Mempersoalkan Usaha Membisukan Sesetengah Penulis Islam
19 April 2002

Laporan akhbar (The Star, 19 April 2002) dirujuk. Sisters in Islam (SIS) mempersoalkan kewajaran tindakan JAKIM untuk menghalang orang-orang Islam daripada menyuarakan pandangan mereka tentang ajaran Islam. Tindakan tersebut seolah-olah merupakan satu usaha oleh pihak yang berkuasa untuk menghadkan perbincangan mengenai ajaran Islam di Malaysia hanya kepada mereka yang mempunyai suatu pandangan tertentu sahaja.

Apabila agama Islam di Malaysia dipakai sebagai sumber undang-undang dan dasar awam yang mempunyai kesan menyeluruh ke atas kehidupan warga dalam sebuah negara yang demokratik, maka tindakan yang menghadkan penulisan mengenai Islam hanya kepada mereka yang kononnya mempunyai "pengetahuan mendalam" tentang Islam menyerupai satu pemerintahan theokrasi lagi bersifat diktator.

Ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila pandangan dominan mengenai Islam di Malaysia kini, iaitu di kalangan sesetengah tokoh dan pendakwah Islam, amat sering lagi cenderung mendiskriminasikan wanita dan membawa ketakadilan yang keterlaluan. Apabila mereka yang diterima sebagai "ulama" Islam yang menulis dalam ruangan akhbar-akhbar harian memberi nasihat kepada wanita yang teraniayai bahawa mereka tiada hak menununtut cerai, bahawa adalah lebih baik menyentuh babi yang berlumuran lumpur daripada berjabat tangan dengan wanita, bahawa neraka penuh dengan wanita yang tidak patuh kepada suami, bahawa wanita tidak mempunyai hak menziarah bapa yang sedang nazak tanpa izin suami, walaupun bapa itu ada dalam bilik di bawah tangga dan sedang memanggil anak perempuannya dengan nafasnya yang terakhir, tuntutan mestilah dibuat supaya keadaan ini yang menyelewengkan ajaran suci Allah swt tidaklah dibiarkan berterusan tanpa apa-apa cabaran.

Apabila beberapa orang Islam yang mempunyai ijazah daripada institusi pengajian Islam menuduh secara terbuka orang Islam lain sebagai kafir kerana perbezaan pendapat mengenai isu-isu tentang negara Islam, undang-undang hudud, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, bagaimanakah mereka yang dituduh kafir serta kononnya dikatakan "tiada pengetahuan mendalam mengenai Islam" boleh memberi jawapan, atau menyuarakan pendapat dan mempersoalkan orang yang membuat tuduhan terhadap mereka? Di manakah letaknya ruang awam bagi umat Islam untuk memberikan pendapat mereka tentang isu-isu semasa yang penting bagi kesejahteraan sosial umat?

Mestilah diadakan ruang awam bagi perbincangan dan perbahasan di kalangan orang Malaysia yang tidak bersetuju dengan pendakwah, pengkhutbah dan ustaz ustazah--yang melaui ruang-ruang akhbar, ceramah di masjid, surau, rumah persendirian, di radio dan television--telah pun banyak mempengaruhi kehidupan awam dengan mengekalkan pandangan yang bersifat tidak bertoleransi serta anti-wanita sebagai ajaran Islam.

Mengapakah hak mereka untuk mengajar ketidakadilan, diskriminasi, sifat tak bertoleransi dan ekstremis dilindungi malah dianjurkan pula. Mengapakah kelayakan mereka mengenai ajaran Islam tidak pula dipersoalkan, sedangkan hak orang lain yang mengajar keadilan, kesaksamaan, sifat toleransi dan kesederhanaan dalam Islam dinafikan, dan kelayakan mereka pula sentiasa dipersoalkan?

Kerap kali di Malaysia, ulama Islam yang sebenarnya tidak menyokong ajaran yang bersifat tak bertoleransi dan anti-wanita sering amat keberatan untuk menyuarakan pandangan mereka secara terbuka kerana khuatir akan terlibat dalam kontoversi atau dituduh anti-Islam pula oleh rakan-rakan mereka. Adakah golongan ulama yang berdiam diri itu lebih suka terasing dalam menara gading mereka di mana kehidupan mereka terlindung?

Oleh yang demikian terpulanglah kepada kumpulan-kumpulan wanita dan para intelek lain dalam Islam untuk menuntut hak dan membuka ruang awam agar dapat mengemukakan pandangan alternatif mengenai ajaran Islam sebagai agama yang menegaskan prinsip-prinsip murni seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan. Golongan wanita dan intelek tersebut bukanlah menyuarakan pandangan mengenai Islam secara sewenang-wenangnya mengikut sesuka hati sahaja, tetapi setelah menjalankan kajian serta mendapat teguran secara rundingan dengan pakar-pakar yang berkelayakan tinggi mengenai ajaran Islam.

SIS amat terkejut sekali dengan laporan akhbar The Star hari ini yang menyebut sumber yang tidak dinamakan dalam JAKIM. Dalam dialog yang berterusan selama dua setengah jam dengan Ketua Pengara JAKIM, Tuan Haji Mohd Shahir Abdullah, tiada apa-apa jua yang dikatakan mengenai menghalang penulis dan kolumnis menulis tentang Islam. (SIS juga membantah laporan akhbar yang mengatakan pihak SIS "dipanggil" oleh JAKIM. Kami bukannya dipanggil tetapi sebenarnya dipelawa mengadakan perbincangan yang sopan dan rasional dengan JAKIM untuk membolehkan JAKIM mendengar pandangan kami bagi membolehkan pihak JAKIM menulis laporan yang seimbang kepada Majlis Raja-Raja sebagai balasan kepada memo PUM.

Malah, Tuan Haji Mohd Shahir Abdullah menyambut baik peranan yang telah dimainkan oleh SIS untuk menyedarkan orang awam di Malaysia mengenai hak-hak wanita dalam Islam dan memberi maklumbalas kepada pihak berkuasa agama mengenai kesan dasar dan undang-undang Islam, khutbah masjid dan ceramah tentang kedudukan dan hak-hak wanita Islam.

Tuan Haji Shahir juga menyambut baik kesan dakwah dari usaha SIS untuk memperkukuhkan iman ramai wanita Islam yang telah berpengalaman pahit disebabkan oleh tindak-tanduk suami dan layanan pegawai pihak berkuasa agama. Malah ada dikalangan wanita tersebut yang pernah bersalah-sangka bahawa Islam itu nampaknya adalah agama yang tidak adil akibat daripada pengalaman pahit itu. SIS menegaskan bahawa terdapat perbezaan di antara wahyu Allah swt dan pentafsiran manusia, dan menyedarkan mereka bahawa bukanlah ajaran Allah swt yang membawa ketakadilan, tetapi golongan manusia yang hendak mengekalkan kedudukan istimewa mereka dalam dunia yang masih bersifat patriarki.

SIS meminta Perdana Menteri dan ahli Kabinet supaya mengambil kedudukan tegas untuk menghalang kejatuhan negara kita kepada pemerintahan diktator theokrasi yang dikehendaki oleh segolongan pihak berkuasa agama yang terdapat dalam pihak Kerajaan dan pihak Pembangkang kedua-duanya.

Sisters In Islam