Assalamu'alaikum para pembaca sekalian. Bermula dengan coretan pengenalan dalam keluaran WHI bulan Februari ini, panel penulis Sisters in Islam (SIS) akan meneruskan topik-topik perbincangan berkaitan dengan hal ehwal Undang-Undang Keluarga Islam pada keluaran yang seterusnya.
SIS adalah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan sumber-sumber teks Islam, advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang, pendidikan awam melalui syarahan umum, latihan, bengkel dan sesi perbincangan bulanan, serta khidmat nasihat undang-undang keluarga Islam secara percuma. Program-program ini dilaksanakan bertujuan meningkatan lagi kesedaran masyarakat tentang hak-hak wanita dalam Islam.
**Rata-rata umat Islam yakin bahawa ajaran Islam yang diturunkan lebih 1400 tahun yang lampau telah meningkatkan martabat wanita. Etika dan amalan Islam, sepertimana yang yang dipraktiskan oleh Nabi Muhammad S.A.W, menolak amalan-amalan tradisi masyarakat Arab jahiliyah pada zaman itu yang menganiaiya dan menindas wanita. Berabad-abad sebelum dunia Barat mula mengenengahkan isu hak-hak wanita, Nabi Muhammad S.A.W telah lebih dahulu menunjukkan contoh teladan kepada umatnya bahawa wanita adalah rakan kongsi lelaki yang setaraf.
Sebagai suami, Nabi mengambil pakai pendapat isteri-isterinya termasuklah mengenai hal-hal peperangan, antaranya apabila Baginda menerima pendapat Umm Salama R.A tentang penyusunan strategi perang. Isteri-isteri Baginda bergilir-gilir menemaninya ke ekspedisi peperangan. Dari segi keilmuan, Baginda mengiktiraf kebijaksanaan isterinya 'Aisyah R.A sebagaimana sabda Baginda "Pelajarilah sebahagian daripada agama mu dari Humayra [nama timangan yang diberikan oleh Baginda kepada 'Aisyah]". Sebagai pemimpin, Baginda memberi layanan setara antara sahabi (sahabat lelaki Nabi) dan sahabiyat. Para sahabiyat adalah sahabat wanita yang mempunyai hak bersuara, mereka bebas berbincang bersama Rasulullah S.A.W, berdebat dengan para sahabat lelaki dan sama-sama berjuang di arena peperangan dan pentadbiran.
Semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w, wanita-wanita amat aktif di dalam kehidupan awam, dan ini telah memberi ilham kepada kami untuk menubuhkan sebuah pertubuhan wanita Islam pada tahun 1988, yang berusaha memperjuangkan hak-hak wanita di dalam kerangka Islam. Kami namakannya Sisters In Islam bagi menggambarkan silaturrahim antara kita di dalam Islam -- sesama wanita dan lelaki.
Peredaran zaman dan pelbagai pengaruh budaya dan sosial telah mencorakkan pengalaman dan realiti kehidupan wanita masakini berbeza daripada kehidupan nenek moyang kita. Dewasa ini juga, sering kali agama telah diperalat dan dicampuradukkan dengan amalan-amalan budaya masyarakat untuk menganggap wanita berkedudukan lebih rendah daripada kaum lelaki. Dalam situasi begini, SIS ingin turut sama menyokong segala usaha yang membawa ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan (al-musawah), keadilan (al-adala), kebebasan (al-huriyya), bermartabat (al-karama) dan kasih sayang antara insan (mu'asyarah bil'ruf) dalam negara demokrasi. Prinsip-prinsip ini adalah termaktub di dalam kitab suci Al-Quran
Tradisi memertabatkan wanita bukanlah asing dalam sejarah tamadun Islam. Cendikiawan-cendikiawan.era klasik Islam turut mendukung sunah Nabi dalam memartabatkan status wanita, antaranya pengulas Al-Qur'an, ahli sejarah dan ahli hukum terkenal, al-Tabari (meninggal 923), serta juga ahli hukum terkemuka al-Andalus Ibn-Hazm (meninggal 1064). Mereka menyatakan bahawa seorang wanita itu boleh menjadi kadhi jika dianya berkelulusan sesuai, dan sejarah Islam telah menyaksikan ramai wanita yang berpengaruh dan/atau menduduki tempat yang tinggi-tinggi.
Jika di abad ke-10 and ke-11 lagi, ulama-ulama Islam sudah luas pandangan mereka, apa pula yang mengongkong wanita abad ke-21 dari menyertai dan menikmati segala bidang kehidupan untuk pertumbuhan dan kemajuan ummah. Tidak patut disangkal lagi, penyertaan wanita Islam sebagai rakan kongsi yang setaraf, baik dalam keluarga maupun dalam masyrakat adalah satu keperluan masa kini.
Penerbitan
SIS menerbit, menjual dan memberi percuma penerbitan-penerbitan kami kepada pusat-pusat sumber, badan-badan bukan kerajaan, organisasi-organisasi wanita dan individu-individu yang berkaitan. Di antara penerbitan-penerbitan SIS termasuklah;
- Islam dan poligami
- Islam dan perancangan keluarga
- Wanita sebagai hakim syarie
- Wanita Islam dalam keluarga dan masyarakat
- Islam, kesihatan reproduktif dan hak-hak wanita
KLINIK BANTUAN GUAMAN UNDANG-UNDANG SIS
Klinik Bantuan Guaman Undang-undang SIS telah berfungsi sejak tahun 2002. Ia dibuka setiap hari Isnin dan Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma.
Klinik Bantuan Guaman ini memberi perkhidmatan kepada pihak awam yang memerlukan nasihat undang-undang terutamanya mengenai undang-undang keluarga Islam. SIS dapati bahawa terdapat kurang perkhidmatan yang memberi nasihat guaman dengan percuma. Kebanyakan perkhidmatan yang ada lebih berupa khidmat kaunseling dan tidak dapat membantu pihak awam mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi menuntut hak mereka.
SIS amat prihatin mengenai keperluan awam khasnya wanita yang mahu hak-hak mereka terpelihara. Ramai wanita yang masih tidak mengetahui hak-hak mereka yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang Syariah dan undang-undang keluarga Islam. Contohnya, seorang isteri masih mempunyai hak ke atas nafkah walaupun dia bekerja. Tanggungjawab seorang suami adalah tidak berubah. Hak ke atas nafkah ini boleh dituntut di Mahkamah Syariah tanpa perlu berlakunya perceraian. Ramai wanita yang beranggapan bahawa Mahkamah Syariah hanyalah untuk bercerai sahaja.
Selain dari informasi mengenai hak yang diperuntukkan, Klinik ini juga memaklumkan wanita mengenai prosedur mahkamah yang perlu diikuti. SIS dapati bahawa ramai wanita terhalang dari menuntut hak mereka kerana mereka tidak mampu untuk membayar perkhidmatan peguam. Wanita menganggap bahawa hanya peguam yang boleh membawa kes di mahkamah.
Wanita boleh membawa kesnya sendiri di mahkamah. Ia termaktub di dalam undang-undang keluarga Islam. Kekurangan sumber kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk menuntut hak. SIS boleh membantu wanita mengenai prosedur-prosedur yang perlu diikuti. Melalui cara ini, wanita-wanita yang bergaji rendah dan sederhana boleh memastikan hak mereka terpelihara.
Perkhidmatan Klinik tidak hanya tertumpu ke atas prosedur mahkamah sahaja. SIS juga membantu dari segi mendapatkan perkhidmatan dari agensi-agensi kerajaan. Ini adalah termasuk urusan dengan Pejabat Tanah bagi kemasukan kaveat dan jual-beli tanah; atau Pejabat Agama bagi urusan permohonan perkahwinan dan kaunseling rumahtangga.
Pihak awam juga selalu merasakan bahawa urusan pembahagian harta bagi masyarakat Islam hanya terikat dengan sistem faraid. Ia menjadi satu kerunsingan terutamanya bagi ibu tunggal yang hanya mempunyai anak perempuan dan waris yang ada adalah tidak bertanggungjawab. Sekiranya harta diberikan kepada waris, hidup anaknya tentu tidak akan terjamin.
Terdapat berbagai cara yang boleh dilakukan bagi menguruskan harta orang Islam. Ia adalah tidak bertentangan dengan perundangan Islam dan dapat memastikan hak-hak seseorang dilindungi. SIS dapat memberi penerangan bagi membantu wanita yang mahukan harta mereka dikendalikan dengan wajar apabila mereka meninggal dunia. Contoh mengenai urusan pembahagian harta yang boleh dilaksanakan adalah seperti hibah, wakaf dan amanah.
SIS juga membantu wanita-wanita yang ingin berkahwin untuk merangka perjanjian takliq mereka. Perjanjian takliq ini adalah amat penting kerana ia dapat menjamin keharmonian rumahtangga. SIS dapati ramai pasangan yang ingin berkahwin tidak memahami tanggungjawab yang akan dipikul.Masing-masing berfikir bahawa pasangannya memahami sifat dirinya. Melalui perjanjian takliq, pasangan akan sama-sama berbincang dan berfikir mengenai alam rumahtangga yang bakal dilalui. Jelas sekali dengan cara ini keruntuhan rumahtangga dapat diminimakan.
Bengkel Hak-Hak Wanita Dalam Islam
Bahagian Pendidikan Awam SIS melaksanakan aktiviti-aktivi seperti seminar, bengkel, latihan, syarahan umum, dan sesi perbincangan bulanan dengan ahli-ahli.
Antara pemikir-pemikir Islam dan penyelidik-penyelidik yang pernah turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti Dr. Fathi Osman (cendikiawan Islam yang terkemuka dan pernah menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti di seluruh dunia termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir), Dr. Amina Wadud (seorang ahli teologi Islam), Prof. Dr. Abdullahi An-Naim, Prof. Dr. Amin Abdullah (Rektor Institut Agama Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia), dan ramai lagi.
Pada 24 Januari 2004 lalu kami telah menganjurkan bengkel "Hak-hak Wanita dalam Islam: Isu Poligami dan Pembahagian Harta" di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur. Bengkel tersebut diadakan untuk ahli-ahli Gabungan Hak Wanita dalam Islam, yang terdiri daripada beberapa organisasi wanita di Malaysia. (untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti Bahagian Pendidikan Awam Sisters in Islam, sila lawat laman web kami di www.sistersinislam.org.my