Poligami Dan Syarat Keadilan Bahagian Ke-2

Amalan poligami mesti dilihat dalam konteks perkahwinan, yakni ia bertujuan untuk menciptakan institusi keluarga yang sakinah-mawaddah-warahmah (kesejahteraan, cinta dan kasih sayang). Berbeza dengan amalan tradisi masyarakat lain, ajaran Islam menuntut syarat keadilan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat, terutama kepada isteri yang dimadukan. Akibat kurang atau tiada pemahaman tentang syarat keadilan timbul pelbagai masalah sehinggakan suami yang tidak mampu dan berkelayakan dari segi Hukum Syara' dan takrifan Akta Undang-Undang Keluarga Islam juga mengamalkan poligami. Akibatnya keluarga kucar kacir, isteri-isteri serta juga anak-anak yang terbabit tidak mendapat nafkah zahir yang mencukupi dan ada yang tidak mendapat sebarang bentuk saraan hidup.

Ayat an-Nisa' 4:3 yang menyebut tentang poligami bermula dengan perkataan "wa in khiftum" yang bermaksud, "Dan jika kamu takut (tidak akan berlaku adil kepada anak-anak yatim") dan diakhiri dengan "supaya kamu tidak melakukan kezaliman". Ahli-ahli tafsir tabi'in yang seperti Said ibn Jubayr dan Qatadah menerangkan bahawa ayat ini membawa maksud, "sebagaimana kamu takut menyalahi kepentingan anak-anak yatim, begitulah jua hendaklah kamu berhati-hati dalam mempertimbangkan kepentingan dan hak perempuan-perempuan yang ingin kamu kahwini". Tafsiran ini turut diterima oleh penafsir terkemuka, al-Tabari.

Perlu diperjelaskan bahawa walaupun al-Qur'an tidak menghapuskan poligami, tetapi ia bukanlah lagi hak lelaki kerana ia diperketatkan dengan syarat keadilan dan tanggungjawab. Mengikut undang-undang Islam, seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang isteri sekiranya memenuhi syarat dia boleh berlaku adil kepada mereka. Malah dengan penekanan mengenai tanggungjawab suami yang berpoligami dan kepentingan isteri serta anak-anak untuk mendapat keadilan, boleh dikatakan bahawa Islam bertujuan mengubah perspektif poligami daripada hak lelaki untuk memiliki ramai isteri kepada hak wanita dan kanak-kanak untuk mendapat keadilan dan saraan hidup.

Seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan telah memperuntukan bahawa seorang lelaki yang mahu berkahwin lain perlu untuk memohon keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Sekiranya dia berkahwin tanpa kebenaran maka perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan.

Pada kebiasaannya, mahkamah akan memanggil isteri sedia ada supaya hadir untuk memberi keterangan mengenai perkara yang ditimbulkan oleh suami di dalam borang permohonan untuk berpoligami di Mahkamah Syariah. Ini diperuntukkan dalam Seksyen 23(4) (a).

Mahkamah boleh memberi kebenaran, walaupun tanpa persetujuan isteri yang sedia ada, jika berpuas hati bahawa (a) perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada hal-hal keadaan seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja enggan bersetubuh, atau gila di pihak isteri sedia ada (b) bahawa suami berkemampuan kewangan untuk menanggung jumlah tanggungan sedia ada dan yang bakal ditanggung (c) bahawa suami perlu berupaya memberi layanan sama rata mengikut kehendak Hukum Syara', dan (d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada. Syarat-syarat ini diperuntukkan di bawah Seksyen 23 (4). Syarat-syarat (a) hingga (d) tersebut juga dimasukkan dalam Enakmen-Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Negeri-Negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Perak.

Bagaimanapun, mahkamah perlu mengikut Seksyen 23 dengan mematuhi kesemua syarat dan keperluan dalam seksyen tersebut tanpa mengabaikan salah satu daripadanya. Sekiranya mahkamah membenarkan poligami tersebut tanpa menilai atau berpuas hati dengan kesemua syarat-syarat dan keperluan yang diperuntukkan isteri boleh merayu terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

Kes yang telah menjejaskan kepentingan syarat tersebut ialah Aishah lwn Wan Mohd. Yusof (1990) 7 Jurnal Hukum ms 152. Jawatankuasa Rayuan telah menolak keputusan Hakim Mahkamah Syariah Shah Alam yang telah membenarkan permohonan berpoligami atas alasan pemohon ada kemampuan nafkah zahir dan batin, serta takut berlaku zina dan maksiat. Isteri telah merayu kepada Jawatankuasa Rayuan yang membenarkan rayuannya kerana Hakim terdahulu tidak langsung mengambil kira kesemua syarat di bawah Seksyen 23(4). Ia juga menyatakan bahawa sebagai seorang Islam suami patut boleh mengawal nafsu dan mengelakkan zina atau perkara maksiat.

Suami harus membuktikan bahawa dia memenuhi semua syarat dan keperluan di dalam Seksyen 23. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab(1990) Jurnal Hukum 171, iaitu beban membuktikan bahawa ia boleh mempunyai lebih daripada satu isteri adalah ke atas suami. Oleh kerana suami gagal membuktikan, kebenaran untuk berpoligami telah dibatalkan.

Sekiranya suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, isteri boleh membuat aduan mengenai perkara tersebut di Bahagian Pengaduan dan Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam. Jika disabitkan kesalahan suami boleh dihukum tidak lebih RM 1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan.

Kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila kemukakan kepada: Sisters in Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000, PJ. Tel: 03-79606122. Faks: 03-79604737. E-mel: sistersinislam@pd.jaring.my. Laman Web: www.sistersinislam.org.my