Lawati laman web bahasa Inggeris
Deskripsi Program

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pengenalan

Misi

Sisters in Islam (SIS) ialah sekumpulan wanita profesional beragama Islam yang memperjuangkan hak-hak wanita dalam kerangka Islam.

Kami menyokong semangat revolusi Islam, satu agama yang telah mempertingkatkan martabat wanita apabila ia diturunkan 1400 tahun dahulu. Kami percaya Islam menolak penindasan wanita dan penafian hak-hak asasi mereka seperti kesaksamaan dan martabat kemanusiaan. Kami amat sedih kerana agama telah diperalatkan untuk membenarkan amalan dan nilai-nilai budaya yang menganggap wanita sebagai berkedudukan lebih rendah daripada lelaki. Kami percaya bahawa ini berlaku kerana kaum lelaki sahaja yang telah menguasai secara eksklusif hak mentafsir al-Qur'an.

Kami percaya bahawa setiap orang mesti diberi peluang sepenuhnya untuk menyertai segala bidang kehidupan demi pertumbuhan dan pengembangan ummah. Penyertaan wanita Islam sebagai rakan kongsi yang setaraf, dalam erti kata sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi ummah adalah menjadi keperluan masa kini. Kami merumuskan bahawa adalah penting pengalaman, fikiran dan suara wanita dimasukkan ke dalam tafsiran al-Qur'an dan pentadbiran agama dalam dunia Islam.

Kami memperolehi ilham daripada penglibatan aktif wanita dalam kehidupan awam semasa zaman Nabi Muhammad saw. Koleksi riwayat hidup para Sahabat Nabi memuatkan lebih daripada 1,200 riwayat Sahabat Nabi yang terdiri daripada wanita. Antara mereka ialah para penyampai hadith, para wali dan sufi, para syahid, pembebas abdi, dan wira peperangan.

Usaha kami mempromosi hak-hak wanita Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat seperti yang diperintah oleh al-Qur'an dan diperjelaskan oleh kajian kami mengenai kitab suci ini.

SIS telah ditubuhkan pada 1988 dan didaftar sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Nama Sisters in Islam terus digunakan dalam penulisan kami.

Misi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai prinsip-prinsip Islam yang sebenar, prinsip-prinsip yang memuliakan konsep kesaksamaan di antara wanita dan lelaki, dan berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat dalam negara demokrasi.

Objektif
Objektif utama kami adalah:

  • Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita;
  • Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan
  • Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.
  • Untuk mencapai objektif-objektif tersebut, SIS telah memulakan aktiviti-aktiviti dalam empat bidang program:

  1. Penyelidikan dan Tafsiran sumber-sumber teks Islam
  2. Advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang
  3. Meningkatkan kesedaran orang ramai dan pendidikan awam
  4. Perancangan strategik dan pembentukan dasar

SIS logo diambil dari lukisan Sharifah Zuriah Aljeffri bertajuk RAHIM (1995). RAHIM: Salah satu sifat Allah S.W.T. Rahim juga bermaksud salah satu alat reproduksi wanita; satu anugerah dari Tuhan, dan melaluinya Tuhan memberi kehidupan, manusia dilahirkan dan berkembang dari satu generasi ke generasi yang lain.

Copyright 2007 - SIS Forum Malaysia, No.7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia