Kasih Sayang Dan Persamaan Tanggungjawab

Rata-rata umat Islam yakin bahawa ajaran Islam yang diturunkan lebih 1400 tahun yang lampau telah meningkatkan martabat wanita. Etika dan amalan Islam, sepertimana yang yang dipraktiskan oleh Nabi Muhammad s.a.w, menolak amalan-amalan tradisi masyarakat Arab jahiliyah pada zaman itu yang menganiaiya dan menindas wanita. Nabi Muhammad s.a.w adalah uswa hasana atau contoh teladan kepada umatnya bahawa wanita adalah rakan kongsi lelaki yang setaraf.

Sebagai suami, Nabi mengambil pakai pendapat isteri-isterinya termasuklah mengenai hal-hal peperangan, antaranya apabila Baginda menerima pendapat Umm Salama r.a mengatur strategi semasa Perjanjian Hudaybiya. Dalam kehidupan seharian pula, Nabi membantu isteri membuat kerja rumah termasuk menjahit dan membasuh baju, walaupun Baginda adalah Rasulullah (s.a.w) dan juga memegang peranan sebagai ketua pentadbir negara di Madinah.

Islam tidak melihat seseorang wanita atau isteri hanya sebagai bayang-bayang lelaki atau suami, yang hanya menurut kehendak lelaki semata-mata. Sebagai seorang individu, wanita berkebebasan penuh dan bertanggungjawab ke atas keimannya, dalam mematuhi serta menunaikan segala ibadat yang telah ditetapkan oleh Allah, seperti firmanNya dalam surah Aali Imran:195: "Maka Tuhan mereka perkenankan do'a mereka: Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan: Kamu adalah keturunan, satu dari yang lain."

Mahupun terdapat persamaan taraf sepenuhnya di antara lelaki dan wanita baik sebagai individu atau pun pasangan yang berkahwin, Al-Qur'an surah An-Nisaa':34 menyatakan, "Kaum lelaki adalah bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan dengan apa yang mereka membelanjakan (memberi nafkah) dari harta mereka (ke atas orang-orang perempuan tanggungjawab mereka)".

Ayat ini tidak membawa maksud bahawa orang lelaki diberi martabat yang lebih tinggi dari orang perempuan, malahan ianya menerangkan "tanggungjawab" lelaki untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Tanggungjawab lelaki untuk membiayai nafkah keluarganya adalah juga berkait dengan kelebihan bahagian harta pusaka yang diberi kepada waris lelaki, yakni kelebihan bahagian harta pusaka waris lelaki bertujuan mencerminkan kelebihan tanggungjawab para lelaki.

Pada realitinya sekarang, para suami, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak lagi memainkan peranan tradisional sebagai penyara nafkah yang tunggal dan para isteri bukanlah suri rumah sahaja. Sebaliknya, ramai isi rumah kini bergantung kepada sumbangan kewangan daripada kedua-dua pasangan suami isteri. Justeru itu, kini sesetengah ulama berpendapat masyarakat harus menilai kembali hak dan tanggungjawab tradisional suami isteri.

Yakni satu penilaian yang mengimbangkan hak dan tanggungjawab masing-masing kerana ajaran Islam menganjurkan keharmonian, kesaksamaan dan keadilan dalam hubungan keluarga. Seseorang lelaki yang memenuhi tanggungjawab kepada isteri dan ahli keluarganya, patut dicurahkan dengan kasih sayang dan penghormatan, tetapi ia bukanlah lesen untuk dia bersikap seolah-olah darjatnya lebih tinggi dari isterinya.

KEGANASAN RUMAHTANGGA -- PENGANIAYAAN TERHADAP WANITA

Keganasan rumahtangga adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua anggota masyarakat. Ajaran Islam tidak merestui apa-apa bentuk keganasan dan kezaliman. Al-Quran amat menekankan perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan keadilan di dalam perhubungan antara anggota keluarga. Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda, "Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya."

Perbuatan suami yang memukul isteri adalah dianggap sebagai suatu penganiayaan. Perkara ini juga boleh dijadikan satu sebab untuk memohon perceraian secara ta'liq atau fasakh memandangkan ia adalah salah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Seksyen 127 Akta menyatakan sekiranya suami disabit kesalahan menganiayai isterinya maka beliau boleh dihukum denda sehingga seribu ringgit atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 menyatakan bahawa sekiranya seorang suami telah memukul sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal atau; memaksa isteri melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan rasa ketakutan atau; mengurung isteri tanpa kerelaan diri atau; memaksa dan melakukan hubungan seks yang mendatangkan ketakutan, maka isteri boleh memohon perintah perlindungan dari mahkamah dan suami boleh dihukum ke atas kesalahannya.

Wanita yang mengalami keadaan ini,hendaklah melaporkan perbuatan suami di balai polis yang berdekatan dan sekiranya bantuan perubatan diperlukan, terus membuat pemeriksaan perubatan. Ini adalah bagi memudahkan proses pembuktian di mahkamah sivil kelak. Laporan juga boleh dilakukan pada bila-bila masa dan bukan hanya apabila suami bertindak ganas. Laporan polis dan resit rasmi yang mengandungi nombor laporan hendaklah sentiasa disimpan. Isteri berkenaan juga boleh mendapatkan perlindungan dari mahkamah sivil dengan memohon Perintah Perlindungan Sementara. Ia merupakan suatu perintah mahkamah yang melarang suami dari melakukan keganasan terhadap puan atau anak-anak. Puan juga boleh menghubungi pertubuhan pertolongan wanita seperti WAO (03-7956 3488, AWAM (03-7957 0224) dan WCC (04-228 0342) bagi mendapatkan bantuan.

Kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila kemukakan kepada: Sisters in Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000, PJ. Tel: 03-79606122. Faks: 03-79604737. E-mel: sistersinislam@pd.jaring.my. Laman Web: www.sistersinislam.org.my