Kudrat Wanita Dalam Islam
Kulit Nipis; 2005
Harga: RM5.00 / USD3.00 (Kehabisan stok; Hanya terdapat di Pusat Sumber SIS) |
 |
Perkataan 'kudrat' adalah satu istilah yang sering digunakan untuk memperkecilkan peranan sosial wanita di dalam masyarakat. Perkataan 'kudrat' ini juga sering digunakan untuk menyarankan peranan wanita di sisi agama, agar ia dapat diterima dengan mudah. Istilah ini terus digunakan di dalam masyarakat sehingga kini. Kefahaman yang kurang jelas oleh masyarakat mengenai pengertian kudrat adalah menjadi faktor utama kekalnya budaya patriarki. Kecenderungan wanita untuk menganggap dirinya tidak setaraf dengan lelaki juga sedikit sebanyak adalah berpunca dari kefahaman kudrat yang seperti itu.
|
Untuk memberi kefahaman yang mendalam terhadap makna kudrat, perbahasan mengenai perbezaan lelaki dan wanita perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati, kerana kesimpulan yang keliru tidak hanya akan memberi kesan kepada persoalan ilmu semata-mata, tetapi juga memberi kesan kepada persoalan asasi kemanusiaan.
Dengan memberi kesimpulan bahawa lelaki dan wanita adalah berbeza secara genetik, tanpa memberi penjelasan yang terang, kesimpulan tersebut dapat dijadikan kesahihan terhadap realiti sosial yang menempatkan wanita sebagai jantina kelas kedua (the second sex). Pandangan yang membezakan lelaki dan wanita berdasarkan perbezaan biologi akan memberi kesan dalam kehidupan sosial budaya. Secara tidak disedari, anggapan seseorang mengenai perbezaan biologi yang berupa zakar pada lelaki dan faraj pada wanita, yang merupakan sifat gender, ia sekaligus juga menjadi beban gender yang akan menentukan peranan sosial-budaya di dalam masyarakat. Sedangkan, sifat gender dan beban gender tidak seharusnya ditentukan oleh sifat biologi
Pandangan 'menganak-tirikan' terhadap kudrat wanita seringkali dikaitkan dengan norma agama. Agama dianggap telah menetapkan 'ketempangan' peranan berdasarkan perbezaan jenis jantina seperti yang berlaku dalam sejarah manusia. Bahkan agama juga dianggap sebagai asal-usul ketempangan tersebut. Norma budaya juga lebih banyak mendokong konsep agama mengenai peranan sosial berdasarkan jenis jantina. Tetapi pada dekad terakhir abad ke 20 ini, norma kebudayaan biasanya telah tidak terikat dengan doktrin agama. Kajian yang lebih baik perlu segera dilakukan bagi menyingkap ketempangan-ketempangan yang terjadi berdasarkan pandangan terhadap kudrat wanita. Kajian tersebut perlu samada terhadap perbezaan lelaki dan wanita secara biologi, mahupun mengenai anggapan sosial-budaya yang sudah meluas di dalam masyarakat.
|