http://jalantelawi.com

Fatwa MUI: Siapa 'kecoh'?

Oleh Al-Mustaqeem

Julai lepas Majelis Ulama Indonesia (MUI) bertemu dalam sidang yang dipanggil Musyawarah Nasional VII (Munas) organisasi berkenaan. Dalam sidang itu fatwa pun dikeluarkan, menghukum haram pluralisme, liberalisme dan sekularisme.

Dari sejumlah sebelas fatwa yang dikeluarkan, pengharaman tiga fahaman berkenaan segera memicu kontroversi. Tokoh-tokoh agama terkemuka seperti M. Dawam Rahardjo, Gus Dur dan Nurcholish Madjid mengeluarkan reaksi keras terhadap fatwa berkenaan. Syafii Anwar, pengarah International Centre for Islam and Pluralism di Indonesia, menilai fatwa-fatwa MUI itu sebagai “sebuah kemunduran yang luar biasa.”

Setelah diteliti, fatwa-fatwa berkenaan ternyata tidak dirumus berasaskan ketelitian hujah akademik. Pluralisme, contohnya, tidak ditakrifkan terlebih dahulu. Sebaliknya, berasaskan andaian dan tafsiran sendiri terhadap sejumlah tulisan dan kenyataan kaum pluralis dan liberalis di Indonesia, MUI menjatuhkan hukum. Langsung pula hukum itu mendapat sokongan berasaskan kekaburan yang sama: Pluralisme bererti menganggap semua agama sama.

Kalau disimpulkan dalam contoh yang lebih mudah ialah, MUI mendakwa pluralis menganggap baju semuanya sama, tidak kira ia teluk belanga, jubah atau baju punjabi. Sedangkan faham sebenar pluralis ialah pakaian itu pelbagai nama dan jenis. Cumanya, semua asalnya kapas. Contoh lain lagi, bagi MUI hanya jubah pakaian yang diterima. Sedangkan bagi pluralis pakaian pelbagai bentuk tetapi semuanya adalah pakaian dan dapat menutup kemaluan orang yang memakainya.

MUI dan Islamis seangkatannya ternyata cuba memaksakan ‘takrif’ mereka ke atas golongan lain.

Delapan puluh tahun lalu kaedah yang hampir sama digunakan Majlis Tertinggi Al-Azhar, Mesir, untuk menghukum Ali Abdul Raziq. Dalam bukunya Ali Abdul Raziq menyatakan bahawa kerajaan saidina Abu Bakar adalah hukumah ladiniah yang secara literal dan rasmi bermaksud “kerajaan bukan agama”. Tetapi Majlis Al-Azhar enggan menggunakan pengertian berkenaan sebaliknya memilih untuk menggunakan pengertian orang awam Mesir, di mana menurut bahasa pasarhukumah ladiniah bermaksud “kerajaan tidak bermoral” yang korup, bejat dan jahat.

Para pendukung fatwa MUI memilih untuk merujuk kepada pandangan Dr. Anis Thoha, pensyarah UIAM asal Indonesia, tentang pengertian pluralisme dan tidak merasa terbeban untuk merujuk kepada sumber-sumber pluralis yang lebih autoritatif seperti karya-karya Ar-Rumi dan Ibnu Arabi. Atau bahkan untuk membicarakan ayat-ayat al-Quran yang jelas mengisyaratkan tentang pluralitas mahupun pluralisme.

Fatwa MUI cedera dan tidak punya integriti. Bagaimanapun, MUI dan pihak mana pun yang mendukung fahaman agama yang eksklusif seperti itu mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Hak tersebut semestinya siap diimbangi dengan hak pihak lain untuk menghujah balas.

Malangnya, sebahagian pendukung fatwa MUI menganggap tindakan pihak yang terlibat menghujah balas fatwa MUI sebagai berlawanan dengan liberalisme yang dianuti kalangan liberal sendiri. Menurut mereka, golongan liberal cuba memaksakan pendapat mereka terhadap orang lain dan bersikap autoritarian. Di sini satu lagi bukti bahawa Islamis ini ternyata keliru dan, bahkan, sentiasa cuba mengelirukan. Mereka cuba membuat kabur dengan menganggap tindak berhujah secara agresif — menyerang secara verbal, bukan secara fizikal — sebagai memaksa dan tindak menyatakan keyakinan menerusi media sebagai tindak otoriter.

Fatwa MUI juga diberi justifikasi sebagai “tindakan berani” oleh Dr. Anis kerana golongan liberal dianggap “berkekuatan global dan sangat besar dukungan dan biayanya.” Barangkali yang dimaksudkan ialah jaringan pertubuhan hak asasi manusia dan yayasan antarabangsa yang membiayai aktiviti intelektual dan kemanusiaan di negara-negara Dunia Ketiga seperti Indonesia dan Malaysia. Sedangkan, hakikatnya, pertubuhan-pertubuhan sebegini tidak mempunyai sebarang “kuasa memaksa” rakyat di negara-negara berkaitan. Upaya mereka hanya menyebar dan menawarkan idea yang meyakinkan — khalayak bebas menerima atau menolak idea-idea mereka.

Nah, cuba bandingkan dengan Islamis yang mendapat dukungan kuasa politik. Universiti tempat Dr. Anis mengajar, contohnya, terbilang bagian dari projek Islamisasi yang ditaja kerajaan Malaysia. Mufti-mufti dibayar gaji oleh kerajaan. Tidak cukup dengan itu, kerajaan Malaysia melancarkan projek Islam Hadhari dalam skala besar. Itu belum dilihat pada saiz dan pengaruh media eletronik yang turut dijadikan instrumen untuk menjaja tafsir Islam ala Umno yang tidak kurang sempit dan eksklusif berbanding tafsiran Pas.

Percaya atau tidak, sebesar manapun biaya dari yayasan antarabangsa tidak mungkin dapat dibandingkan dengan kuasa politik negara dan undang-undang yang menindas. Di negara seperti Malaysia, idea tentang kebebasan bukan begitu mudah beredar. Ia selalu dibataskan oleh kerajaan yang berkuasa mengharamkan penjualan dan pengedaran buku-buku yang tidak ia gemari serta mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan permit penerbitan media.

Seharusnya juga orang tidak keliru, lalu memandang rendah kekuatan pengaruh Islamis, terutama di peringkat akar umbi. Berbanding buku-buku ilmiah, masjid dan surau lebih membentuk pemikiran keagamaan orang ramai. Bilangan penonton forum bulanan anjuran kumpulan Islam yang liberal hampir mustahil dapat menandingi bilangan penonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang dibuat setiap minggu. Dalam sebuah seminar yang bersifat anti-Islam Liberal di Kuala Lumpur tidak lama dulu, bilangan peserta begitu ramai sehingga banyak penyertaan terpaksa ditolak.

Fatwa halal haram sepatutnya bersandarkan dalil-dalil yang kukuh dari Al-Quran dan Hadis Sahih. Begitupun, fatwa MUI yang berasaskan andaian itu dianggap kalangan seperti H Husein Umar Sastranegara, wakil Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), sebagai “sudah mutlak dan tidak bisa diperdebatkan lagi.” Tidak cukup dengan itu, sekali lagi golongan konservatif ini cuba menyeret kerajaan dalam percaturan mereka untuk memaksakan pentafsiran sempit mereka terhadap agama ke atas orang ramai. Kata Husein, “Pada pertemuan dengan pemerintah, mereka menyatakan sepakat dengan fatwa MUI. Bahkan, mereka minta agar dilakukan sosialisasi pada masyarakat.”

Presiden Indonesia sendiri dalam ucapan di Munas meminta supaya MUI memainkan peranan lebih sentral dalam hal berkaitan akidah Islam sedangkan dari satu segi fatwa MUI itu kelihatan bertentangan dengan semangat pluralisme dalam “bhinneka tunggal ika” yang mendasari Pancasila.

MUI melakukan pengukuhan terhadap fatwa pengharaman aliran Ahmadiyah yang dikeluarkannya pada tahun 1980 dengan mengeluarkan fatwa baru. Fatwa ini digunakan untuk membenarkan kekerasan, termasuk serangan ke atas kompleks Jemaat Ahmadiyah Indonesia (JAI) di Parung, Bogor. Kelompok radikal Front Pembela Islam (FPI) yang sering menyerang tempat-tempat yang tidak disenanginya bertindak menutup beberapa gereja di Jawa Barat Ogos lalu. FPI juga pernah mendatangi stesen Radio 68-H di Komunitas Utan Kayu (KUK), di Jakarta Timur, mendesak supaya organisasi Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di sana dibubarkan. Menurut Fathi Aris Omar yang sedang melakukan kajian di sana, “pada 5 Ogos, JIL dan KUK telah bersiap sedia menerima 'serangan' (yang diramalkan waktu itu) Forum Umat Islam (FUI) — di belakangnya FPI — yang kononnya mendukung 11 Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI).”

Kerana itu, sukar untuk melihat selisih antara golongan Islamis konservatif dengan liberalis ini sebagai sebuah pertandingan yang saksama. Yang satu bertinju dengan otot dan yang satu dengan kata-kata dan pena. Kerana itu juga sulit untuk memahami bagaimana liberalis dituduh hilang ciri liberalnya sewaktu tidak diberitakan satu pun pejabat FPI diserang, dan tidak pula diberitakan ada usaha meminta agar kerajaan Indonesia “mensosialisasikan fatwa Jaringan Islam Liberal.”

Berkata Diderot, kala berkhilaf agamawan konservatif yang mempertahankan “iman warisan” dengan para filasuf Perancis yang menyeru kepada akal di awal abad Pencerahan dulu: “Filasuf memburuk-burukkan paderi; paderi pun memburuk-burukkan filasuf. Tetapi, filasuf tak pernah membunuh mana-mana paderi, sedangkan paderi telah membunuh ramai filasuf. Filasuf juga tak pernah membunuh mana-mana raja, sedangkan paderi telah membunuh ramai.”

Membaca pemikiran Islamis, mengesan kerisauan dan cemburu mereka, dapat membuat orang hairan tertanya-tanya. Mereka pelik kalau pluralis menganggap nanti penganut agama-agama selain agama mereka dapat “masuk dan hidup berdampingan di surga.”

Cemburu manusia dengan agama mereka kadang menakutkan. Saban waktu ia mengingatkan saya kepada amaran seorang profesor di Jordan dulu. Melihat kepada semangat berapi sebahagian penuntut dia mengingatkan dengan sebuah pepatah Arab: “Jangan jadi seperti beruang yang terlalu sayangkan tuan (dipeluk si tuan sampai mati).”

Gaya manusia berbangga-bangga dengan “kewarakan” dan keteguhan beragama tak jarang juga mengjengkelkan dan menggelikan hati. Sewaktu bertemu dengan seorang paderi Kristian mazhab Ortodoks berketurunan Russia di Koln, Jerman, bulan lalu dia bercerita puas, tentang betapa untuk pertama kali dalam sejarah kumpulan-kumpulan agama utama dunia, termasuk Kristian, Islam dan Yahudi, bersatu menentang perarakan kaum homoseksual di Baitul Maqdis. Sikap sesetengah manusia gay yang kadang-kadang seperti sengaja mencabar penguasa-penguasa agama memang dikesalkan. Tetapi, memandang bermacam krisis dan bencana dalam dunia, adalah sesuatu yang amat memalukan apabila agama-agama besar hanya mampu bersatu atas isu seksualiti.

Tidak kurang mengaibkan adalah sebuah kisah di rumah perlindungan orang-orang gelandangan di bandar Hamburg. Setelah penat dan bersusah payah tiga orang pengurus rumah berkenaan berkisah tentang jerih dan sulit mengendalikan khidmat nasihat, memberi makan, menyediakan kemudahan membersih tubuh badan dan pakaian bagi orang-orang gelandangan yang malam-malam tidur di jalanan Hamburg, di tepian sungai Elbe atau tasik Alster yang dingin keras, salah seorang delegasi dalam kumpulan kami bertanya: “Adakah di sini diberi pelajaran agama?” Wanita pengurus bertubuh kurus terbata-bata, seraya dengan senyum simpul menjawab: “Di sini kami tidak bercakap tentang agama, di sini kami beramal dengan agama.”