (d) dan (e) seksyen itu, supaya hal keadaan yang disenaraikan bagi hilang kelayakan hak jagaan akan terpakai sama rata bagi perempuan dan lelaki.

(ii). Perenggan (c) perlu juga dipinda selanjutmnya dengan memasukkan perkataan-perkataan "atau ibu" selepas perkataan "bapa" dan perkataan-perkataan "atau lawatan" selepas perkataan "pengawasan".

2. Seksyen 85 - tempoh jagaan. Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Subseksyen (2) adalah mengelirukan, kerana pada permulaannya ia boleh memberi gambaran seolah-olah hak penjagaan secara automatik turun kepada bapa setelah tamatnya hak hadinah, walaupun kanak-kanak mumaiyiz berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, sebagaimana dinyatakan pada bahagian kemudiannya dalam subseksyen itu.

Syor:
Supaya dipotong perkataan-perkataan "Setelah tamatnya tempoh hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan". Dengan itu, bahasa dalam subseksyen (2) akan lebih jelas dan mudah difahami.

2. Penjagaan ke atas orang dan harta
(i). Seksyen 89 - Hak kepada penjagaan (guardianship).
Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Kami amat dukacita dan kecewa kerana cadangan kami mengenai hak penjagaan bersama ibubapa tidak dimasukkan. Bapa sahaja diperuntukkan sebagai penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dengan diikuti oleh datuk lelaki sebelah bapa dan wasi-wasi mereka (subsekeysn (1)).

Subseksyen (2) pula memperuntukkan supaya bapa sentiasa mempunyai kuasa yang paling luas berhubung dengan penjagaan anak-anaknya. Berbeza dengan peruntukan mengenai hilangnya hak hadanah (custody), tiada peruntukan yang menyenaraikan hal keadaan di mana hak penjagaan (guardianship) itu hilang. Tidakkah patut bapa yang tidak bertanggungjawab, misalnya yang tidak membayar nafkah anak, hilang hak penjagaan? Dan tidakkah patut ibu yang sebenarnya menanggung nafkah anak apabila bapa tidak memberi nafkah, atau ibu yang turut memberi sumbangan nafkah anak jika nafkah daripada bapa tidak mencukupi, juga mempunyai hak penjagaan bersama secara automatik?

Kami menerima berbagai aduan mengenai bapa yang tidak bertanggungjawab, bapa yang menghilangkan diri, dan bapa yang tidak membayar nafkah anak. Keadaan ini menambahkan lagi kesulitan pihak ibu dan anak yang perlu melalui proses undang-undang yang rumit apabila terdapat pihak berkuasa yang mendesak hendakkan tandatangan pihak bapa ke atas beberapa dokumen misalnya pendaftaran atau pertukaran sekolah, permohonan kad pengenalan dan pasport.

Peruntukan bapa sebagai penjaga hakiki yang pertama dan utama pernah juga diperuntukkan dalam undang-undang sivil, iaitu Guardianship of Infants Act 1961 (Akta Penjagaan Budak), semasa ia berlandaskan undang-undang common law tradisional yang dahulu dipakai di England. Tetapi undang-undang sivil kini telah dipinda bagi memperuntukkan hak penjagaan bersama kepada kedua-dua ibubapa. Malah ajaran Islam meletakkan kedudukan para ibu di tempat yang lebih mulia lagi berbanding dengan ajaran-ajaran lain.

(ii). Seksyen 92 - perlantikan ibu sebagai penjaga melalui wasiat. Peruntukan ini hampir sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984, kecuali perkataan "atau Kitabiyah" yang terdapat dalam Akta 1984 telah dipotong dalam draf RUU; dengan itu ibu yang beragama Islam sahaja boleh dilantik sebagai penjaga melalui wasiat bapa. Kedudukan ibu sebagai penjaga bergantung kepada waisat bapa, kerana seksyen itu memperuntukkan "jika dia tidak dilantik sebagai demikian maka dia tidak boleh membuat apa-apa urusan mengenai harta kanak-kanak itu". Sekali lagi, kami amat dukacita dan kecewa kerana cadangan kami mengenai hak penjagaan bersama ibubapa tidak dipedulikan.

(iii). Seksyen 93 - penjaga bersama dengan ibu. Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Mahkamah boleh juga melantik seorang lain menjadi penjaga bersama dengan ibu. Ini menghadkan lagi kuasa ibu yang menjadi penjaga, berbeza sekali dengan kedudukan bapa yang sentiasa mempunyai kuasa yang paling luas di bawah seksyen 89(2).

(iv). Seksyen 103 - penjaga anak yatim. Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984 dan tidak menyebut apa-apa jua pun mengenai hak ibu sebagai penjaga, tetapi hanya merujuk kepada bapa dan datuk lelaki yang telah mati tanpa melantik penjaga melalui wasiat. Nampaknya ibu tidak diberi apa-apa keistemewaan dan hanya boleh dilantik sebagai penjaga dengan cara yang sama seperti mana-mana orang lain yang menjaga kanak-kanak itu.

Syor:
Supaya sama ada:
• Dimansuhkan seksyen 89, 92, 93 dan 103, dan digantikan dengan peruntukan seksyen 89 baru sebagai penerimapakaian pindaan kepada Akta Penjagaan Budak seperti berikut:
"89. Setakat yang tidak berlawanan dengan Hukum Syarak, peruntukan-peruntukan dan pindaaan-pindaan masa hadapan dalam Akta Penjagaan Budak Act 1961 berkenaan dengan hak ibubapa kepada penjagaan anak mereka boleh dipakai jika ia disifatkan adil dan demi kepentingan terbaik anak itu."; atau secara alternatifnya:
• Diadakan pindaan secara langsung dengan menggantikan seksyen 89, 92 93 dan 103 dengan seksyen 89 baru yang berikut:
"89. (1) Walaupun hak terhadap hadanah atau jagaan anak mungkin terletak pada salah seorang sahaja di antara mereka atau pada seseorang lain, bapa dan ibu adalah bersama-samanya penjaga hakiki yang utama bagi diri dan harta anak mereka yang belum dewasa.

(2). Jika salah seorang ibubapa meninggal dunia, maka ibubapa yang masih hidup, jika ada, adalah, tertakluk kepada Akta ini, penjaga kanak-kanak itu sama ada seorang diri atau bersama dengan mana-mana penjaga yang dilantik melalui wasiat ibubapa yang mati itu, dan -
(a) jika tiada penjaga dilantik melalui wasiat ibubapa yang mati itu; atau
(b) sekiranya penjaga atau penjaga-penjaga yang dilantik melalui wasiat itu meninggal dunia atau enggan bertindak sebagai penjaga ,
Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, melantik seseorang penjaga untuk bertindak bersama dengan ibubapa yang hidup itu.

(3) Jika kedua-dua ibubapa meninggal dunia, dan hanya salah seorang daripada mereka melantik penjaga melalui wasiat, Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, melantik seseorang penjaga lain untuk bertindak bersama dengan penjaga melalui wasiat itu.

(4) Jika kedua-dua ibubapa meninggal dunia tanpa melantik seorang penjaga melalui wasiat, mana-mana penghulu, pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan, mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu, atau mana-mana orang yang ada mempunyai kuasa seoang Pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak, boleh menyebabkan kanak-kanak itu dibawa ke Mahkamah dan Mahkamah boleh melantik seorang penjaga sama ada bagi diri atau bagi harta kanak-kanak itu, atau kedua-duanya.

(5). Hak seseorang kepada penjagaan di sisi undang-undang terhadap seseorang kanak-kanak adalah hilang -
(a) jika dia menjadi tidak siuman;
(b) jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika Mahkamah berpendapat bahawa dia tidak lagi boleh dipecayai mengenai hal melibatkan kebajikan atau amanah kanak-kanak;
(d) jika dia disabitkan kesalahan jenayah yang menyentuh kebolehpercayaannya;
(e) jika dia menukar tempat tinggalnya dan Mahkamah berpendapat bahawa keadaan itu akan menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas kewajipan sebagai penjaga yang sah.

(6). Penjaga yang sah hendaklah mempunyai kuasa yang munasabah, tertakluk kepada perhatian Mahkamah, untuk membuat apa-apa pelupusan yang difikirkannya terbaik berkenaan dengan penjagaannya."

VII. Relief-relief lain

1. Seksyen 106 - Kuasa Mahkamah membatalkan dan menahan perpindahan harta yang dimaksudkan untuk mengecewakan tuntutan nafkah.

Kami amat kecewa dan dukacita dengan pindaan kepada seksyen 106. Pindaan-pindaan kepada seksyen 53 (perceraian fasakh) telah menambahkan hak pihak suami tanpa menambahkan hak atau perlindungan kepada hak isteri. Dalam seksyen ini pula, peruntukan sedia ada dalam Akta 1984 membolehkan Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak suami yang bertujuan untuk mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau mut'ah atau untuk menghalang isterinya daripada harta itu.

Peruntukan sedia ada itu dipinda dalam draf RUU untuk membolehkan juga Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak isteri. Adakah ini dibuat atas alasan kesamarataan gender? Mengikut undang-undang Islam tradisional, suami tidak berhak menuntut nafkah daripada isterinya, dan tidak mempunyai apa-apa hak ke atas harta isterinya. Harta isteri adalah hartanya sendiri yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun, tetapi isteri berhak kepada nafkah daripada suaminya, dan hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitannya dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan.

Sekiranya pihak yang menggubal undang-undang keluarga Islam hendak mentafsir semula hukum Islam atas alasan menggunakan pendakatan kesamarataan gender (jantina) dan peralihan zaman, maka ia perlulah membuat pentafsiran semula itu secara menyeluruh dengan memastikan keseimbangan semula hak perempuan dan lelaki kedua-duanya. Dengan kata lain, amatlah zalim dan tidak adil jika alasan kesamarataan gender digunakan untuk memperluaskan hak lelaki supaya kaum lelaki juga boleh menikmati hak dan keistmewaan yang pada tradisionalnya hanya boleh dinikmati oleh kaum perempuan, tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan hak dan keistimewaan tradisional kaum lelaki. Keadaan begini akan betul-betul memburukkan lagi dan menambah lagi penindasan ke atas kaum wanita.

Sekiranya pihak berkuasa sebenarnya hendak mengadakan kesamarataan gender, maka peruntukan-peruntukan yang mengekalkan hak tradisional kaum lelaki perlulah dikaji semula untuk dibuat pindaan sewajarnya. Ia termasuklah peruntukan mengenai soal nusyuz dalam perkahwinan, poligami, proses perceraian talaq, hak penjagaan anak, dan pembahagian harta pusaka.

Syor:
Selagi kajian dan pentafsiran semula secara menyeluruh tersebut belum dilakukan, supaya peruntukan sedia ada dikekalkan, dengan memotong perkataan-perkataan "atau isteri atau isteri yang dahulu" selepas perkataan "suami yang dahulu"; dan dengan memotong perkataan-perkataan "isterinya atau" selepas perkataan "menghalangi" dalam perenggan (i).

2. Seksyen 108 - perintah tegahan harta sepencarian.
Peruntukan ini suatu peruntukan baru yang tidak terdapat dalam Akta 1984. Ia membolehkan Mahkamah mengeluarkan perintah tegahan terhadap harta suami atau isteri mengenai harta sepencarian. Seperti yang dinyatakan di atas, peruntukan moden yang mengadakan kesamarataan gender mengenai harta tidaklah adil dan mengakibatkan kesan diskriminasi terhadap wanita selagi terdapat peruntukan lain yang mengekalkan kelebihan hak tradisional kaum lelaki.

Syor:
Supaya sama ada:
· Dipotong perkataan-perkataan "atau isteri, mengikut mana berkenaan" selepas perkataan "siami"; atau
· Sekurang-kurangnya diadakan peruntukan tambahan subseksyen (3) yang mengiktiraf perlunya diberi perlindungan kepada harta isteri dan pertimbangan kepada nafkah isteri seperti brikut:
"(3) Dengan syarat bahawa Mahkamah tidaklah boleh mengeluarkan perintah tegahan terhadap apa-apa harta pihak isteri melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa isteri itu mempunyai nafkah yang mencukupi dan terdapat kes prima facie bahawa harta itu harta sepencarian dan bukan hartanya sendiri."

VIII. Kesahtarafan Anak

1. Seksyen 111 hingga seksyen 120 berhubungan dengan tempoh kelahiran anak dan pengakuan bapa mengenai anak sah taraf adalah sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Had tempoh maksimum sebelum kelahiran anak diperuntukkan sebagai empat tahun. Memandangkan kepada kemajuan yang telah tercapai dalam ilmu sains dan ilmu perubatan dan kaedah-kaedah saintifik bagi memastikan tempoh kelahiran anak dan keibubapaan (parentage) seseorang anak, peruntukan-peruntukan ini patutlah dikaji semula. Kebapaan (paternity) kini boleh ditentukan melalui ujian saintifik dan tidaklah perlu bergantung keapda pengakuan seseorang lelaki bahawa anak itu adalah anak sah tarafnya.

2. Mengenai anak tak sah taraf pula, soal tanggungjawab bapa perlu dikaji semula. Seperti dinyatakan di atas berkenaan dengan nafkah anak tak sah taraf (seksyen 81 draf RUU), peruntukan sedia ada mengenakan tanggungan tersebut ke atas pihak ibu sahaja. Pihak bapa kini boleh ditentukan melalui ujian saintifik. Selagi bapa tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah anak tak sah tarafnya dalam keadaan sekarang, ia mungkin menggalakkan orang lelaki melakukan perbuatan zina., dan membawa kepada mafsadah atau keburukan dalam masyarakat. Sebaliknya, jika bapa anak tak sah taraf juga dipertanggungkan membayar nafkah anak, ini mungkin membantu menimbulkan kesedaran untuk menahan diri dari perbuatan keji itu dan dengan itu membawa kepada maslahah atau kepentingan kebajikan dalam masyarakat.

Pada zaman dahulu, kedudukan maslahahnya berbeza kerana ramainya anak (terutamanya anak lelaki) merupakan suatu kebanggaan kepada seseorang lelaki hingga anak tak sah taraf boleh menjadi rebutan di antara lebih dari satu keluarga, misalnya sebagaimana yang berlaku dalam Hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim Jilid II Kitab al-Nikah 3435.

Syor:
1. Supaya dimansuhkan peruntukan mengenai had tempoh maksimum sebelum kelahiran anak.

2. Supaya diadakan peruntukan bahawa bapa juga bertanggungjawab mengenai nafkah anak tak sah tarafnya setelah dibuktikan melalui ujian perubatan bahawa anak itu adalah anaknya.

IX. Rayuan

Seksyen 123 mengenai rayuan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984. Kami ada menerima aduan mengenai kedudukan wanita yang menjadi seperti "gantung tak bertali" kerana walaupun Mahkamah Syariah telah meluluskan permohonannya untuk perceraian, pihak suami telah membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah dan kes menjadi tertangguh dan berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya, walaupun mereka hidup berasingan dan perkahwinan mereka jelas sudah pecah belah.

Pihak suami tidak mengalami apa-apa beban atau kesukaran kerana dia boleh berkahwin lain dan menikmati hidup berumahtangga dengan isteri lain, tetapi pihak isteri begitu tertindas kerana tidak menikmati hak nafkah atau hak lain dalam perkahwinan dan tidak pula boleh mendaftarkan perceraian. Ini berlawanan dengan hukum Islam di mana tempoh 'iddah adalah terhad di antara tiga hingga empat bulan sahaja. Perceraian apabila sudahpun diperintahkan oleh Mahkamah tidak patut dirayu lagi. Apa yang boleh dirayu ialah mengenai relief sampingan.

Syor:
Supaya ditambah peruntukan baru subseksyen (2) seperti berikut:
"(2) Dengan syarat bahawa sekiranya sesuatu Mahkamah Syariah telahpun meluluskan permohonan untuk perceraian, maka perintah perceraian itu tidaklah boleh dirayu lagi, tetapi apa-apa keputusan berkenaan dengan relief sampingan berhubungan dengan perceraian itu bolehlah dirayu."

X. Bahagian IX - Penalti

1. Seksyen 124 - Poligami tanpa kebenaran Mahkamah
Penaltinya masih sama dengan penalti dalam Akta 1984 - denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Pada hakikatnya, penalti tersebut tidak berjaya mencegah suamii yang curang daripada mengambil kesempatan kelonggaran undang-undang dan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Keadaan begini bukan sahaja menjejaskan kedudukan wanita tetapi juga menjejaskan kewibawaan Mahkamah kerana nampaknya Mahkamah tidak dihormati. Cadangan kami untuk menaikkan penalti telah tidak dimasukkan.

Syor:
Supaya penalti digantikan dengan penalti lebih berat yang dikenakan seperti berikut:
"denda yang tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit, serta penjara mandatori yang tidak kurang daripada empat minggu dan tidak lebih daripada satu tahun."

2. Seksyen 125 - Perceraian di luar Mahkamah
Penaltinya masih sama dengan penalti dalam Akta 1984 - denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Pada hakikatnya, penalti tersebut tidak berjaya menegah suami yang tidak bertanggungjawab daripada melafazkan talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah. Keadaan begini bukan sahaja menjejaskan kedudukan wanita tetapi juga menjejaskan kewibawaan Mahkamah kerana nampaknya Mahkamah tidak dihormati. Cadangan kami untuk menaikkan penalti telah tidak dimasukkan.

Syor:
Supaya penalti digantikan dengan penalti lebih berat yang dikenakan seperti berikut:
"denda yang tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit, serta penjara mandatori yang tidak kurang daripada empat minggu dan tidak lebih daripada satu tahun."

3. Seksyen 128 - Menganiayai isteri atau suami
Peruntukan ini berbeza daripada peruntukan sedia ada. Dalam peruntukan sedia ada dalam Akta 1984, peruntukan penalti ini terpakai bagi menganiayai isteri sahaja.

Sekali lagi, persoalan ini timbul - mengapakah kesamarataan gender digunakan bagi memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak suami tetapi tidak untuk memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak isteri? Dengan itu, kesannya ialah menambah lagi beban dan penindasan ke atas pihak isteri kerana hak-hak tradisional pihak isteri dikurangkan tanpa diimbangkan dengan hak-hak baru, tetapi bagi pihak suami pula, keadaan sebaliknya berlaku kerana hak-hak tradisionalnya masih dikekalkan dan ditambah pula dengan hak-hak baru.

Terdapat juga subseksyen baru (2) mengenai bayaran pampasan bagi harta isteri atau suami yang telah ditipu. Sekali lagi ditegaskan bahawa terdapat keadaan di mana isteri boleh mengambil daripada harta suami tanpa pengetahuan suami, iaitu sekiranya suami gagal memberi nafkah yang mencukupi, seperti dalam Hadith Rasulullah (saw) mengenai Hendon dan suaminya Abu Suffian.

Syor:
Sekiranya hendak melanjutkan peruntukan penalti ini kepada pihak isteri, maka sekurang-kurangnya perlulah ditambah subseksyen baru (3) seperti berikut:
"(3) Dengan syarat bahawa seseorang isteri yang mengambil daripada harta suaminya disebabkan kerana suaminya tidak memberi kepadanya nafkah berpatutan yang mencukupi tidaklah disifatkan sebagai menipu suaminya."

4. Seksyen 129 - Tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isteri
Seksyen ini memperuntukkan penalti ke atas orang yang tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri, dan sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Kami berpendapat bahawa peruntukan penalti yang lebih khusus patut dinyatakan supaya lebih jelas untuk digunakan sekiranya berlaku ketidakadilan dalam perkahwinan poligami, dan boleh menyumbang terhadap melindungi kepentingan-kepentingan para isteri dan kanak-kanak.

Syor:
Supaya diadakan peruntukan baru seperti berikut:
"Seseorang yang mempunyai lebih dari seorang isteri dan yang telah gagal memberi keadilan kepada isteri-isterinya misalnya mengenai nafkah, pakaian, tempat tinggal dan hak mereka mengikut Hukum Syarak adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua denda dan penjara itu."

5. Seksyen 130 - Isteri tidak menurut perintah.
Peruntukan ini sama dengan peruntukan sedia ada dalam Akta 1984.

Sekali lagi, persoalan ini timbul - mengapakah kesamarataan gender digunakan bagi memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak suami tanpa diimbangkan dengan memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak isteri? Beban kewajipan tradisional pihak isteri dikekalkan, dan dikenakan pula kewajipan baru, sedangkan bagi suami pula, hak tradisional dikekalkan untuk dinikmatinya, dan diberi pula hak baru bagi kemudahannya.

Syor:
Supaya digugurkan dan dimansuhkan seksyen 130 yang mengenakan penalti ke atas isteri yang tidak menurut perintah. Lagipun, sekiranya seksyen 128 hendak dipinda untuk mengenakan penalti ke atas isteri yang menganiayai suami, keadaan tersebut sudahpun diliputi dalam peruntukan baru seksyen 128.

6. Seksyen 131 - Menjadi murtad dengan perdayaan untuk membatalkan perkahwinan.
Penalti dalam draf dinaikkan kepada penjara satu tahun, berbanding dengan penalti sedia ada dalam dalam Akta 1984 iaitu penjara enam bulan.

Peruntukan ini merupakan satu lagi penindasan ke atas pihak isteri. Walaupun bahasa yang digunakan ialah "suami atau isteri", kesannya mendiskriminasi terhadap kaum wanita kerana orang lelaki yang tidak sukakan isterinya tidak perlu berpura-pura menjadi murtad untuk membatalkan perkahwinannya; dia hanya perlu lafaz talaq dan talaq boleh disahkan walaupun dilafaz di luar mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah. Persoalan yang patut ditanya ialah - mengapakah proses perceraian begitu rumit bagi pihak isteri hingga ada isteri yang sanggup cuba menjadikan dirinya murtad untuk membatalkan perkahwinannya? Dan mengapakah, apabila kesan peruntukan penaltinya adalah terhadap pihak isteri, penalti itu ditambah untuk menjadikannya lebih berat dalam draf RUU ini, sedangkan cadangan-cadangan kami bagi menambahkan penalti ke atas pihak suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghomati Mahkamh, yang berpoligami dan melafaz talaq tanpa kebenaran Mahkamah, langsung tidak diambilkira?

Syor:
Supaya digugurkan dan dimansuhkan seksyen 131. Di bawah pelaksanaan Hukum Syarak yang adil dan wajar, proses perceraian sepatutnya dijalankan secara ma'ruf dan ihsan (Surah al-Baqarah 2 : 229), dan tidak sepatutnya berlaku situasi di mana seseorang yang tidak sukakan pasangannya menjadi begitu terdesak sekali dengan kerumitan proses perceraian hingga sanggup menjadikan dirinya murtad.

Kesimpulan
Sekali lagi, kami ingin menyatakan bahawa kami amat kecewa dan dukacita dengan peruntukan-peruntukan draf RUU pada amnya. Cadangan-cadangan kami untuk mengimbangkan hak dan memberi perlindungan dalam keluarga demi menjamin kepentingan dan kebajikan kaum wanita dan kanak-kanak berlandaskan prinsip-prinsip murni yang sebenar dalam ajaran suci agama Islam, yang menegaskan kesaksamaan dan keseimbangan antara kedudukan, hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita nampaknya disingkirkan dan tidak dipedulikan. Sebaliknya pula, konsep kesamarataan gender dalam undang-undang moden disalahgunakan dalam draf RUU ini untuk menambahkan lagi hak kaum lelaki dan menambahkan lagi beban kaum wanita. Pendekatan tersebut seolah-olah mempersendakan perjuangan kaum wanita untuk keadilan dan kesaksamaan, kerana:

• Bagi kaum lelaki, hak tradisional dikekalkan serta ditambah lagi hak baru, dan kewajipan tradisional dikurangkan.

• Sebaliknya pula bagi kaum wanita, hak tradisonal dikurangkan dan kewajipan tradisonal dikekalkan serta ditambah lagi kewajipan baru.

Bukankah ini kezaliman yang melampau ke atas kaum wanita?

Sekiranya pendekatan yang hendak diambil adalah dengan ikhlas atas prinsip kesamarataan gender, maka ia perlulah memperseimbangkan hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita supaya pelepasan sesuatu hak dan kewajipan tradisional sesuatu pihak disertai dengan imbangan hak dan kewajipan yang sewajarnya. Misalnya:

1. Dalam perkahwinan, nusyuz sepatutnya dilihat, bukan dari sudut keingkaran isteri terhadap perintah suami, tetapi sebagai kerosakan keharmonian rumahtangga oleh sama ada suami atau isteri. Konsep nusyuz yang terpakai bagi kedua-dua suami isteri tidak bertentangan dengan prinsip Islam kerana Kitab Suci al-Qur'an itu sendiri menggunakan istilah nusyuz bagi isteri (Surah an-Nisa' 4 : 34) dan suami (Surah an-Nisa' 4 : 128) kedua-duanya.

2. Perkahwinan poligami tidak dibenarkan atas alasan bahawa adalah mustahil bagi lelaki zaman sekarang untuk berlaku adil kepada lebih daripada seorang isteri. Pendekatan ini telah diambil dalam undang-undang keluarga Islam di Tunisia pada tahun 1956, dengan membuat tafsiran tersebut. Poligami adalah sesuatu yang wujud dalam masyarakat belum Islam dan al-Qur'an telah menyekatnya, mula-mula dengan menghadkan jumlah maksimum isteri kepada empat orang, berikutnya dengan memerintahkan layanan yang adil, dan berikutnya dengan menyatakan adalah mustahil untuk melakukan keadilan. Kalaupun poligami boleh dibenarkan dalam keadaan luarbiasa, syarat utamanya perlulah dengan persetujuan yang sebenarnya diberi dengan rela hati oleh isteri sedia ada, di samping syarat kemampuan kewangan, kerana jenis poligami yang disebut dalam al-Qur'an adalah demi kebajikan dan kepentingan kaum wanita dan kanak-kanak, dan bukannya bagi memberi kesempatan kepada kaum lelaki.

3. (a) Lafaz talaq suami dengan sendirinya tanpa kebenaran Mahkamah sepatutnya tidak diiktiraf. Konsep ini tidak berlawanan dengan ayat al-Qur'an yang memperuntukkan prosedur hakam (Surah an-Nisa' 4 : 35) dan tidak menggalakkan perceraian sewenang-wenangnya; atau

(b) Secara altrenatifnya, sekiranya hak talaq suami dengan sendirinya masih diiktiraf, maka hak ini perlu dilanjutkan kepada pihak isteri juga, dan ini boleh diadakan melalui penerimapakaian hukum tradisional mazhab Hanbali yang membenarkan hak ini diberikan melalui isma' kepada pihak isteri dalam perjanjian perkahwinan.

Sekiranya proses perceraian talaq diseimbangkan untuk memberi hak samarata kepada pihak isteri, barulah pihak suami patut dan wajar diberi hak sama rata dalam perceraian fasakh.

4. Berkenaan dengan ibu bapa dan anak, perlulah diiktiraf hak penjagaan bersama ibubapa terhadap anak mereka. Lagipun ajaran Islam memang memuliakan kedudukan para ibu.

5. Pembahagian harta pusaka perlu dikaji semula. Konsep faraid patutnya dilihat sebagai salah satu konsep pembahagian harta, tetapi terdapat juga konsep lain bagi memastikan keadilan dalam pembahagian harta. Bahagian yang lebih kepada waris lelaki adalah berkaitan dengan kewajipan lelaki untuk menanggung wanita. Dalam keadaan lelaki yang tidak lagi melaksanakan tanggungjawab tersebut, suatu kaedah bagi keseimbangan perlu diperuntukkan. Suatu caranya ialah dengan menerimapakaian pendapat yang mengiktiraf bahawa wasiat boleh dibuat untuk mengubahsuai bahagian waris, selagi tujuannya ialah untuk menjamin keadilan mengikut hal keadaan dalam keluarga itu, dan bukannya untuk menganiayai mana-mana pihak yang terlibat.

Sekiranya syor-syor di atas mengenai kesaksamaan dan keseimbangan hak lelaki dan perempuan diterima, maka barulah boleh diperuntukkan kesamarataan hak suami dan isteri ke atas harta masing-masing. Selagi pihak lelaki mengekalkan hak tradisionalnya, tidaklah adil bagi pihak suami diberi hak mengenai harta isterinya, kerana hak tradisional pihak isteri dalam Islam menegaskan bahawa suami tidak boleh mengganggu harta isterinya, dan harta isteri mengikut pandangan tradisional termasuklah harta yang telah diberi oleh suami kepada isterinya.

Konsep kesamarataan gender sama sekali tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi dan menambahkan lagi beban kaum wanita dengan mengurangkan hak tradisional wanita tanpa memberikan hak baru tetapi menambah pula kewajipan baru, dan sebaliknya pada masa yang sama mengekalkan hak tradisional kaum lelaki dan mengurangkan kewajipan tradisional lelaki, dan memberi pula hak baru kepada lelaki.

Kami menegaskan bahawa draf RUU sangatlah perlu dikaji semula, dan kami amatlah berharap ulasan dan syor kami sebagaimana yang dinyatakan di atas akan diambilkira dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

Sisters In Islam