Lawati laman web bahasa Inggeris
Terbitan baru

Baraza (Buletin)

 

 

 

 

 

 

 

Fiqh Wanita: Pandangan Ulama Terhadap Wacana Agama dan Gender
Kulit Nipis; 2005
Harga: RM25.00 / USD12.50

Kehidupan masyarakat kita pada masa ini adalah hasil dari sejarah panjang penguasaan lelaki ke atas perempuan dalam pelbagai sektor berdasarkan satu sistem yang pincang - iaitu satu sistem nilai di mana kaum lelaki ditempatkan sebagai lebih tinggi atau kuat berbanding dengan perempuan yang lemah. Selama berabad lamanya, sistem ini cukup sebati dan dianggap sebagai sesuatu yang semulajadi, bahkan oleh kaum perempuan sendiri. Tidak hairanlah keadaan ini diterima oleh masyarakat kerana ianya telah dibudayakan sedemikian rupa.

Pada dasarnya, gender adalah perbezaan jantina yang bukan bersifat biologi dan bukan dari fitrah Tuhan. Perbezaan biologi jenis kelamin merupakan fitrah Tuhan, berunsur sejagat (universal) dan tidak berubah-ubah. Gender pula adalah perbezaan antara lelaki dan perempuan yang berdasarkan pembentukan sosial; perbezaan yang bukan berdasarkan fitrah asal ciptaan Allah, tetapi diciptakan oleh lelaki dan juga perempuan melalui proses sosial dan budaya yang panjang. Sebahagian besar perbezaan tingkahlaku antara lelaki dan perempuan terbentuk melalui proses sosial budaya ini. Oleh kerana itu, gender sering berubah-ubah dari masa ke semasa dan dari tempat ke tempat, bahkan dari kelas ke kelas, sementara jenis kelamin tidak berubah.

Buku Fiqh Perempuan: Pandangan Ulama Terhadap Wacana Agama dan Gender, karya KH Husein Muhammad ini mengingatkan kita betapa luasnya cakerawala lautan ilmu fiqh. Sebagai seorang yang memiliki latar belakang yang cukup mendalam tentang tradisi kitab kuning, Kiai Husein Muhammad mampu membincangkan dan mengenalpasti pelbagai ketimpangan hubungan lelaki dan perempuan melalui berbagai sumber rujukan secara teliti dan kritikal dalam buku ini. Perbahasan mengenai kepimpinan solat perempuan, khatan, batas aurat, memilih pasangan hidup (nikah), kepimpinan politik perempuan dan sebagainya yang terdapat dalam buku ini akan memperluaskan pandangan dan meningkatkan kefahaman kita tentang betapa pentingnya fiqh, yang seterusnya membuka ruang dialog seluas-luasnya bagi berbagai pandangan dan pendapat.

Melalui buku ini, Kiai Husein Muhammad telah memberikan sumbangan yang besar dalam usaha pencarian dan pengujudan maksud sebenar ajaran agama Islam. Harus diakui bahawa dalam buku ini terdapat banyak rujukan dan bahan bacaan dari terminologi agama lain, tidak terbatas pada satu arah pada penggalian ajaran agama melalui kaca pandangan fiqh. Inilah sebabnya buku ini perlu untuk terus dibaca dan diperbincangkan.

 

Copyright 2007 - SIS Forum Malaysia, No.7, Jalan 6/10, 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia