Perkahwinan Sebagai Perjanjian Yang Utuh
Al-Qur'an dalam Surah an-Nisa' 4:21 menganggap perkahwinan sebagai perjanjian yang utuh, dan mengajar kita bahawa ianya harus berasaskan keadilan dan dipupuk dengan kasih sayang dan belas kasihan (ar-Rum:30:21). Kebahagian dan keharmonian hidup berumahtangga pastinya tercapai seandainya setiap individu menyelami dan mengamalkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip rohani, moral dan keagamaan yang ditekankan di dalam al-Qur'an. Ajaran-ajaran al-Qur'an jauh melebihi apa yang dapat dilakukan oleh undang-undang negara untuk mencapai hak-hak wanita.
Perkahwinan dalam Islam adalah berdasarkan aqad atau pejanjian, di mana kedua-dua pihak lelaki dan perempuan saling setuju-menyetujui untuk hidup bersama. Tawaran (ijab) itu dibuat, pada dasarnya, oleh pengantin perempuan, melalui walinya, dan diterima (qabul) oleh pengantin lelaki atau wakilnya.
Syarat-syarat Dalam Perjanjian Perkahwinan
Oleh kerana perkahwinan dalam Islam adalah bersifat pejanjian antara dua individu yang setara, pasangan berkenaan bolehlah memasukkan syarat-syarat dalam perjanjian perkahwinan yang tidak membatalkan maksud atau tujuan perkahwinan itu.
Di Malaysia, syarat-syarat tertentu telah dimasukkan dalam Surat Perakuan Ta'liq dalam borang yang ditetapkan bersama dengan Surat Perakuan Nikah. Syarat-syarat sedia ada yang diperuntukkan hanya terhad kepada syarat bahawa isteri berhak menuntut cerai ta'liq jika suami tidak memberi nafkah selama empat bulan atau lebih, atau suami meninggalkan isteri atau suami mencederakan dan menyakiti isteri. Terdapat variasi di antara ta'liq yang ditetapkan di negeri-negeri di Malaysia.
Menurut seksyen 22(1), selepas sahaja akadnikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan ta'liq yang ditetapkan atau ta'liq lain perkahwinan itu di dalam Daftar Perkahwinan. "Ta'liq lain" bermaksud tambahan kepada syarat-syarat sedia ada di dalam Surat Perakuan Ta'liq. Tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang ta'liq lain ini, oleh itu penambahan syarat-syarat perjanjian amat jarang sekali dipraktikkan di Malaysia.
Manakala di beberapa negara Islam lain seperti Arab Saudi, Syria dan Yemen, ta'liq yang hendak dimasukkan adalah terpulang kepada pasangan individu. Meletakkan syarat-syarat perjanjian dalam perkahwinan bukanlah suatu yang asing bagi masyarakat Islam. Malah adat ini telah dipraktikkan oleh cicit Rasulullah yang bernama Sakinah bint Hussain (cucu kepada Fatimah r.a dan Ali r.a). Beliau telah meletakkan berbagai syarat termasuklah bahawa suaminya tidak boleh berkahwin lain selagi masih berkahwin dengannya. Adat ini juga boleh didapati di dalam perjanjian perkahwinan masyarakat Islam sejak abad ke-13 Masihi lagi.
Rata-rata, ramai wanita yang mahukan penambahan kepada ta'liq yang telah ditetapkan dalam Surat Perakuan Ta'liq, bagi melindungi hak mereka dan juga bagi menjaga keharmonian rumahtangga. Bakal suami isteri yang telah berbincang mengenai konsep rumahtangga yang diingini tidak sepatutnya mempunyai bantahan terhadap penambahan ta'liq kerana mereka memahami tujuan sebenar ta'liq adalah untuk menjaga kesejahteraan keluarga. Suami tidak dipaksa untuk bersetuju dan haknya tidak berkurangan. Contohnya dalam konteks pembubaran perkahwinan, sama seperti situasi yang sedia ada, suami hanya perlu melafazkan talaq untuk bercerai berbanding dengan isteri yang masih harus pergi ke Mahkamah Sya'riah untuk mengadu perlanggaran ta'liq.
Kematangan Membuat Pilihan
Perkahwinan walaupun amat digalakkan di dalam Islam, tetapi ianya tidak boleh dipaksa ke atas sesiapa,. Menurut sebuah hadith Rasullullah s.a.w. persetujuan wanita adalah amat penting bagi menentukan kesahihan perkahwinannya, dan ibu-bapanya atau sesiapapun tidak boleh memaksanya berkahwin dengan orang yang tidak diingininya.
Keputusan yang diambil hendaklah tidak didorong oleh sebarang paksaan atau perdayaan oleh mana-mana pihak. Ini bererti, kedua pihak haruslah cukup matang dari segala segi -- emosi, mental and fizikal -- untuk membuat keputusan yang bijak. Enakmen Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dalam Seksyen 8, telah menetapkan umur minimum untuk perkahwinan, iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki. Had umur ini adalah mengikut pandangan Imam Abu Hanifah mengenai anggapan pencapaian umur dewasa. Imam Shafi'i sebaliknya berpendapat bahawa pencapaian umur dewasa adalah pada usia 15 tahun.
Oleh yang demikian, Seksyen 13 enakmen tersebut menyatakan sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan tersebut melainkan dengan persetujuan kedua-dua pihak dan wali perempuan, mengikut hukum syara' (mengikut undang-undang Islam mana-mana mazhab yang sah). Fungsi wali adalah untuk memastikan kepentingan dan hak pengantin perempuan terpelihara berdasarkan kepada anggapan tradisi bahawa seorang wanita muda adalah tidak berpengelaman dalam hal-hal perkahwinan. Buat pengetahuan para pembaca, terdapat perbezaan pendapat mengenai fungsi wali. Contohnya, mengikut Mazhab Hanafi, persetujuan wali hanya diperlukan sekiranya pihak lelaki atau perempuan belum cukup umur atau kurang keupayaan mental. Perempuan dewasa yang sempurna keupayaan mental, sama seperti lelaki dewasa yang sempurna keupayaan mental, tidak memerlukan persetujuan wali.
Kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila kemukakan kepada: Sisters in Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000, PJ. Tel: 03-79606122. Faks: 03-79604737. E-mel: sistersinislam@pd.jaring.my. Laman Web: www.sistersinislam.org.my