Poligami Dan Syarat Keadilan
Terdapat ramai orang menganggap agama Islam adalah unik berbanding dengan agama lain kerana lelaki Islam dibenarkan berkahwin sehingga empat isteri. Pada hakikatnya, poligami pernah diamalkan oleh berbagai tradisi masyarakat bukan Islam di merata-rata tempat di seluruh dunia. Ini termasuklah di zaman Arab Jahiliah di mana seorang lelaki itu boleh beristeri tanpa had bilangan sehinggalah turun surah an-Nisa' yang menetapkan had kepada empat isteri sahaja.
Poligami juga diamalkan di kalangan masyarakat Yahudi sebelum ia dilarang oleh Rabbi Gershom pada abad ke-11, di Negara China sebelum pihak komunis berkuasa, dalam masyarakat India Hindu sebelum dilarang oleh undang-undang sivil dalam abad ke 20, dan di kalangan pihak Kristian Gereja Mormon di Amerika Syarikat sebelum dilarang oleh undang-undang persekutuannya pada penghujung abad ke 19.
Surah an-Nisa' 4:3 yang menyebut mengenai poligami berbunyi, "Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil dengan anak-anak yatim, maka kahwinlah perempuan-perempuan yang kamu senangi, dua atau tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja … yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman".
Asbab al-nuzul, yakni latar belakang turunnya ayat berkenaan, adalah selepas tragedi peperangan Uhud yang telah mengorbankan ramai perwira lelaki Islam dan mengakibatkan terdapat ramai balu dan anak yatim yang menghadapi kesukaran hidup. Amat berlainan sekali dengan zaman moden, wanita pada zaman itu menghadapi kesukaran mencari rezeki sendiri dan jarang sekali berpeluang menjawat perkerjaan seperti kaum lelaki.
Dalam keadaan itupun, al-Qur'an telah menghentikan amalan poligami tanpa had dan memerintahkan monogami sekiranya khuatir tidak dapat berlaku adil kepada para isteri. Turunnya ayat ini telah mengaitkan amalan poligami dengan kebajikan wanita dan anak yatim selepas peperangan. Ia mengubah perspektif poligami daripada hak lelaki untuk memuaskan nafsunya kepada perspektif hak wanita dan kanak-kanak untuk mendapat perlindungan dalam hal keadaan tertentu.
Mereka yang menyokong poligami sering merujuk kepada sunnah atau amalan Rasululah s.a.w. dan biasanya lupa akan hakikat bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai seorang isteri sahaja selama 25 tahun, iaitu sepanjang hayat Khadijah r.a. yang usianya 15 tahun lebih tua daripada usia Rasulullah s.a.w. Perkahwinan-perkahwinan Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 kerasulannya, adalah dengan balu-balu atau janda-janda atas sebab-sebab menjalinkan hubungan baik di antara puak-puak tertentu. Seorang sahaja anak dara yang dikahwininya, iaitu Aishah r.a.
Hadith sahih dalam Sunan Ibn Majah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan menantunya, Sayidina Ali ibn Abi Talib berkahwin dengan perempuan lain yang berbunyi, "melainkan jika Ali ibn Abi Talib menceraikan anak perempuanku (Fatimah), kerana anakku itu sebahagian daripadaku, dan apa yang menyedihkan dan menyusahkannya, menyedihkan dan menyusahkanku juga, dan apa-apa kesusahan yang menimpanya juga dirasakan olehku". Riwayat Rasululullah s.a.w ini menekankan hak seorang isteri dan keluarganya untuk diberitahu terlebih dahulu tentang niat seorang suami untuk berkahwin lagi dan hak mereka menolak kemahuannya.
Dari segi undang-undang di Malaysia, menurut Seksyen 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) empat syarat mesti dipertimbangkan oleh Mahkamah sebelum ia boleh memberi kebenaran untuk seseorang lelaki itu berpoligami. Seksyen 23(4), perenggan (a) hingga (d), memperuntukkan bahawa Mahkamah hendaklah memanggil pemohon yang hendak berpoligami itu dan isteri sedia adanya supaya hadir apabila permohonan itu didengar.
Mahkamah bolehlah memberi kebenaran jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada hal-hal keadaan seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja enggan bersetubuh, atau gila di pihak isteri sedia ada. Bahawa suami berkemampuan kewangan untuk menanggung jumlah tanggungan sedia ada dan yang bakal ditanggung. Suami perlu berupaya memberi layanan sama rata mengikut kehendak Hukum Syara', dan perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada. "Darar syarie" ditakrifkan dalam Seksyen 2 sebagai bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara'.
Sebelum pindaan yang dibuat melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 1994, terdapat juga perenggan (e) yang mensyaratkan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada, tetapi perenggan (e) itu telah dipotong melalui Akta pindaan tahun 1994 itu.
Kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila kemukakan kepada: Sisters in Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000, PJ. Tel: 03-79606122. Faks: 03-79604737. E-mel: sistersinislam@pd.jaring.my. Laman Web: www.sistersinislam.org.my