Islam dan Perancangan Keluarga
Kulit Nipis; 20 mukasurat
Harga: RM5.00 / USD3.00 (Juga terdapat di dalam versi Bahasa Inggeris)
 |
* Adakah terdapat ayat al-Qur'an yang mengharamkan perancangan keluarga?
* Adakah terdapat apa-apa kaedah pencegahan kehamilan yang diamalkan pada zaman Nabi Muhammad saw?
* Adakah yang terkandung dalam pil kontraseptif?
* Apakah hukum Islam bagi seseorang wanita Islam yang meninggal dunia sedangkan dia masih memakai Alat Dalam Rahim (IUD)?
* Benarkah memakai kondom berdosa sebab air mani dibuang?
* Mengapakah terdapat salah tanggapan bahawa Islam mengharamkan kontrasepsi?
* Bolehkah kontrasepsi dianggap sebagai bertentangan dengan konsep takdir (qadar), bergantung kepada Allah swt (tawakkal) dan kepercayaan bahawa Allah swt akan menentukan segala rezeki kita?
* Adakah wanita berhak membuat keputusan yang memanfaatkan diri dan keluarganya walaupun dia gagal mendapat persetujuan pasanganya, selepas mereka berunding?
* Adakah terdapat fatwa mengenai kontrasepsi di Malaysia
|
Pendahuluan
Hak wanita Islam untuk mencapai tahap kesihatan seksual dan reproduktif yang tinggi, membuat keputusan sendiri mengenai perkahwinan, keibuan, kontrasepsi (pencegahan kehamilan) dan seksualiti bebas daripada paksaan, diskriminasi dan keganasan, semuanya terkandung di dalam prinsip-prinsip asas Shari’ah. Namun begitu, wanita Islam di serata dunia tidak berkemampuan menyuarakan pendapat mereka mengenai hubungan seks, kehamilan, kontrasepsi dan perkara-perkara lain berhubung dengan kesihatan reproduktif dan seksual mereka. Wanita Islam patut menguasai isu-isu ini kerana semua ini adalah isu-isu yang mempunyai kesan langsung terhadap kesempurnaan jasmani, rohani dan psikologi mereka sendiri, dan seterusnya terhadap seluruh keluarga.
Kematian akibat kehamilan dan kelahiran anak masih tinggi, peluang untuk menggugurkan kehamilan secara selamat dan sah di sisi undang-undang masih sukar, perancangan keluarga dan penggunaan kontraseptif (pencegah kehamilan) masih rendah, dan hubungan seks yang selamat, saling dipersetujui dan memuaskan, semuanya, masih tidak tercapai oleh kebanyakan wanita. Tambahan pula, keganasan rumahtangga dan paksaan seksual menyumbang kepada masalah-masalah kesihatan seperti risiko keguguran dan jangkitan penyakit STD (penyakit kelamin) dan HIV/AIDS.
Masalah-masalah ini merupakan satu kelaziman bagi wanita daripada semua lapisan masyarakat. Tetapi apa yang sering kelihatan adalah wanita Islam mengalami halangan lebih, yang kononnya dikenakan oleh agama, dalam perjuangan untuk mendapatkan hak ke atas tubuh sendiri dan seksualiti mereka. Perbincangan serius mengenai hak reproduktif dan seksual wanita Islam jarang berlaku dan isu-isu ini kurang sekali dianalisis dalam ruanglingkup agama oleh sarjana-sarjana Islam progresif, atau ditangani dalam konteks tempatan Asia.
Oleh kerana rasa prihatin terhadap permasalahan ini, Sisters in Islam telah menganjurkan satu bengkel serantau Asia Tenggara mengenai Islam, Kesihatan Reproduktif dan Hak-hak Wanita pada 1998. Bengkel ini telah diadakan semasa suasana kekhuatiran mengenai kaveat menghormati budaya tempatan yang dipersetujui di Kaherah semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Kependudukan dan Pembangunan, 1994, yang mungkin akan menguatkan lagi ruang-ruang batasan mengenai kesihatan dan hak reproduktif, serta perkahwinan dan keluarga dalam masyarakat Islam. Tujuan bengkel tersebut adalah untuk mengutarakan fahaman progresif dalam ajaran-ajaran Islam mengenai kesihatan reproduktif dan hak-hak wanita dengan cara bertukar-tukar perspektif, analisis dan pengalaman antara para sarjana dan aktivis yang berkerja dalam bidang berkenaan.
Empat puluh tiga peserta dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Mesir, Pakistan dan Amerika Syarikat telah menghadiri bengkel empat hari itu. Mereka termasuklah lima sarjana Islam antarabangsa, para aktivis yang bergiat dalam bidang kesihatan dan hak-hak wanita dalam Islam, para peguam Shari’ah dan penggubal-penggubal dasar. Satu laporan persidangan bengkel telah diterbitkan pada 1999 dan juga sebuah buku mengandungi keseluruhan kertas kerja diterbitkan pada 2000.*
Risalah soal jawab ini adalah terbitan ketiga daripada hasil bengkel tersebut. Sisters in Islam bekerjasama dengan Persatuan Perancangan Keluarga Kelantan kerana kami ingin menjadikan risalah ini sebagai sumber yang mudah diperolehi dan dibaca maklumatnya daripada berbagai perspektif berkenaan Islam dan perancangan keluarga. Ini adalah untuk memenuhi keperluan penyampai perkhidmatan (service providers) pada peringkat akar umbi tentang maklumat tersebut, serta membantu wanita dan lelaki Islam dalam membuat keputusan berdasarkan pengetahuan tentang penggunaan alat kontrasepsi. Risalah ini menolong menyediakan jawapan terhadap soalan yang biasa dikemukakan mengenai pandangan Islam tentang isu-isu kesihatan reproduktif dan hak-hak wanita, seksualiti, perancangan keluarga dan penggunaan kontrasepsi. Kami berharap risalah ini berguna kepada penyampai perkhidmatan kesihatan dan perancang keluarga serta kepada wanita dan lelaki yang berminat dalam isu-isu kesihatan reproduktif dan hak-hak wanita.
Kami ingin menghargai sumbangan allahyarham Dr Abdel Rahim Omran (yang pernah bertugas sebagai Ketua Penasihat Kependudukan di Universiti al-Azhar, Kaherah), di mana kertaskerja beliau “Contraception, Abortion and Reproductive Issues in the Legacy of Islam” yang dibentangkan dalam bengkel tersebut menyediakan kebanyakan jawapan teologikal dalam risalah ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Persatuan-persatuan Perancangan Keluarga Malaysia dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara untuk segala sumbangan mereka dalam menghasilkan risalah ini.
*Sisters in Islam. Report of Proceeding dalam Bengkel Serantau Islam, Reproductive Health and Women’s Rights, Kuala Lumpur, 1999.
*Zainah Anwar dan Rashidah Abdullah (penyunting) Islam, Reproductive Health and Women’s Rights, Kuala Lumpur: Sisters in Islam, 2000.
|